14Disember2019

Agenda Daily

Apa yang telah saya tulis itu adalah fakta...

Saya Hishamuddin Rais terpanggil untuk menjawab pertanyaan media tentang tulisan saya bertajuk: Merakam Sejarah - Disailang Lagi - yang disiar dalam kolum saya di MalaysiaKini pada 30 Ogos 2018

Beberapa media cetak dan portal dalam dan luar negara telah membuat laporan bersangkutan dengan tulisan saya ini.

Laporan media ialah juga bersangkutan dengan komen daripada Saudara Anwar Ibrahim mengenai tulisan saya.

Saya jelaskan disini. Apa yang telah saya tulis itu adalah fakta. Saya tahu apa yang saya tulis. Ianya bukan rekaan. Ianya bukan desas bin desus. Ianya bukan cerita tepi jalan. Ianya bukan bisikan sesiapa pun.

Ada babak-babak politik yang telah menjadi berita. Babak politik ini diketahui umum.

Contohnya: Kenyataan Rafizi menolak pengumuman Mahathir yang telah melantik Lim Guan Eng, Mat Sabu dan Muhyiddin Yassin sebgai menteri.

Contohnya: Istiadat angkat sumpah lambat.

Contohnya: Pada hari Sabtu 12 Mei 2108 wajah Wan Azizah dan pemimpin PKR tidak kelihatan ketika Mahathir mengumumkan perlantikan awal tiga menteri  -  Muhyiddin, Mat Sabu dan Lim Guan Eng.

Apa yang saya tulis ialah menerangkan fakta-fakta dibelakang tabir yang melahirkan berita-berita ini. Saya melakar peta dan mencantumkan berita dan babak ini. Saya ikat berita ini dengan babak-babak latar yang tidak diketahui umum.

Justeru saya memberi pencerahan kepada orang ramai kenapa angkat sumpah lambat. Kenapa Rafizi mengeluarkan kenyataan menolak lantikan Mahathir. Atau kenapa tidak dilihat muka Wan Azizah pada Sabtu 12 Mei 2018.

Sila ambil perhatian: Babak sejarah juga memiliki sejarahnya sendiri.

Saya lakukan ini sebagai tugas saya untuk merakam sejarah. Ini untuk rujukan anak cucu cicit kita saperti yang telah dilakukan oleh Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin. Seperti yang telah dilakukan oleh Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah.

Saya juga menulis pekara ini kerana dalam beberapa babak saya sendiri ada bersama. Justeru saya wajib berlaku jujur kepada diri saya sendiri untuk merakamkan  apa yang saya lihat dan apa yang saya dengar.

Saya tidak ambil pot siapa menjadi Perdana Menteri. Mahathir ke? Anwar ke? Azmin ke?  Lim Guan Eng ke?

Sosok-sosok hilang berganti. Menteri ini atau  menteri itu akan hidup dan akan mati. Para menteri ini berpotensi untuk belot. Pada pandangan politik saya yang fundamental bukan sosok atau individu.  Untuk saya yang penting dan fundamental ialah mempertahan agenda reform.

Agenda reform ialah untuk mewujudkan lembaga-lembaga yang demokratik dalam Malaysia Baru dibawah Pakatan Harapan. Hanya dengan perubahan struktural. Ertinya dengan  mewujudkan lembaga daulah yang demokratik. Hanya dengan adanya struktur dan lembaga daulah yang demokratik  maka ianya boleh menjamin ruang demokrasi yang anak semua bangsa menangi pada 5 Mei 2018 akan terus wujud.

Menteri dilantik bukan kerana keluarga, bukan kerana turun temurun atau kerana perhubungan rapat dengan Si Anu atau Si Anu. Orang ramai melantik YB agar YB mempertahan ruang demokarsi dan agihan ekonomi yang adil.

Agenda Malaysia Baru pada saat ini ialah memertahankan ruang demokrasi.

Anak semua bangsa  wajib belajar dari apa yang terjadi di Filipina. Bagaimana ‘People Power’ dari kemenagan Corazon Aguino (1986) akhirnya hari ini melahirkan Duterte. Kita juga wajib  melihat apa yang telah terjadi di Indonesia.

Anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Malaysia wajib sedar bahawa kemenangan ruang demokrasi pada 5 Mei 018 ini boleh hilang lenyap dalam sekelip mata.

Ruang demokrasi ini berkemungkinan hilang jika anak semua bangsa tidak menolak sosok-sosok yang gopoh lagi gelojoh untuk memiliki kuasa. Sosok-sosok yang berebut -rebut untuk mendapat  kuasa. Bukan bangun  mempertahan agenda reform dan ruang demokrasi tetapi untuk mensabotaj agenda reform dan kembali kepada Malaysia lama yang feudal.


Hishamuddin Rais
2.9.2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 517  tetamu dalam talian