24September2020

Agenda Daily

AWO mahu berehat, luangkan masa bersama keluarga

Tan Sri Abdul Wahid Omar (AWO) yang bersara sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 30 Jun ini, berkata beliau akan memanfaatkan tempoh selepas ini untuk berehat sebentar selain meluangkan masa bersama keluarga setelah berkhidmat untuk negara selama 17 tahun.

"Setelah 17 tahun 'berkhidmat untuk negara' dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan iaitu bermula dengan Kumpulan UEM-Renong (2001-2004), Telekom Malaysia (2004-2008), Maybank (2008-2013), Kerajaan Malaysia (2013-2016) dan PNB (2016-2018), saya akan mengambil peluang ini untuk berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga," kata beliau.

Beliau juga bersara dari Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

Terdahulu, PNB menerusi satu kenyataan media mengumumkan persaraan Abdul Wahid dan juga pelantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Kumpulan PNB yang baharu mulai 1 Julai, 2018.

Mengulas kenyataan itu, Abdul Wahid berkata ini bagi membolehkan suatu peralihan kepimpinan Lembaga Pengarah PNB dengan lancar dan teratur untuk memastikan urusan pelaburan dan operasi Kumpulan PNB tidak terjejas.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Zeti di atas pelantikan sebagai Pengerusi PNB yang ke-4 sejak penubuhan PNB pada 1978.

Beliau turut menyifatkan proses itu sebagai satu kesinambungan tradisi kepimpinan PNB daripada kalangan mereka yang ternama dan mempunyai reputasi integriti serta berkebolehan tinggi iaitu bermula daripada Allahyarham Tun Ismail Ali dan kemudiannya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

"Sebagai Pengerusi ketiga, saya berbesar hati menyerahkan tugas kepada Tan Sri Zeti dalam kedudukan kewangan PNB yang terus kukuh dan reputasi kekal sebagai sebuah institusi nasional yang berintegriti.

"Saya percaya Tan Sri Zeti dan ahli-ahli Lembaga Pengarah serta Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan barisan pengurusan Kumpulan PNB akan terus dapat menerajui Kumpulan PNB mencapai kejayaan yang lebih tinggi lagi," katanya.

Abdul Wahid turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan seluruh warga Kumpulan PNB atas segala sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepadanya sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Ucapan terima kasih itu turut beliau rakamkan kepada barisan Pengerusi, ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, barisan pengurusan dan seluruh warga syarikat-syarikat strategik dan teras PNB atas sokongan terhadapnya dan PNB selama ini.

"Terima kasih juga kepada rakan-rakan semua yang banyak menyokong dan membantu saya selama ini. Saya memohon maaf sekiranya saya ada membuat salah atau terkasar bahasa semasa menjalankan tugas.

"Selamat maju jaya kepada Kumpulan PNB. Saya percaya di bawah kepimpinan Tan Sri Zeti sebagai Pengerusi dan Datuk Abdul Rahman sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, PNB akan terus berjaya sehingga mencapai aspirasinya untuk menjadi sebuah Firma Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia."-30/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 415  tetamu dalam talian