24September2020

Agenda Daily

Penjawat awam, ahli politik digesa bersuara, cabar pihak berkuasa

Ahli politik dan penjawat awam perlu berani bersuara dan mencabar pihak berkuasa sekiranya mereka merasakan wujud 'perkara meragukan' dalam pentadbiran kerajaan.

Presiden International Movement for a Just World, Dr Chandra Muzaffar berkata langkah itu perlu diambil bagi mengelak berlaku satu lagi malapetaka seperti yang menimpa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila tidak banyak soalan ditanya sebelum ia menjadi masalah.

"Kesetiaan yang tidak perlu dipersoalkan, inilah antara sebab kenapa kita menyaksikan wujudnya keadaan kucar-kacir dalam 1MDB, sebab kita tidak bertanya soalan. Penjawat awam dan ahli politik tidak bertanya soalan. Budaya ini perlu diubah.

"Kita perlu bersedia untuk bertanya soalan dan mencabar jika perlu, bertanya soalan bukan suatu perbuatan yang tidak bersopan, malah, dalam Islam sendiri, bertanya soalan adalah sesuatu yang dianjurkan," katanya pada program bertajuk 'PRU14: Suatu Analisis' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Erti sebenar demokrasi boleh dicapai apabila orang ramai, termasuk penjawat awam dan ahli politik, tampil untuk bertanya soalan, bukan semata-mata mengundi lima tahun sekali, katanya.

Sementara itu, pensyarah sains politik UIAM. Prof Madya Dr Abdillah Noh berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tidak perlu menunggu lama untuk membuat keputusan tentang dasar yang mereka cadangkan.

"Faktor kepercayaan amat kurang dalam kerajaan sebelum ini dan boleh dikatakan telah hilang, sekarang kepercayaan kembali wujud, maka kerajaan PH perlu memanfaatkan jendela kesempatan ini untuk meneliti dasar yang boleh dipinda atau ditambah baik.

"Saya berpendapat kerajaan tidak patut menunggu terlalu lama sehingga faktor kepercayaan itu lenyap pula," kata beliau.-29/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 352  tetamu dalam talian