21Oktober2019

Rafizi menang lebih banyak cabang di Johor

KOMENTAR Pemilihan Keadilan 2018 minggu kedua telah berakhir dengan berlangsungnya pengundian bagi negeri Johor semalam. Pengundian yang menggunakan sistem E-Undi berjalan lancar di semua kawasan Parlimen (Cabang) dengan lebih 8,000 anggota telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding Pulau Pinang minggu lalu yang mencatatkan jumlah pengundi seramai 6,400 orang.

Pemilihan Keadilan 2018 ini menyaksikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden. Tumpuan terarah kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden apabila penyandangnya Azmin Ali dicabar oleh ikon muda Keadilan, Rafizi Ramli.

Seperti di Pulau Pinang, Azmin Ali turut memenangi jumlah kutipan undi bagi Negeri Johor dengan memperolehi undi sebanyak 4,503, berbanding Rafizi Ramli yang mendapat undi sebanyak 3,976. Jumlah ini dikira berdasarkan sistem satu ahli satu undi yang telah diguna pakai dalam Pemilihan Keadilan sejak tahun 2010.

Biarpun di dua negeri ini menunjukkan Azmin Ali masih mendahului Rafizi Ramli dengan jumlah majoriti sebanyak 703 undi, namun ada beberapa fakta menarik yang menunjukkan undi yang diperolehi oleh Rafizi Ramli memiliki sigfikan tersendiri.

RAFIZI RAMLI MENANG LEBIH BANYAK CABANG DI JOHOR

Jika pertandingan peringkat Timbalan Presiden menunjukkan Azmin mendahului Rafizi, namun Rafizi sebenarnya menang di lebih banyak Cabang negeri Johor berbanding Azmin. Daripada keseluruhan 24 Cabang Negeri Johor, majoriti pengundi di 12 Cabang memilih Rafizi berbanding Azmin yang menang di 11 Cabang. Ini tidak termasuk keputusan di satu cabang lagi yang masih belum dimuktamadkan apabila jumah undi yang diperolehi oleh Rafizi dan Azmin adalah sama.

Oleh kerana Keadilan menggunakan sistem satu ahli satu undi, jumlah pengundi di setiap cabang akan memberi kesan langsung kepada keputusan keseluruhan. Sebagai contohnya, sekiranya digabungkan bilangan anggota Keadilan bagi Cabang Bakri dan Cabang Tenggara, jumlahnya lebih sedikit berbanding anggota bagi satu Cabang Pontian. Justeru biarpun pengundi di dua Cabang Bakri dan Tenggara memilih Rafizi, namun jumlah keseluruhannya lebih sedikit berbanding jumlah undi yang diperolehi Azmin yang menang di Cabang Pontian.

Kemenangan Rafizi di 12 Cabang ini memperlihatkan kepimpinan akar umbi yang cenderung kepada beliau telah menang sebagai Ketua Cabang yang kemudiannya akan membentuk organisasi parti di peringkat negeri Johor.

PERMATANG PAUH JUGA MEMILIH RAFIZI

Antara perkara menarik juga adalah apabila dalam pemilihan di Pulau Pinang minggu lepas, Cabang Permatang Pauh turut memilih Rafizi untuk jawatan Timbalan Presiden. Rafizi memperoleh 231 undi berbanding 206 undi yang diperolehi Azmin. YB. Nurul Izzah Anwar pula telah menang tanpa di cabar bagi jawatan Ketua Cabang Permatang Pauh.

Permatang Pauh merupakan tempat yang memiliki sejarah istimewa bagi anggota Keadilan kerana dianggap sebagai tempat bermulanya perjuangan Reformasi. Dokumen yang menjadi teras perjuangan Keadilan juga dirakamkan di Permatang Pauh yang sehingga hari dikenali sebagai Deklarasi Permatang Pauh.

Justeru saya percaya undi Rafizi tetap signifikan di sebalik jumlah undi yang diumumkan bagi pertandingan Timbalan Presiden. Bermula Jumaat hujung minggu ini, pengundian akan berlangsung di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan. Semoga anggota Keadilan di negeri-negeri ini membuat pilihan yang terbaik demi masa depan Parti Keadian Rakyat yang lebih gemilang.-1/10/2018

Penulis merupakan Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 232  tetamu dalam talian