20Julai2019

Tindakan dakwa Zahid untuk malukan pemimpin rakyat - MP UMNO

Tindakan kerajaan mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat ini bertujuan untuk memalukan seorang pemimpin yang sentiasa berjuang untuk rakyat.

2. Tindakan ini adalah salah satu strategi untuk memaparkan Dr Zahid sebagai seorang  yang tidak amanah dan tidak layak untuk menjadi pemimpin sedangkan rakyat tahu beliau banyak berjasa kepada negara ini.

3. Pendakwaan ini adalah rentetan kepada usaha untuk memalukan pemimpin-pemimpin UMNO di seluruh negara bermula dengan Dato Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Azeez Rahim. Turut didakwa ialah Datin Seri Rosmah Mansor.

4. Namun, saya yakin rakyat Malaysia tidak akan terpengaruh dengan niat jahat kerajaan kerana umum mengakui Dr Zahid sejak dulu lagi membela rakyat tanpa melihat asal keturunan.

5. Beliau sentiasa membantu rakyat di seluruh negara atas kapasitinya sebagai orang nombor dua negara selain mempengerusikan berpuluh jawatankuasa Kabinet yang bertujuan membantu rakyat.

6. Dr Zahid sendiri telah membangunkan banyak pusat tahfiz dan membina masjid demi mewujudkan lebih ramai huffaz dan menyuburkan syiar Islam di seluruh negara. Apakah salah membantu membentuk rakyat yang berilmu dan menghayati ajara Islam di negara ini.

7. Kita mahu kerajaan memberhentikan tindakan tidak bermoral ini yang dilihat seolah-olah untuk menonjolkan imej kurang baik seorang pemimpin tulen.

8. Kerajaan seharuslah memberi tumpuan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat dan bukannya mengamalkan politik membalas dendam.

9. Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain sebaliknya bantulah rakyat yang semakin resah gelisah kerana tiada pekerjaan dan terkesan dengan kenaikan harga barang.

YB DATO JALALUDDIN ALIAS
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 282  tetamu dalam talian