17Oktober2019

Henti BRIM bukti kerajaan PH mungkir janji PRU14 - Pemuda UMNO

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diminta berterus terang mengenai sebab sebenar menghentikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun Kamaruddin.

Shahrul berkata BR1M sama seperti bantuan kerajaan lainnya, ia membantu meringankan beban golongan miskin.

"Justeru, Tun Mahathir janganlah berdalih dengan mengatakan BR1M membuatkan rakyat akan bersikap 'manja' atau malas dan hidup bergantung 'tongkat' kerajaan.

"Akui sahaja pengumuman mengurangkan dan seterusnya menghapuskan BR1M kerana kerajaan bakal kekurangan pendapatan kesan daripada pemansuhan GST yang menyebabkan negara kehilangan berpuluh bilion," katanya dalam suatu kenyataan.

Kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan menjenamakan semula BR1M sebagai Bantuan Sara Hidup dan masih meneruskan pemberian bantuan tersebut pada bulan Mei.

Pada 25 Ogos, Mahathir berkata pentadbirannya menyasarkan untuk mengurangkan pemberian BR1M sedikit demi sedikit sebelum dihentikan dan beliau berkata PH akan menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin melalui pelaburan asing dan dalam negeri.

Menurut Shahrul, ini menunjukkan PH mungkir janji pilihan raya, memandangkan Mahathir pernah berjanji pada tahun lalu bahawa BR1M akan diteruskan jika PH menang PRU14.

"Kerajaan PH diingatkan tidak terus menzalimi rakyat dengan memansuhkan bantuan-bantuan rakyat yang dibuat oleh Kerajaan terdahulu. Bagi saya, BR1M atau apa pun nama kerajaan PH ingin perkenalkan wajar dikekalkan dan perlu penambahbaikan untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah terbela.

"Sekiranya BR1M dihapuskan tatkala isu kos sara hidup masih lagi menghimpit rakyat ia membuktikan kerajaan PH di bawah kepimpinan Tun Mahathir gagal menjuarai isu-isu rakyat berbanding Kerajaan terdahulu," katanya.

Untuk tahun ini, keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 akan mendapat BSH berjumlah RM1,500. Keluarga dengan pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM4,000 akan menerima RM900, manakala RM450 bagi individu yang berusia lebih 21 tahun.-28/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 269  tetamu dalam talian