24September2020

Agenda Daily

Tahniah Asyraf Wajdi... - Khairul Azwan

Saya telah mengucapkan tahniah kepada sahabat lama dan rakan seperjuangan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi atas kemenangan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Saya menawarkan diri untuk sentiasa membantu kepimpinan beliau dan Pemuda UMNO memasuki era pemulihan dan pembaharuan.

Setelah selesai tempoh berkempen dan bertanding, saya harap kini Pemuda UMNO dapat bersatu kembali, saling bermaafan dan kembali bertaut untuk mara ke hadapan bersama.

Kini kita di barisan pembangkang dan pasti ianya adalah tanggungjawab kita untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan alternatif yang terbaik untuk rakyat.

Saya berharap Dr. Asyraf akan mempertimbangkan ‘reforms’ yang telah digariskan dalam manifesto saya tempoh hari iaitu meletakkan had umur Ketua Pemuda UMNO dan had umur keahlian Pemuda menjelang 2021; memperkenalkan sistem pendaftaran ahli yang lebih mudah dan pantas; dan membenarkan ahli sayap mengundi secara terus calon-calon pimpinan sayap bagi memastikan politik wang dapat dihapuskan.

Bagi diri saya, saya akan meneruskan tugas saya sebagai seorang Senator di Dewan Negara sehingga tempoh tamat. Saya tidak akan meletakkan jawatan.

Saya akan berusaha untuk menjadi contoh seorang Ahli Dewan Negara yang adil dan menyokong ketika mana sesuatu rang undang-undang itu baik, dan menjadi kritikal ketika mana sesuatu rang undang-undang itu tidak memenangkan rakyat Malaysia.

Tidak kira dari parti mana anda memihak, kini kita berjuang demi Malaysia yang lebih berjaya.

Terima kasih Pemuda UMNO atas segala persahabatan dan bantuan selama ini.

Setiap liku dan ranjau, ketawa dan duka, kenangan indah kita bersama tidak akan dilupakan selamanya.

Terima kasih atas sokongan kepada saya. Semoga Tuhan merahmati Saudara dan perjuangan ini.

Salam.

Senator Khairul Azwan Harun
24 Jun 2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 408  tetamu dalam talian