13Ogos2020

Agenda Daily

Hutang negara paling tinggi tahun 1986

Saya mengikuti sesi Dewan Rakyat sebelah pagi tadi dan berasa tertarik dengan jawapan Perdana Menteri bagi soalan jawab lisan berkenaan pinjaman yang hendak dibuat oleh kerajaan dari Jepun.

Dalam jawapan yang diberikan, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa hutang kerajaan pada tahun 1980an dan 1990an adalah kurang dari RM300 bilion atau bersamaan sekitar 27% KDNK negara pada masa itu.

Saya telah membuat semakan dari data yang diperolehi dari laman web Kementerian Kewangan. Hasil semakan yang telah dibuat mendapati jawapan dari Perdana Menteri adalah jauh tersasar dari kebenaran sebenar.

Walaupun benar hutang kerajaan sepanjang tempoh yang disebutkan Perdana Menteri tidak pernah melebihi RM300 bilion, namun apabila dibandingkan dengan KDNK, Perdana Menteri ternyata telah memberi jawapan yang tidak benar dan mengelirukan Dewan.

Sebagai rekod, sepanjang tempoh kali pertama pentadbiran Perdana Menteri selama 22 tahun bermula tahun 1981 sehingga 2003, kadar hutang kerajaan berbanding KDNK yang paling rendah dicatatkan adalah pada tahun 1997 iaitu sebanyak 31.9%.

Manakala rekod tertinggi yang dicatatkan adalah pada tahun 1986 iaitu sebanyak 103.4% berbanding KDNK. Rekod 103.4% ini juga adalah yang paling tinggi dalam sejarah semenjak tertubuhnya Malaysia.

Berkenaan hutang luar persisir pula, tahun 1986 juga telah menjadi rekod tertinggi dalam sejarah apabila peratusan hutang luar persisir berbanding KDNK yang direkodkan sebanyak 39.5%.

Dewan Rakyat sepatutnya dijadikan tempat untuk kerajaan menyatakan kebenaran. Namun apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri pada pagi tadi adalah sangat mengecewakan. Jumlah 27% yang disebut bukan sahaja tidak tepat malah boleh disifatkan salah secara mutlak dan terang.

Perdana Menteri dengan jelas telah mengelirukan Dewan. Suka saya memetik Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan adalah disifat menghina Majlis Mesyuarat.

Rakyat telah membuat keputusan untuk memberi mandat kepada kerajaan baharu. Sementara Barisan Nasional sedang dalam proses menjadi pembangkang yang berkaliber, saya juga mengharapkan kerajaan hari ini juga dapat mengangkat slogan ketelusan yang selama ini dilaungkan.-24/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 381  tetamu dalam talian