17Oktober2019

IPIC yang berhutang dengan 1MDB - Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata penyelesaian IPIC dengan 1MDB yang tidak didedahkan kepada umum menunjukkan firma berpengkalan di Abu Dhabi itu sepatutnya akan membayar dana yang didakwa hilang menjelang tahun 2020.

"Ini ialah kerana IPIC yang hutang pada kita dan bukan sebaliknya.

"Perjanjian penyelesaian yang saya mahu kerajaan dedahkan akan menunjukkan bahawa kita telah beri masa sehingga 30 Disember 2020 untuk IPIC bayar balik kepada 1MDB semua wang yang dikatakan hilang.

"Kalau dokumen-dokumen perjanjian-perjanjian ini didedahkan maka terbuktilah Najib bukan penyamun ataupun penyangak dan telah berusaha memastikan harta dan hak rakyat Malaysia dijamin," katanya.

Najib merujuk kepada sejumlah AS$3.5 bilion (RM14.64 bilion kadar tukaran wang asing semasa) dana 1MDB yang hilang.

Dana berkenaan sepatutnya dibayar kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS.

Bagaimanapun, firma Abu Dhabi itu berkata tidak menerima wang tersebut.

Najib dakwa IPIC setuju bayar 1MDB pada 2020

Dana itu menjadi pertikaian, tetapi Najib mendakwa pada penyelesaian April 2017, IPIC telah bersetuju untuk membayar balik dana 1MDB menjelang tahun 2020.

Bekas menteri kewangan juga memetik penyelesaian itu pada hantaran Facebooknya, khususnya pernyataan, "pihak-pihak berkenaan juga telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan yang baik berkaitan dengan pembayaran yang dibuat oleh 1MDB Group kepada entiti tertentu." (The parties have also agreed to enter into good faith discussions in relation to payments made by 1MDB Group to certain entities.)

Walaupun Najib mendakwa bahawa IPIC akan membayar balik 1MDB, pernyataan yang dikutipnya itu dapat difahami bermaksud IPIC hanya bersetuju untuk meneruskan lagi perbincangan mengenai hal tersebut.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata dokumen itu tidak dapat didedahkan kerana Najib sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah mengenai kes penyelesaian IPIC.

Jabatan Keadilan (DOJ) AS telah menyatakan dana 1MDB disalurkan kepada syarikat British Virgin Islands dengan nama yang sama - Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI), yang tidak berkaitan dengan IPIC - yang kemudiannya didakwa disalahgunakan oleh ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dan rakan-rakannya.

Najib turut bertanya pemimpin DAP Lim Kit Siang yang juga pengkritiknya, mengapa tidak pernah mempersoalkan bos dan eksekutif IPIC mengenai dana yang hilang itu.

Sebelum ini dilaporkan bekas pengarah urusan IPIC Khadem al-Qubaisi telah ditangkap pada Ogos 2016 berhubung dengan skandal 1MDB.

Sarawak Report mendakwa bekas ketua pegawai eksekutif PJS Aabar Investment Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny juga ditangkap pada awal tahun itu.

Al-Qubaisi dan Al-Husseiny didakwa telah menubuhkan Aabar BVI pada bulan Mac 2012, dua bulan sebelum menerima sebanyak AS$ 576.94 juta (RM2.42 bilion) daripada 1MDB sebagai deposit keselamatan.

DOJ mendakwa bahawa kedua-dua lelaki itu telah menubuhkan Aabar BVI dengan tujuan menyelewengkan dana 1MDB.

Tidak jelas jika mereka masih ditahan.-12/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 265  tetamu dalam talian