05Disember2019

Agenda Daily

Mula-mula suka kemudian padan muka...

Langkah untuk kembali kepada sistem SST merupakan langkah keterbelakang, terutamanya ketika lebih 160 negara di seluruh dunia sudah beralih kepada sistem GST.

Hal ini kerana, hasil daripada persetujuan antara pakar-pakar dan pertubuhan ekonomi antarabangsa merumuskan GST tiada cukai bertindih (cascading effect), lebih telus dan mempunyai sistem kawal selia menyeluruh bagi mengelakkan penyelewengan.

Cadangan menggantikan GST kepada SST seperti berbalik kepada roda petak daripada roda bulat. Penguatkuasaan cukai sebanyak 6% akan dikenakan pada setiap peringkat pengilang, pengedaran sehinggalah ke peringkat pengguna.

Di bawah sistem SST, harga produk sering diubah suai sesuka hati oleh orang tengah kerana mereka tidak perlu menyatakan jumlah cukai sebenar.

Terdapat banyak kes di mana pengilang tidak mendedahkan kadar SST mereka dan menyimpan kutipan cukai ini yang dikenakan ke atas pengguna.

Apabila kita melihatnya secara objektif, GST merupakan langkah ke depan. Sekarang, ramai menentang GST kerana ia muncul secara jelas di dalam bil mereka, mengingatkan mereka sedang membayar cukai. Manakala di bawah sistem SST pula, peniaga tidak perlu menyatakan cukai. Jadi, kita tidak terasa seperti membayar cukai kerana tidak sedar kewujudannya.

Ada yang akan bertanya, jika SST menjadikan barangan lebih mahal, mengapa harga barangan lebih murah sebelum kedatangan GST, iaitu di bawah SST?

Terdapat 2 jawapan bagi persoalan ini. Pertama sekali dan yang paling popular adalah kegiatan pencatutan. Orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga dan menuduh GST penyebabnya.

Sebab ke-2 adalah GST lebih cekap dan menyeluruh dalam pengutipan cukai kerana ianya dikawal selia sistem kukuh, menyebabkan tiada sesiapa dapat lari daripada dikenakan GST.

Isu pokoknya, tiada sesiapa yang suka membayar cukai. Namun, penghapusan GST tidak bermakna cukai akan dihapuskan. Sebaliknya, SST akan dikembalikan.

Jika ada pihak ikhlas mahu menghapuskan cukai kepenggunaan, mereka akan menurunkan kadar GST ke sifar, bukannya memperdaya orang dengan menukarnya kepada SST.

Jadi, pembangkang perlu bersikap jujur terhadap rakyat, sudah tentu mereka tahu kelemahan sistem SST ini kerana ramai di antara mereka terdiri daripada golongan yang arif dalam ilmu kewangan.

Jadi, adakah mereka benar-benar percaya kepada sistem ini atau mereka hanya mahu memansuhkan GST (untuk digantikan dengan SST) semata-mata untuk memancing undi?

Kesimpulannya, terdapat 2 perkara utama yang perlu difahami. Pertama, sekiranya GST dihapuskan, ia akan disusuli SST. Kedua, SST adalah sistem lapuk dan tindakan mengembalikannya adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Dasar yang diguna pakai untuk negara kita perlulah bersesuaian buat jangka panjang (#Forwardlooking), bukannya yang lapuk. Oleh itu, penting untuk kita menerapkan pemikiran #ForwardTogether demi merealisasikan masa depan cerah.-29/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 317  tetamu dalam talian