16November2019

Agenda Daily

Azmin dakwa ramai lagi MP UMNO akan keluar parti

Mungkin sebab cemburu tengok UMNO berjaya melaksanakan Perhimpunan Agung Parti dengan kemas dan tersusun, pemimpin PKR yang pemilihan parti dok baling kerusi tunjuk berlagak dan buat komen 'macam bagus'.

Terbaru, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang jadi tukang tilik bahawa jumlah anggota Parlimen daripada UMNO akan semakin menyusut menjelang akhir bulan ini.

Berucap pada Pidato Malaysia Baru sempena pemilihan PKR di Kuala Terengganu malam tadi, beliau berkata daripada 49 anggota Parlimen UMNO ketika ini, akan tinggal ‘tiga, empat kerat sahaja’.

“PKR hari ini adalah blok terbesar di Parlimen. PKR ada 51 anggota Parlimen, DAP mempunyai 42 anggota Parlimen, UMNO ada 49 orang. Esok mungkin 40 orang, kemudian 20 orang dan hujung bulan ini tinggal tiga empat kerat sahaja,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kenyataan itu adalah berdasarkan penilaiannya terhadap Perhimpunan Agung UMNO yang baru berakhir, yang kelihatan lemah tanpa pendirian tegas dalam menentukan hala tuju parti tersebut.

Dalam mengajak anggota PKR menyokongnya dalam pemilihan PKR yang berlangsung Jumaat ini di Terengganu, Mohamed Azmin yang bertanding jawatan timbalan presiden berkata sekiranya diberi mandat beliau akan memberi sepenuh perhatian dalam memberi kebajikan kepada rakyat serta mengatur strategi menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Mengenai tindakan pencabarnya Rafizi Ramli yang kadang kala melontarkan pelbagai dakwaan yang bagaikan mempertikai kesetiaannya terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin berkata Rafizi perlu meneliti bagaimana perjuangannya (Azmin) sejak 1998 yang melalui pelbagai ranjau dalam mempertahankan Anwar.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang bertanding jawatan naib presiden, berkata anggota PKR perlu memilih kepimpinan utama parti itu berdasarkan komitmen menyatukan anggotanya bukan memecah belahkan atas kepentingan peribadi.-2/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1168  tetamu dalam talian