21Oktober2019

Ucapan Tengku Razaleigh Hamzah rasmi Mesyuarat ADAB

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenanNya saya dapat bersama dengan satu-satunya kumpulan berpengaruh untuk membantu mencorak maruah serta hala tuju moral bangsa Melayu. Pencorakan maruah ini penting agar kita tidak diperkotak-katik di bumi sendiri. Maka itu saya amat berterima kasih kepada Lembaga Peradaban Melayu [ADAB], di atas undangan untuk memberi ucaptama di Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 ADAB.

2. Tidak dapat dinafikan bahawa negara kita memerlukan khidmat perkumpulan seperti ADAB yang dizahirkan dengan matlamat mendaulatkan doktrin kebangsaan Melayu.
 
Perkumpulan sebeginilah dapat menyenyapkan suara sumbang yang akhir-akhir ini amat lantang mempersoalkan kewajaran orang Melayu sebagai kaum peribumi Semenanjung Tanah Melayu. Di kesempatan ini izinkan saya menyingkap kembali dua pandangan mengenai asal usul orang Melayu agar tiada lagi suara sumbang yang menidakkan hakikat keperibumian Melayu.

3. Satu teori menyatakan bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan. Mereka dianggar kemari di lingkungan tahun-tahun 2500 SM dan telah menolak kaum negrito, yang telah pun berada di semenanjung ini, ke kawasan pedalaman. Sejarah menamai mereka Proto-Malay dan merekalah kemudiannya berinteraksi dengan pelayar dan pedagang India yang merantau ke kepulauan Melayu. Satu lagi pendapat menyatakan tapak rumpun Melayu terbentang dari kepulauan Filipina di sebelah timur hinggalah ke Madagascar di barat. Ia merangkumi gugusan Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura yang dimiliki Johor sehinggalah 1819.

4. Apa pun teori digunapakai untuk menentukan bila dan dari mana peribumi di semenanjung berbentuk jantung pisang ini berasal, pokoknya ialah kaum Melayulah merupakan tamadun pertama bertapak di sini. Tidak hairanlah pihak penjajah British menamai tanah jajahannya itu sebagai the Malay Peninsula, Semenanjung Tanah Melayu. Tepat sekali penamaan itu kerana tatkala pertama kali penjajah British bertapak di sini, sememangnya sudah terdapat sistem sosial dan budaya Melayu dengan susunan tatatingkat [hierarchy] kuasa yang bermercukan Sultan.

5. Pihak penjajah menerima keadaan ini dan terus mengiktiraf kedudukan dan taraf Sultan. Sekali gus ini juga merupakan penerimaan mereka akan kedudukan Melayu sebagai peribumi. Cumanya mereka memerlukan Sultan menerima nasihat daripada British Resident atau British Adviser dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Wujudnya budaya Istana Melayu [Malay Court culture] dan peradaban Melayu secara amnya sebelum Semenanjung Tanah Melayu dijajah Portugis, Belanda dan British serta dibanjiri pekerja asing pada abad ke-19. bolehlah dianggap sebagai bukti tambahan bahawa orang Melayulah kaum peribumi semenanjung ini.

6. Luasnya tapak jejakan Melayu yang diperkatakan sebentar tadi telah memerangsangkan pemikir dan penyajak ulung Melayu, Usman Awang, untuk bermadah seperti berikut di dalam sajaknya berjodol “Melayu”:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya: Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu Mamak dan Malbari serap ke Melayu Malah mua’alaf bertakrif Melayu (Setelah disunat anunya itu)

7. Kebijaksanaan yang terungkap di dalam rangkap ini juga terdapat di kalangan penggerak politik selepas kuasa penjajah kembali ke Tanah Melayu melalui Pentadbiran Tentera British, BMA (British Military Administration). Parti Nasionalis Melayu yang lebih terkenal dengan singkatan MNP pernah mengusul agar kaum Cina dan India digolongkan sebagai Melayu. Sayangnya, cadangan ini tidak kesampaian [seperti juga gagalnya syor Dato’ Onn Jaafar untuk menerima keahlian bukan Melayu dalam parti politik yang ditubuhnya] walau pun ia disokong oleh pengasas MCA, Tun Tan Cheng Lock. Sekiranya cadangan MNP itu diterima, saya yakin masalah perhubungan kaum yang menghantui kita selama ini tidak timbul. Pun begitu, saya menganggap kita masih tidak terlambat untuk membangunkan sebuah negara padu terdiri daripada berbagai kaum. Bagi maksud ini mungkin masanya sudah tiba untuk kita menimbang kembali cadagan MNP itu. Seperti kita maklum, ada beberapa negara berjaya mengadunkan etnik berlainan untuk menjadi satu kaum padu negara mereka.

