14Ogos2020

Agenda Daily

Hapus kepentingan ekonomi Melayu...?

PAS menuntut jaminan daripada Kerajaan Persekutuan supaya penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) tidak mengetepikan kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Asas tuntutan ini dikemukakan kerana bimbang polisi-polisi ekonomi yang lebih liberal akan diperkenalkan berdasarkan meritokrasi sehingga mengabaikan kontrak sosial, dasar afirmatif dan peruntukan khas seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

PAS mendesak keputusan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu mesti dirunding bersama pemegang taruh (stakeholders) dalam kalangan parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berteraskan Melayu-Islam termasuk tokoh-tokoh yang berpengaruh.

Pakatan Harapan perlu sedar berdasarkan laporan PRU Ke-14 daripada badan-badan kajian terkemuka menunjukkan PH hanya memperoleh sekitar 25% hingga 30% sahaja sokongan daripada pengundi Melayu.

Oleh sebab itu, dasar-dasar ekonomi yang mahu dirombak harus mengambil kira kedudukan majoriti rakyat di Malaysia.

Kerajaan Persekutuan disaran turut mengambil input-input untuk mengimplementasi model ekonomi Islam sepertimana yang pernah disarankan oleh Profesor Adjung Kamal Salih ketika berbincang dengan Majlis Penasihat Kerajaan awal bulan lalu.

Keadilan pengagihan ekonomi yang mahu dicapai mestilah bermula dengan menghapuskan amalan kronisme, monopoli, kleptokrasi, korupsi, rasuah dan penstrukturan sistem percukaian yang lebih baik.

Sekiranya terdapat matlamat-matlamat utama yang masih gagal dicapai dalam DEB dan MEB, maka strategi pelaksanaannya yang harus diperbaiki bukan sasarannya yang dirombak. -27/7/2018


Penulis merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 333  tetamu dalam talian