21September2020

Agenda Daily

Huru-hara kerajaan PH sebabkan pendapatan penerbit bon terjejas

Pendapatan penerbit bon korporat dijangka akan terjejas akibat faktor ketidakpastian oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap beberapa isu yang terkandung dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu.

Cadangan kerajaan seperti menghapuskan tol, pembatalan projek mega infrastruktur dan ditambah dengan ketegangan perang dagangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China memberi kesan kepada bon korporat yang dinilai oleh Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC).

Menurut MARC, bagaimanapun, pasaran utama bagi bon korporat dijangka diterbitkan antara RM90 bilion dan RM100 bilion bagi sepanjang tahun ini didorong oleh terbitan luar jangkaan bon korporat yang lebih agresif pada separuh pertama 2018.

Katanya, bon korporat ringgit yang diterbitkan pada separuh pertama 2018 berjumlah RM55 bilion, hampir menyamai jumlah pada tempoh sama 2017, iaitu tertinggi sejak separuh pertama 2012.

“Kami juga menyedari terbitan daripada segmen jaminan kerajaan (GG) menurun baru-baru ini dan trend ini dijangka berterusan sehingga separuh kedua 2018 berikutan semakan semula projek mega oleh kerajaan baharu.

“Dengan mengambil kira keadaan ini, kami tidak menjangkakan sebarang impak ke atas aktiviti terbitan bon korporat memandangkan masih terdapat beberapa terbitan bon korporat berskala besar dalam peranca­ngan untuk sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, kerajaan telah membatalkan projek Laluan Tiga MRT (MRT3) manakala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur ditangguhkan.

Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) pula diteruskan dengan kos sebanyak RM16.63 bilion, 47 peratus lebih rendah berbanding kos sebelum itu.

MARC memberitahu, terbitan bon korporat berskala besar itu (yang bernilai lebih RM1 bilion) termasuklah daripada GENM Capital Bhd., FGV Resources Sdn. Bhd., Yong Tai Bhd., United Overseas Bank (Malaysia) Bhd., Country Heights Holdings Bhd., Hong Leong Financial Group Bhd., OSK I CM Sdn. Bhd. dan Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.

“Bagaimanapun, kami melihat beberapa cabaran akan datang melibatkan institusi kewangan dan korporat bagi separuh kedua tahun ini,” katanya.-25/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 494  tetamu dalam talian