17Oktober2019

Bukan Melayu mudah lupa tapi Mahathir yang mudah lupa

Kita sedia maklum Tun Mahathir tidak ada kena mengena lagi dengan parti UMNO. Tetapi dalam sebuah wawancara iaitu Bicara Minda bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir tanpa segan silunya Tun Mahathir memaklumkan bahawa ‘UMNO sudah tiada’. Apa haknya untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu? Sedangkan ahli-ahli UMNO yang lain tidak pernah sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu.

Apa sebenarnya muslihat atau agenda Tun Mahathir? Adakah Tun Mahathir ingin membangkitkan kemarahan orang melayu? Sedar atau tidak Tun Mahathir bahawa parti UMNO masih memegang lebih 40 kerusi berbanding parti PPBM yang hanya 13 kerusi sahaja sekali gus mencatatkan parti yang paling minoriti dalam Pakatan Harapan.

Dulu Tun Mahathir sendiri yang kata Melayu mudah lupa, tetapi hakikatnya kata-katanya sendiri memakan dirinya kini ibarat kacang lupakan kulit. Siapa yang pelupa sekarang ini?

Lupakah Tun Mahathir?

Selama ini beliau berdiri dan menaikkan namanya sebagai ahli politik hingga ke hari ini bermula dari mana kalau bukan parti UMNO. Parti keramat inilah membolehkan beliau bertahan mentadbir negara selama 22 tahun lamanya.

Lupakah Tun Mahathir?

Selama 22 tahun itulah perlu diingat bahawa beliau berjaya mengayakan dirinya, anak-anak dan cucu-cucunya sendiri. Acuan pemimpin sebeginilah membuatkan UMNO dipandang serong oleh orang-orang Melayu sendiri.

Lupakah Tun Mahathir?

Perit jerih rakyat yang bersatu bersama parti keramat ini yang berjuang bermati-matian semata-mata untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Tanah Melayu berjaya dimerdekakan kerana parti UMNO, bukan parti PKR, bukan juga parti PPBM dan seangkatan dengannya.  

Parti UMNO tidak pernah salah kerana parti ini ditubuhkan untuk menjaga hak-hak keistimewaan orang melayu, menjaga kedaulatan negara bahkan memartabatkan maruah agama Islam di tempat yang paling tinggi. Prinsip perjuangan UMNO sangat jelas bukanlah seperti apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir dalam wawancara tersebut iaitu perjuangan UMNO ialah untuk kekalkan Najib (Datuk Seri Najib Razak) sebagai pencuri yang terbesar.

Malah parti UMNO tidak pernah salah di mata orang-orang Melayu. Kesilapan yang berlaku dalam parti UMNO bukanlah disebabkan parti itu sendiri, tetapi kesalahan individu yang tidak bertanggungjawab yang tergoda dengan kuasa dan pangkat. Janganlah hanya segelintir individu yang membuat silap, parti UMNO mahu dikuburkan.

Muak, bosan, lali itulah perasaan apabila acap kali Tun Mahathir membuat pelbagai tomahan dan pertuduhan terhadap UMNO. Tidak perlu diulang banyak kali atas apa yang berlaku dalam UMNO. Rakyat sudah sedia maklum masalah yang melanda UMNO sehingga menyebabkan parti itu tersungkur pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Sepatutnya apabila sudah berada di blok kerajaan kini, Tun Mahathir perlu lebih fokus untuk menjaga hak kepentingan rakyat bukannya masuk campur lagi urusan UMNO. Hairannya kenapa masih hendak ambil tahu tentang perjuangan parti yang tidak ada kena mengena dengan dirinya lagi? Kenapa tidak cerita atau canang sahaja hala tuju dan perjuangan parti sendiri? Ini tidak masih ingin memecah belahkan parti lain.

Tindakan Tun Mahathir seakan-akan menunjukkan beliau sedang bimbang dan risau akan kedudukannya dan partinya dalam Pakatan Harapan sejak DS Anwar Ibrahim kembali semula ke Parlimen. Adakah Tun Mahathir takut dengan bayang-bayangnya sendiri?

Kalau tidak mana mungkin Tun Mahathir mengalu-alu ahli UMNO sertai PPBM dan meninggalkan parti UMNO. Apa sebenarnya agenda yang tersembunyi disebalik ini hanya Tun Mahathir sahaja yang tahu.

Kononnya parti UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak orang Melayu seperti parti PPBM. Tetapi sedar atau tidak sudah hampir setengah tahun mandat yang diberikan kepadanya tetapi tidak pula nampak apa-apa perubahan. Yang ada satu persatu hak keistimewaan orang-orang Melayu hendak dicabar. Ini ke yang dinamakan memperjuangkan hak-hak orang Melayu?

Atau sebenarnya tunggu masa sahaja untuk PPBM disingkirkan dari Pakatan Harapan? Maklumlah parti PPBM adalah parti minoriti dalam Pakatan Harapan. Oleh sebab itu, Tun Mahathir tanpa segan silu meminta ahli UMNO sertai parti PPBM dan secara automatiknya memperlihatkan pertambahan ahli PPBM.

Sudah-sudahlah campur tangan dalam hal ehwal UMNO alangkah lebih eloknya jika Tun Mahathir memberi fokus sepenuhnya kepada parti sendiri dan hala tuju negara yang masih samar-samar sejak ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan daripada ingin menguburkan parti lain.-26/10/2018

Penulis merupakan penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 262  tetamu dalam talian