8. Hakikatnya kita kini pecah berkecai, punah ranah walau pun kita menanam tebu di bibir mulut dengan menyatakan kita bersatu padu sebagai sebuah negara. Sebenarnya kita tidak mempunyai perpaduan nasional. Pembendung perpaduan sesuatu negara ialah budaya dan kita tidak mempunyai budaya nasional yang diterima oleh keseluruhan rakyat kerana dua suku kaum berpengaruh tidak mahu menerima budaya Melayu sebagai teras budaya kebangsaan atas alasan ia tidak sehebat budaya mereka yang dikatakan lebih tua daripada budaya Yunani.

9. Maka itu kaum Melayu diperlekeh. Walau pun di khalayak ramai Melayu lazimnya dihormati, sebaliknya mereka kadangkala digambarkan sebagai malas dan bodoh, iaitu stereotype peninggalan penjajah British. Pengambaran ini bolehlah dianggap sebagai sebahagian daripada amalan divide and rule penjajah untuk mewajarkan pengasingan orang Melayu, yang bersifat kaum agrarian, dengan tenaga buruh yang di bawa masuk untuk mengendalikan lombong timah dan ladang getah kelolaan besar-besaran sebagai sebuah industri oleh penjajah. Pengasingan ini adalah untuk memudahkan pentadbiran mereka. Disebaliknya, orang Melayu juga tidak kurang dengan salah tanggapan mereka bahawa bukan Melayu itu tidak pandai mengenang budi dan tamak dengan perangai diberi betis hendak paha.

10. Malangnya dan amat menyedihkan ialah ethos dan nilai murni Melayu seperti diungkap oleh Usman Awang sebagai:
Dagang lalu nasi ditanakkan Suami pulang lapar tak makan Kera di hutan disusu-susukan Anak di pangkuan mati kebuluran
sering kali disalah tafsir sebagai suatu kelemahan. Maka itu terdapat sesetengah bukan Melayu yang mengambil kesempatan terhadap keadaan ini. Hemah hati budi Melayu tidak dipeduli, bahkan selalu sahaja dipersenda.

11. Keadaan salah tafsir ini bukan hanya terdapat di kalangan rakyat biasa sahaja. Ia juga terdapat di kalangan terpelajar; malah di kalangan ahli akademik, umpamanya, demi menolak hakikat yang biasa menyebelahi Melayu. Satu contoh amat ketara ialah kompromi antara UMNO, MCA, MIC dan wakil Raja- Raja Melayu berkaitan kedudukan istimewa Melayu [yang telah pun diamali oleh penjajah British sebelum merdeka] dan anugerah kerakyatan kepada bukan Melayu yang bukan warganegara. Hasil kompromi tersebut telah dimaktubkan di dalam perlembagaan. Sayangnya pernah terdapat seorang ahli akademik bukan Melayu yang menidakkan hakikat ini.

12. Pada hemat saya, ada kalanya terdapat sesuatu yang dilakukan oleh sesetengah orang kerana sengaja hendak memburuk-burukkan orang Melayu. Contoh amat ketara ialah menggembar-gemburkan penghunusan keris yang kemudiannya dicium oleh seorang yang tidak fikir mendalam akan kemungkinan ia boleh disalah tafsir atau sengaja disalah tafsir untuk memburuk-buruk orang Melayu. Sedihnya, bukan Melayu tidak mengambil tahu ataupun tidak mahu ambil tahu bahawa dalam peradaban Melayu keris itu sebenarnya lambang kuasa. Maka itu dalam istiadat diraja, seseorang pahlawan, ketika menjunjung titah diraja akan mencecah keris bersarung ke dahinya. Kemudian dia akan mengucup keris terhunus sebagai tanda taat setianya kepada raja. Ini juga merupakan perakuan pahlawan tersebut untuk melaksanakan titah sehingga selesai. Malang sekali suatu tindakan tanpa apa- apa muslihat mempalit keseluruhan kaum Melayu.

13. Kita perlu tekankan bahawa kedudukan keris dalam ethos Melayu tidak ada muslihat tidak baik. Ini terbukti dengan adanya lima bilah keris dalam jata negara yang melambangkan lima buah Negeri Tidak Bersekutu di dalam Persekutuan Tanah Melayu di mana majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu. Sesungguhnya, pihak berkuasa British mengakui bahawa negeri- negeri di Semenanjung ini adalah negeri-negeri Melayu. Maka itu di dalam bahasa Inggeris empat negeri dinamakan Federated Malay States dan lima, Unfederated Malay States. Di samping itu keris juga terdapat di lencana sebuah sekolah yang tertubuh untuk anak-anak raja dan bangsawan pada 1905 demi menandakan sifat keMelayuan sekolah tersebut.

