21Oktober2019

Keracunan arak: 95 kes, 40 kematian

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkaitan kejadian keracunan metanol di Malaysia. Untuk makluman bermula dari 15 September sehingga 27 September 2018 jam 12.00 tengahari, KKM telah menerima sejumlah 95 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasilitifasiliti kesihatan KKM. Jumlah keseluruhan kes keracunan metanol di negeri Selangor sebanyak 63 kes, Negeri Sembilan meningkat kepada tiga (3) kes, Kuala Lumpur dan Perak kekal sebanyak 17 dan 12 kes masing-masing.
 
Terdapat pertambahan sebanyak tiga (3) kematian akibat keracunan metanol yang telah dilaporkan iaitu satu kematian masing-masing dari negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Dengan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol telah meningkat kepada 40 kes. Terkini, jumlah kematian akibat keracunan metanol di negeri Selangor adalah seramai 24 kematian, negeri Perak empat (4) kematian, Kuala Lumpur seramai 11 kematian, manakala satu (1) kematian di Negeri Sembilan.
 
Bagi pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital, terdapat lapan (8) pesakit yang telah didapati stabil dan didiscaj. Sehingga 12:00 tengahari tadi, seramai 17 orang pesakit masih dirawat di enam (6) buah hospital di sekitar negeri Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Daripada 17 orang pesakit ini, tujuh (7) pesakit adalah kes kritikal.

KKM sedang berusaha untuk menyebarluas maklumat berkaitan keracunan metanol ini kepada masyarakat terutamanya kepada golongan yang berisiko.  Sesi penerangan dan pendidikan  kesihatan berkaitan keracunan metanol disasarkan kepada pekerja-pekerja di kilang-kilang dan juga kepada ahli keluarga dan rakanrakan kes. Penyebaran maklumat adalah melalui edaran risalah, poster, nasihat individu, sesi ceramah, temu bual di radio dan juga informasi secara infografik di media sosial.

Sehingga 27 September 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,581 buah premis yang menjual arak di mana 5,905 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit telah disita kerana tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
 
Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Pengguna perlu pastikan bahawa setiap produk makanan atau minuman yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat seperti pengeluar, pengimpot, agen dan penyenaraian bahan ramuan.
 
Masyarakat diseru untuk membawa segera ahli keluarga atau rakan-rakan yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima (5) hari pengambilan minuman beralkohol ke mana-mana klinik atau hospital terdekat untuk menerima rawatan.
 
KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini.
 
Sekian, terima kasih.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 234  tetamu dalam talian