23September2020

Agenda Daily

Shahar ikrar sokongan padu kepada kepimpinan Pemuda UMNO

Bekas calon Ketua Pemuda UMNO yang tewas, Mohd Shahar Abdullah, memberi jaminan semangat perjuangannya tidak akan luntur walaupun kalah dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Ahli Parlimen Paya Besar itu menegaskan, sokongan padu kepada barisan kepemimpinan baharu amat penting bagi membantu UMNO kembali bangkit selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Komitmen tetap diberi bagi memastikan kesinambungan perjuangan Pemuda UMNO meskipun bawah kepemimpinan baharu dipilih perwakilan di seluruh negara.

"Sokongan tanpa berbelah bahagi kepada saf kepemimpinan baharu perlu diteruskan demi kelangsungan UMNO yang tercalar selepas gagal menyerlah pada PRU-14," katanya.

Mohd Shahar berkata, agenda golongan muda harus diisi dengan penuh kepatuhan dan semangat tinggi supaya suara mereka memberi impak kepada kepemimpinan parti, selain menunaikan tanggungjawab serta amanah diberi oleh rakyat.

"Suka saya mengingatkan semua ahli UMNO yang kini menjadi pembangkang, supaya lebih bertanggungjawab, amanah dan berintegriti dalam perjuangan membela kebajikan rakyat serta agenda pembangunan demi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Ketua, Shahril Sufian Hamdan; dan barisan EXCO pergerakan itu bagi penggal 2018-2021.

Selain itu, beliau menyuarakan penghargaan dan terima kasih kepada perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara yang memberi sokongan kepadanya sebagai calon jawatan teraju.-25/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 369  tetamu dalam talian