14. Tuan-Tuan dan puan-puan, para hadirin sekelian. Di kesempatan ini izinkan saya mengarahkan perhatian kita kepada satu perkara yang amat suka digembar-gemburkan oleh sesetengah bukan Melayu dengan niat untuk memburukkan gambaran terhadap Melayu di kalangan kaum mereka. Maksud saya ialah suara lantang yang tenggelam timbul terhadap apa yang mereka anggap sebagai pendirian agresif di kalangan Melayu yang sering melaung dan mempertahankan kedudukan ketuanan Melayu atau pun Malay supremacy.
15. Saya berpendapat bahawa konsep ketuanan Melayu kini tidak lagi sama seperti semangat asalnya ketika pertama kali ia disuarakan oleh seorang pengamal politik yang rapat dengan kuasa politik semasa di waktu itu. Saya berkata begini kerana sekarang ini ramai orang Melayu mula menganggap seruan ketuanan Melayu sebagai tindakan balas terhadap apa yang dianggap sebagai kutukan terhadap mereka.

16. Ramai berpendapat bahawa gejala ini diakibatkan pendirian secara am di kalangan bukan Melayu yang suka mengutuk keseluruhan masyarakat Melayu kerana kemarahan mereka terhadap tindakan sesetengah pengamal politik Melayu yang mereka anggap tidak seharusnya dibuat. Dengan lain perkataan, laungan ketuanan Melayu ini merupakan backlash terhadap apa yang mereka anggap sebagai tindakan tidak adil oleh bukan Melayu terhadap mereka.

17. Usman Awang menyimpul tindakan balas ini dengan tepat sekali. Dia bermadah:
Watak Melayu menolak permusuhan Setia dan sabar tiada sempadan Tapi jika marah tak nampak telinga Musuh dicari ke lubang cacing Tak dapat tanduk telinga dijinjing...
Saya merujuk kepada sajak Usman Awang berjudul “Melayu” ini atas dua sebab. Pertama, sajak ini berkait langsung dengan mauduk perbicaraan kita. Kedua, saya tertarik dengan pemikiran dan pandangan beliau mengenai isu-isu sosial dan budaya. Sebenarnya merujuk kepada pandangan sebegini yang dizahirkan oleh ahli-ahli sastera pernah menjadi suatu kelaziman. Salah seorang yang disanjung sebegini ialah Za’ba. Malah dalam budaya Barat pergaulan rapat antara pengamal politik dan sasterawan untuk bertukar-tukar fikiran adalah suatu kelaziman. Umpamanya, Winston Churchill dan dramatist George Bernard Shaw dirakam sejarah sebagai dua orang sahabat karib yang kerap menyindir antara satu sama lain. Sayangnya kita seolah-olah tidak memberi tempat kepada perhubungan begini.

18. Selain daripada itu, kita Melayu biasanya gemar memperkatakan perkara remeh temeh dengan sikap “saya lebih hebat daripada dia”, iaitu sikap holier than thou. Kita juga suka membazir masa dan tenaga dengan penekanan terhadap bentuk [form] tanpa menghirau akan kandungannya [substance]. Sudah tiba masanya sikap ini dikikis dan dihentikan. Sudah tiba masanya kita menukar arah untuk maju ke hadapan tanpa apa-apa gangguan, InsyaAllah. Penukaran haluan ini penting kerana kita perlu mewujudkan landasan kukuh demi membantu Generasi Z atau pun Post-Millennials dalam usaha pembendungan mereka sebagai pemacu kemaraan pembangunan Melayu di zaman digital ini.

19. Bagi maksud ini, penekanan seharusnya diberi terhadap keupayaan Melayu di bidang ekonomi dan teknologi, baik teknologi mekanikal mahu pun teknologi perubatan atau bidang-bidang teknikal lainnya. Kemajuan di bidang- bidang ini hendaklah dipertingkatkan lagi demi meninggikan tahap daya saing Melayu untuk bertanding dengan selesa di abad ke-21 ini dan dengan itu menonjolkan anak-anak muda Melayu berkeyakinan ke persada dunia. Kejayaan ini, apabila tiba masanya, di samping membuktikan kehebatan daya saing Melayu, akan menebus maruah Melayu dan melonjakkan kita ke suatu aras yang akan menjadi idaman kepada kaum lain. Demi menjayakan kesemuanya ini, kita haruslah mempercepatkan apa jua perubahan yang dianggap perlu agar apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

Tuan-Tuan dan puan-puan, para hadirin sekelian. Di akhir kata, saya sekali lagi menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga dari hati kecil ini di atas penghormatan kepada saya untuk melafazkan ucaptama persidangan ADAB tahun ini. Selamat bersidang.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

UCAPTAMA DI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-7 ADAB
SILA SEMAK SEMASA PENYAMPAIAN
UCAPTAMA OLEH Y.B.M. TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
SEMASA MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-7 LEMBAGA PERADABAN MELAYU (ADAB)
PADA HARI SABTU, 29 SEPTEMBER 2018, JAM 9:30 PAGI. DI RUMAH KELAB PERSATUAN ALUMNI UNIVERSITI MALAYA (PAUM), KUALA LUMPUR

*gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 268  tetamu dalam talian