24September2020

Agenda Daily

Riza berada di ibu pejabat SPRM sehingga 10.30 malam Selasa

Anak tiri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz berada selama sembilan jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
 
Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan Riza diarahkan hadir oleh badan pencegah rasuah itu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang disyaki melibatkan ratusan juta wang syarikat berkenaan untuk menghasilkan filem di persada Hollywood.
 
Beliau tiba pada 1.32 tengah hari di sini dan difahamkan sesi memberi keterangan bermula pada 2 petang tadi.
 
Kenderaan jenis Kia Sorento yang membawa ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat filem yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat itu kelihatan meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat SPRM kira-kira 10:30 malam ini.
 
Lebih 50 pengamal media tempatan dan asing telah berkumpul membuat liputan kes yang melibatkan anak tiri bekas perdana menteri itu.
 
Bernama difahamkan Riza dikehendaki hadir semula memberi keterangan pada 2 petang esok.
 
Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan bahawa Riza hanya diambil keterangan sahaja dan tiada keperluan untuk menahan beliau setakat ini.- 3/7/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 417  tetamu dalam talian