15Ogos2020

Agenda Daily

Fokus laksana manifesto 100 hari, jangan 'u turn'

Pembukaan Parlimen hari ini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila pertama kali dalam sejarah Malaysia Barisan Nasional berpindah ke blok pembangkang. Semoga Barisan Nasional dapat berperanan secara berkesan dalam memastikan semak dan imbang yang sihat berlaku.

Hari ini juga merupakan hari ke 69 sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Malaysia. Berbaki lebih kurang 31 hari lagi untuk Kerajaan baru ini melaksanakan janji 100 hari yang telah dimanifestokan sebelum ini.

Dalam masa 100 hari, Pakatan Harapan berjanji untuk melaksanakan 10 perkara utama iaitu memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mengembalikan semula subsidi minyak secara bersasar, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah, menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menyamaratakan gaji minimum, siasat institusi-institusi yang terpalit dalam skandal terutama sekali isu 1MDB, menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, mengkaji semula langkah pemberian projek mega kepada negara-negara asing, menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Jika diamati janji-janji ini, betapa ruginya polemik yang dicipta sejak kebelakangan ini. Isu UEC berkait Kementerian Pendidikan dan persoalan ‘menjaga agama’ yang dibangkitkan oleh banyak pihak ekoran ucapan Menteri Agama baru-baru ini jelas bukan keutamaan yang perlu diperdebatkan.

Tambah membimbangkan apabila sudah ada simptom ‘U-Turn’ terhadap janji-janji sebelum ini. Sebagai contoh, Pakatan Harapan sebelum ini berjanji akan memansuhkan Biro Tatanegara (BTN), namun baru-baru ini BTN dikatakan akan dikekalkan dengan perubahan tertentu pada pengisiannya.

Tidak perlu dihuraikan kembali betapa BTN ini membawa semangat yang sangat negatif sebagai agen propaganda parti pemerintah. Kerajaan juga tak perlu memberi alasan panjang lebar untuk merasionalkan ‘U-Turn’ ini. Isunya adalah, tindakan Kerajaan hari ini seolah-olah menggambarkan manifesto yang dibuat sebelum Pilihan Raya dahulu tidak dibina atas asas yang benar-benar kukuh.

Keadaan ini menimbulkan kerisauan apakah lebih banyak ‘U-Turn’ akan dibuat?. Setelah BTN yang perkasakan oleh Tun M pada tahun 1982 tidak jadi dimansuhkan, mungkinkah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang juga telah diperkasakan oleh Tun M pada tahun 1974 juga akan mengalami nasib yang sama.

Justeru dengan pembukaan Parlimen pasca Malaysia baharu ini, Kerajaan Pakatan Harapan diharap dapat memberi penumpuan serius dalam melunaskan janji-janji 100 hari yang berbaki lebih kurang sebulan sahaja lagi.

Laksanakan manifesto, jangan ‘U-Turn’ dan elakkan daripada terjebak dengan polemik yang tidak memberi kesan besar kepada rakyat apatah lagi polemik tersebut tidak menjadi keutamaan dalam manifesto sebelum ini.-16/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 445  tetamu dalam talian