17Oktober2019

Bursa Malaysia terus rendah... dibuka 1,685 mata Rabu pagi

Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.

Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.86 mata kepada 1,682.71 daripada 1,687.57 semasa ditutup pada Selasa, selepas dibuka rendah 1.88 mata kepada 1,685.69 hari ini.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 118 berbanding 87, dengan 124 kaunter tidak berubah, 1,552 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 126.34 juta unit bernilai RM59.46 juta.

Peniaga berkata minat pelabur untuk mengambil risiko terjejas selepas penanda aras global minyak mentah Brent, dilaporkan memasuki pasaran yang menggalakkan jualan, selepas merosot sebanyak 24 peratus daripada paras tertinggi pada Oktober untuk ditutup kepada US$65.47 setong pada Selasa.

"Selain itu, harga MSM tempatan yang merosot untuk enam hari dagangan berturut-turut sehingga semalam disebabkan paras stok yang lebih tinggi pada Oktober, turut mendorong pelabur untuk mengelak daripada mengambil risiko," katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangka Bursa Malaysia diniagakan kurang menggalakkan hari ini, berdasarkan prestasi semalaman pasaran AS yang bercampur-campur.

"Dari segi teknikal, kami menjangka FBM KLCI berada antara paras 1,660 dan 1,710 hari ini, dengan sokongan penurunan pada 1,680 dan 1,658," katanya dalam nota.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.18, Public Bank merosot 14 sen kepada RM24.50, Tenaga turun 12 sen kepada RM14.66, Petronas Chemicals berkurangan empat sen kepada RM9.50 dan CIMB susut tiga sen kepada RM5.47.

Daripada saham aktif, Securemetric dan AirAsia X, masing-masing naik satu sen kepada 54.5 sen dan 25.5 sen, Borneo Oil dan Sapura Energy, masing-masing tidak berubah pada lima sen dan 37 sen, manakala Hibiscus susut lima sen kepada RM1.05.

BAT mendahului senarai kaunter paling rugi apabila merosot 40 sen kepada RM36.60, diikuti UMW susut 23 sen kepada RM4.49, Lafarge Malaysia dan Hong Leong Bank, masing-masing berkurangan 14 sen kepada RM2.04 dan RM20.36, manakala CCM turun tujuh sen kepada RM1.77.

Indeks FBM Emas merosot 21.81 mata kepada 11,680.27, Indeks FBMT 100 berkurangan 23.71 mata kepada 11,516.67 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 20.72 mata kepada 11,819.47.

FBM 70 naik 9.0 mata kepada 13,651.64 dan Indeks FBM Ace meningkat 8.63 mata kepada 4,926.13.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 43.43 mata kepada 17,006.90, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.04 mata kepada 172.85 dan Indeks Perladangan berkurangan 11.13 mata kepada 7,246.52.-14/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 211  tetamu dalam talian