12November2019

Agenda Daily

Isu pingat: Guan Eng dakwa pemimpin DAP Melaka keras kepala...

Drama.... Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan pemimpin DAP Melaka sebagai keras kepala kerana tidak memohon maaf isu penerimaan pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk baru-baru ini.

Menurutnya, pemimpin parti negeri Melaka itu tidak perlu memulangkan pingat yang diterima sebaliknya hanya perlu meminta maaf secara terbuka dan peribadi kepada parti.

“Seorang anggota  DAP Melaka, Dr Wong Fort Pin sudah minta maaf secara terbuka, begitu juga dengan dua pemimpin dari Sabah.

“Tinggal anggota dari Melaka itu sahaja yang nampaknya masih keras kepala lagi,” katanya di Seremban pada Ahad.

Lim berkata anggota  DAP perlu mengutamakan matlamat parti iaitu berkhidmat dan berjuang untuk rakyat dan berkorban untuk negara, bukan mengejar kebendaan dan kesenangan hidup.

“Pangkat kebesaran ini sesuatu amat mulia dan dan saya bimbang nanti mereka lupa tugas utama adalah berkhidmat untuk rakyat, lagipun baru berapa bulan berkhidmat,” katanya.

Walaupun Lim tidak menyebutkan nama pemimpin berkenaan, namun ia sudah pasti merujuk kepada Anggota  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir merangkap Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew.

Tey dan Wong dianugerah Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Awal bulan ini, dua menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, Loke berkata DAP negeri menghormati prinsip yang ditekankan parti dan turut mengingatkan anggotanya yang memegang jawatan dalam kerajaan seperti anggota  exco dan anggota  majlis untuk tidak mencalonkan nama dan menerima pingat kebesaran.

“Walaupun kita menjadi sebahagian parti pemerintah, kita tetap perlulah mempertahankan pendirian ini, sebab kita rasa belum layak lagi dan bukan kita ni bersikap kasar, tetapi wakil rakyat sedia ada ini belum layak lagi.

“Kita hanya akan mencadangkan orang yang layak sahaja untuk menerima pingat kebesaran seperti selepas mereka bersara dari perkhidmatan dan telah menunjukkan prestasi dan imej yang baik,” katanya.-22/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1426  tetamu dalam talian