21September2020

Agenda Daily

Harga barang terus meningkat... samada SST ataupun GST

Harga barangan selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus bermula 1 September ini dijangka meningkat berbanding semasa pelaksa­naan cukai barang dan perkhid­matan (GST) sebanyak enam peratus sebelum ini.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar GST yang lebih rendah akan menghasilkan harga yang lebih rendah kepada pengguna berbanding kadar SST yang jelas lebih tinggi.

“Ini berlaku kerana kadar dikenakan oleh GST dan SST tidak sama, oleh itu akan ada perbezaan harga. Bagaimanapun harga kepada pengguna akhirnya bergantung pada faktor lain seperti peniaga mengambil kesempatan kerana kurangnya pemantauan harga oleh agensi kerajaan dan juga pengguna.

“Apa yang berlaku secara rea­liti semasa pelaksanaan GST, ada syarikat yang hantar tuntutan semula cukai kepada kastam terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk rebat, jadi mereka menaik­kan margin keuntungan kerana kecairan terjejas,” katanya.

Tambah Ahmed Razman, kedua-dua SST dan GST tidak akan menurunkan harga barang tetapi perbezaannya hanya kadar kenaikan itu lebih tinggi atau lebih rendah.

“Ini kerana jika kita rujuk Indeks Harga Pengguna (CPI) sejak 2010, harga makanan dan minuman telah naik lebih 30 peratus. Bermakna di bawah SST atau GST, harga barang sentiasa naik.

“Harga barang sentiasa naik kerana penciptaan kredit yang tidak terkawal oleh bank komersial yang menyebabkan lambakan kredit di pasaran seterusnya menyebabkan inflasi,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, SST merupakan rejim cukai yang bersifat ‘berantai’ yang dibawa sehingga ke peringkat akhir iaitu pengguna, namun jumlah cukai tidak dinyatakan di dalam resit pembelian serta tersembunyi daripada penge­tahuan pengguna.

Katanya, situasi itu jelas akan meningkatkan harga barang apabila cukai itu dilaksanakan pada 1 September ini.

“Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya juga telah memberi contoh bagaimana harga sesuatu barangan itu telah dinaikkan terlebih dahulu sebelum kadar GST disifarkan dan penurunan harga yang berlaku selepas GST sifar hanyalah mengembalikan harga barangan tersebut kepada harga asal.

“Pakatan Harapan telah menyalahkan GST yang dikuatkuasakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebagai punca kenaikan harga barang. Namun, selepas kadar sifar dilaksanakan, ternyata sikap peniaga itu sendiri adalah punca kenaikan harga barang,” katanya.-19/7/2018 -Utusan

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 338  tetamu dalam talian