15Ogos2020

Agenda Daily

Kerajaan perlu perkasakan pembekal bumiputera - Datuk Faiza

Syarikat Faiza Sdn Bhd berharap kerajaan mengkaji semula caj terhadap barangan keluaran syarikat bumiputera yang dibekalkan ke pasar raya, kata pengasasnya, Datuk Faiza Bawumi Sayed Ahmad.

Katanya kajian itu perlu bagi mengurangkan beban pembekal bumiputera seperti syarikatnya berikutan setiap produk yang dibekalkan ke pasar raya dikenakan caj 15 peratus untuk setiap harga jualan produk.

"Caj yang dikenakan ke atas syarikat tempatan ini terlalu tinggi dan ia sama dengan caj kepada syarikat antarabangsa. Kami harap agar ia dapat dikurangkan kepada sekurang-kurangnya 10 peratus."

"Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk membezakan caj bekalan barangan oleh pengeluar tempatan dan antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Khamis.

Faiza Bawumi turut berharap permit pemindahan barang yang dikenakan kepada syarikat bumiputera dapat dimansuhkan bagi memudahkan proses penerimaan barang oleh pelanggan.

"Permit pemindahan barangan dari daerah ke daerah atau negeri melewatkan proses penghantaran. Contohnya, pemindahan bekalan dari Johor ke Melaka perlu ada permit terlebih dahulu."

"Ada negeri bercuti pada Ahad sedangkan proses mendapat permit mengambil masa tiga hari bekerja. Syarikat pula terpaksa menanggung bayaran penalti yang tinggi jika berlaku kelewatan penghantaran," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau meminta kerajaan memberi lebih banyak kemudahan kewangan bagi syarikat pertengahan Malaysia (MTC) yang memperoleh pendapatan tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta setahun.

"Kita menerima pinjaman RM3.7 juta pada 1996 daripada Bank Bumiputera Malaysia Bhd dan kemudiannya mendapat dana sebanyak RM390,000 antara 2008 dan 2009 daripada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana."

"Selepas itu, kita tidak lagi menerima sebarang kemudahan kewangan untuk memperluaskan perniagaan. Kebanyakan bantuan kerajaan ditumpukan kepada syarikat IKS (Industri Kecil dan Sederhana)," katanya.-12/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 356  tetamu dalam talian