21Ogos2019

UMNO Johor buat kerja 'kerajaan'

Tidak dapat dipertikaikan lagi, sememangnya tampuk pemerintahan yang dipegang UMNO selama 61 tahun di Johor memberi impak yang baik kepada semua rakyat Johor. Namun dek kerana ketaksuban terhadap janji-janji manis Pakatan Harapan yang kononnya ingin memberikan 'perubahan' dan 'pembaharuan' kepada rakyat, akhirnya rakyat terpengaruh dan menjadi mangsa politik mereka.

Sehingga ke hari ini apa perubahan atau pembaharuan yang kita dapat lihat di negeri Johor? Tiada langsung! Malah rakyat pula diabaikan begitu sahaja selepas menang.

Walaupun bahtera UMNO dilanda badai ia tidak langsung mematahkan semangat ahli-ahli UMNO Johor untuk terus berbakti kepada rakyat. Malah UMNO Johor terus memberikan yang terbaik untuk semua rakyat Johor khususnya.

Baru-baru ini, tersebar satu video mengenai UMNO Johor di mana mereka berjaya membawa pulang rakyat malaysia ke tanah air ekoran gempa bumi yang berlaku di Hokaido, Jepun. Mangsa merupakan anak jati negeri Johor yang terkandas di Lapangan Terbang Chitose akibat masalah teknikal.

Pelbagai usaha telah diiktiar oleh mangsa termasuk cuba menghubungi kedutaan Malaysia dan Kerajaan Negeri tetapi malangnya tiada apa-apa respon daripada kedua-dua pihak ini.

Di mana sikap keprihatinan dan ambil tahu kerajaan terhadap rakyatnya?

Lebih aneh lagi, adakah kerajaan yang ada sekarang ini memang langsung tidak prihatin terhadap nasib rakyatnya yang berada di luar negara? Lagi-lagi rakyat yang sedang berada dalam kesusahan.

Jika kita imbas kembali masa zaman pemerintahan sebelum ini, apa-apa sahaja musibah yang melanda rakyatnya di luar negara pasti pihak kerajaan terdahulu akan menghubungi negara yang terlibat bagi memastikan rakyatnya berada dalam keadaan selamat.

Malangnya, kejadian baru-baru ini yang berlaku amat memeranjatkan semua pihak. UMNO Johor dari blok pembangkang sendiri yang berjaya menghubungi mangsa di Hokaido. Bukan itu sahaja, malah UMNO Johor juga menguruskan segala keperluan mangsa termasuk urusan pulang dari Hokaido ke Malaysia.

Kita sedia maklum UMNO bukan lagi di blok kerajaan, tetapi UMNO tetap mengambil tanggungjawab ini atas dasar kemanusiaan dan keprihatinannya terhadap rakyatnya. Tetapi apa pula tugas dan tanggungjawab kerajaan baharu dan kerajaan negeri telah laksanakan kepada rakyat? Adakah hanya semata-mata lihat dan dengar sahaja tetapi tidak bertindak?

Jelas sekali, Menteri Besar Johor masih tidur dan lena dibuai mimpi indah dek kerana kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu. Bangkitlah dari mimpi indah itu, sekarang masanya bukan lagi untuk meraikan kemenangan tetapi kini masanya untuk berbakti kepada rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada mereka. Janganlah lepas menang hanya lepas tangan begitu sahaja sampai tidak pedulikan nasib rakyat yang dalam kesusahan.-18/9/2018


Penulis merupakan penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 269  tetamu dalam talian