14Ogos2020

Agenda Daily

FGV perjelaskan tuduhan tidak benar NGO ANAK

FGV Holdings Bhd menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili peneroka Felda, sebagai tidak benar dan telah menyebabkan kekeliruan.

Dalam video yang disiarkan di Youtube, ANAK berkata FGV memperoleh 51 peratus kepentingan dalam Felda Holdings Bhd (FHB) daripada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) dengan nilai RM2.2 bilion.

"Ia juga mendakwa RM2.2 bilion itu sebagai jauh di bawah nilai pasaran untuk 51 peratus kepentingan dalam FHB, dan jauh lebih rendah daripada RM6 bilion yang dibayar kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk 49 peratus kepentingan dalam syarikat yang sama.

"Ini tidak benar. Jelas, terdapat salah faham dan kekeliruan melibatkan pelbagai transaksi yang berlaku pada masa berlainan," menurut FGV dalam kenyataan hari ini.

Syarikat perladangan itu berkata sebelum penyenaraiannya pada 2012, ia merupakan anak syarikat milik penuh Felda. Bagaimanapun, FHB dimiliki bersama oleh Felda dan KPF, dengan masing-masing memegang 49 peratus dan 51 peratus kepentingan.

Pada 2009, sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula peringkat dalaman, FGV mengambil alih 49 peratus kepentingan Felda dalam FHB dengan nilai RM1.57 bilion secara tunai, dan bukan RM6 bilion seperti dilaporkan.

Pada 2013, selepas penyenaraiannya, FGV mengambil alih baki 51 peratus kepentingan dalam FHB daripada KPF dengan nilai RM2.2 bilion secara tunai.

Susulan penyenaraian FGV pada 2012, Felda meraih RM5.5 bilion sebagai sebahagian daripada tawaran untuk menjual saham dalam FGV.

Semua transaksi dipantau oleh penasihat bebas dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah dan pemegang saham FGV, KPF dan Felda.

Selain itu, semua transaksi yang dinyatakan dilaksanakan dengan wajar dan didedahkan secara terbuka.

Dilaporkan ANAK telah membuat tiga laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan salah urus kewangan dalam Felda melibatkan bekas Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan beberapa entiti lain.

Timbalan Presiden ANAK Mohd Nasaie Ismail berkata laporan pertama berkaitan dengan penjualan 51 peratus kepentingan dalam FHB oleh KPF kepada FGV pada harga RM2.2 bilion atau RM19.61 sesaham pada 2013.

Bagaimanapun, katanya badan berkanun Felda, yang juga menjual 49 peratus daripada pegangannya dalam FHB, menerima bayaran sebanyak RM5.7 bilion atau RM52 sesaham daripada FGV.

Beliau berkata firma penyelidikan saham TA Securities dan Kenanga Research menjangka nilai pasaran 51 peratus kepentingan dalam FHB berharga antara RM3.2 bilion dan RM4.08 bilion.-12/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 417  tetamu dalam talian