22November2019

Agenda Daily

Mana Menteri Besar dan kerajaan Johor?

Sebelum ini tidak sampai dua bulan menukaran kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Harapan sudah bermacam-macam kita dengar projek-projek untuk rakyat dibatalkan dan ditangguhkan.  Seperti biasa alasan klise yang sering digunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan adalah kedudukan kewangan negara di tahap membimbangkan.

Persoalannya sampai bila mahu menggunakan alasan yang sudah basi seperti ini?

Lebih penting sekali, negeri Johor antara salah satu negeri yang menjadi mangsa kepada masalah ini. Misalnya, projek pembinaan tiga buah masjid di Parlimen Pengerang iaitu Masjid di FELDA Air Tawar 5, FELDA Semenchu dan Taman Bayu Damai terpaksa dibatalkan dengan secara tiba-tiba oleh kerajaan Pakatan Harapan tanpa alasan dan sebab yang munasabah.

Walau pada hakikatnya, projek pembinaan tiga buah masjid ini sudahpun mendapat kelulusan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan sendiri. Jadi apa sebenarnya pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap pembatalan projek ini?

Belumpun reda isu pembatalan projek pembinaan tiga buah masjid, kini sekali lagi penduduk di Johor menjadi mangsa apabila projek dua buah jambatan di Pontian pula berkemungkinan besar akan dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Walhal sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu mereka juga yang memanggil wartawan dan beria-ia mendesak kerajaan lama untuk mempercepatkan pembinaan kedua-dua jambatan ini. Tetapi sekarang apa yang jadi apabila sudah berkuasa mereka sendiri yang memberhentikan projek ini.  

Sekiranya benar projek kedua-dua jambatan ini dibatalkan, apa pula alasan yang hendak diberikan kali ini? Atau kerajaan Pakatan Harapan tetap akan mengunakan alasan yang sama juga kali ini? Setidak-tidaknya mereka perlu memberikan alasan yang kukuh dan munasabah kepada rakyat mengapa projek ini disenaraikan antara projek yang bakal dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Jangan dek kerana kawasan tersebut di bawah Parlimen Pontian atau lebih tepat lagi dibawah kelolaan Datuk Seri Ahmad Maslan menyebabkan projek tersebut sesuka hati ingin dibatalkan. Sepatutnya dengan pembinaan dua jambatan ia akan meringankan beban rakyat, ini tidak kemudahan rakyat terus disekat di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Menjadi persoalannya sampai sekarang di mana Menteri Besar, Dato Osman Sapian dan kerajaan negeri Johor? Kenapa hingga ke saat ini mereka masih senyap seribu bahasa dan kenapa tidak pernah sekalipun membahaskan tentang isu ini? Jauh sekali untuk mempertahankannya.

Jadi apakah pendirian dan tindakan yang akan diambil oleh Menteri Besar dan kerajaan negeri tentang perkara ini? Ataupun hanya akan terus berdiam diri seperti isu pembatalan projek pembinaan tiga buah masjid di Pengerang?

Sepatutnya sebagai Menteri Besar, Dato Osman Sapian bersama-sama dengan kerajaan negeri Johor perlu mempertahankan dan mendesak kerajaan Pusat untuk meneruskan projek-projek ini. Memandangkan projek-projek ini merupakan kemudahan dan keperluan semasa penduduk di Johor maka Menteri Besar dan kerajaan negeri perlu tegas menyatakan pendirian mereka mengenai projek-projek di Johor.

Sampai bila mereka mahu menjadi pak turut bagai lembu dicucuk hidung kepada kerajaan Pusat? Setidak-tidaknya buat sesuatu yang boleh mempertahankan hak rakyat. Kerana kesemua ini adalah projek untuk rakyat bukan kepentingan individu. Ingatlah rakyat mampu menilai dengan baik dan rakyat juga mampu menentukan siapa yang lebih layak untuk mempertahankan setiap hak-hak milik mereka.-12/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 240  tetamu dalam talian