27Februari2021

Agenda Daily

Wawancara: Politik Perak dari kacamata Dr Zambry... A sampai Z...

zambryxxBagi yang hendak tahu mengenai politik Perak, memang wajib baca temubual ini. Mungkin, ini temubual pertama yang dilakukan Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang cerita A sampai Z segala soalan yang ditanya sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.

Dr Zambry bahkan tidak berselindung, termasuk mengenai desas-desus mengatakan bahawa beliau akan dipindahkan ke Pusat dalam pilihanraya umum akan datang dijawabnya dengan tenang.

Bakat dan kepimpinan beliau dikesan ketika hu-ha politik Perak selepas tiga wakil rakyat pembangkang mengumumkan keluar parti, menjadi bebas dan memberikan sokongankepada Barisan Nasional. Masing-masing dua dari PKR dan seorang DAP. Dengan demikian berpandukan perlembagaan negeri, Sultan Perak, telah memberi peluang kepada Barisan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan baru menggantikan kerajaan PR.

Perlantikan Datuk Seri Diraja Dr.Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak ke 11 setelah mendapat perkenan Tuanku sultan membuka ruang untuk tokoh muda dari Pangkor ini membuktikan dia bukanlah “emas celup.” Selama hampir dua tahun setengah, Perak dibawah terajunya telah melalui pelbagai cabaran. Dr.Zambry berdepan dengan beberapa siri perbicaraan di mahkamah. Ini ibarat gara-gara sindrom hilang kuasa yang PR sukar untuk terima.
 
Masa Dr. Zambry selaku Menteri Besar terpaksa dibahagi-bahagikan antara mentadbir sebuah kerajaan yang rapuh dengan pada masa sama memastikan kesnya berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional serta pemerintahan dapat dijalankan.

Setelah badai politik berlalu, laut kembali menjadi tenang dan Menteri Besar yang hampir-hampir ditumbangkan “secara haram” oleh permainan politik pembangkang berjaya menyerikan wajah penduduk di Perak. Dalam konteks ini selaku nakhoda beliau berjaya mengubah persepsi rakyat. Barisan Nasional sudah mula kembali dihati rakyat.

Dr. Zambry tidak menafikan rintihan rakyat malah beliau juga tidak menepis kritikan begitu saja. Melalui roadshow atau kini dipanggil “walkabout”, Dr. Zambry mendekati rakyat. Suara rakyat diberi keutamaan didalam setiap program. Isu ketidakpuasan hati mengenai cara kejatuhan kerajaan PR serta isu-isu pembangunan yang dilihat lembab diberi jawapan.

Setelah dua tahun setengah berada di puncak, Dr. Zambry membuktikan bahawa  dia ialah Menteri Besar untuk semua tanpa mengira fahaman politik. Kemasukan dana asing dan Foreign Direct Investment (FDI) ke Perak seperti kilang bijeh besi bernilai berbillion ringgit telah membuka mata semua pihak. Perak ada masa depan dan Dr.Zambry telah berjaya menjadi arkitek utamanya.

Dua tahun setengah menjadi Menteri Besar Perak tentulah satu rekod. Perak bukanlah Kelantan kerana di Kelantan, kalau langit dikatakan hijaupun orang percaya, di Perak Dr. Zambry perlu bekerja kuat dan bekerja secara konsisten.

Kini Dr.Zambry berjaya memulih semula imej UMNO dan Barisan serta berjaya menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa dia bakal digantikan didalam pilihanraya umum akan datang.

Perak sesungguhnya bakal kerugian seandainya Dr. Zambry digantikan dengan calon lain ke jawatan berkenaan kerana sepanjang tempoh menjadi Menteri Besar sejak dua tahun setengah yang lalu, beliau berjaya melaksanakan tugas. Kini rakyat di negeri ini seperti terbangun dari lamunan. Perak bukanlah lagi negeri yang condong kepada pembangkang malah jika angin perubahan kedengaran bertiup di Kelantan, Kedah dan Selangor, di Perak nampaknya orang-orang Melayu sudah mahu UMNO dikekalkan. Nampaknya tugas Perdana Menteri mengamanahkan Dr. Zambry memimpin kerajaan negeri Perak tidak pernah tersilap hitung.

Baru-baru ini Ketua Pengarang Agendadaily, Rosli Ismail dan Pengarang Rencana Agendadaily, Yusof Harun berkesempatan mengadakan wawancara dengan DS Dr.Zambry Abd Kadir di pejabatnya di Ipoh. Kebanyakan soalan yang dikemukakan dijawab dengan penuh keyakinan seolah-olah dua tahun setengah yang dilalui itu ibarat seorang nakhoda bot nelayan yang berjaya membawa kapal kembali ke pelabuhan dengan selamat. Berikut ialah wawancara yang disiarkan sepenuhnya. Pengarang. 

Soalan: Sudah dua tahun setengah Datuk Seri (DS) menjadi Menteri Besar Perak, apakah DS berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam aspek pembangunan fisikal?

DS Dr. Zambry Abd Kadir: Ya, ukuran saya sebenarnya sebagai seorang Menteri Besar, saya perlu mempunyai sifat yang positif. Yang paling penting ialah ukuran itu perlu datangnya daripada rakyat. Ukuran yang paling penting bagi saya ialah tentang bagaimana penerimaan rakyat dan itu bagi saya yang paling utama.

Dan sepanjang dua tahun setengah mengemudi bahtera ini, saya merasai tentang tanggapan rakyat daripada feedback yang diberikan  dan pendekatan-pendekatan serta sikap  keterbukaan yang kita lakukan.

Kita dapat melihat bagaimana rakyat di negeri ini merasai dan senang dengan kehadiran kita. Malahan mereka sangat senang dengan kehadiran dan juga proses-proses transformasi yang kita lakukan sepanjang dua tahun ini. Dalam erti kata yang lain, di peringkat kerajaan, saya berusaha untuk membentuk satu team (pasukan) yang baik, yang kuat, bagi melakukan agenda transformasi ini.

Manakala diperingkat rakyat ialah dengan menanggalkan segala halangan-halangan yang barangkali selama ini wujud antara mereka dengan Menteri Besar dan juga dengan pihak pentadbiran kerajaan negeri.  Maka dengan itu salah satu langkah keterbukaan kita ialah dengan pengamalan program  turun ke padang  atau walkabout.           

Soalan: Boleh DS huraikan?

DS Dr.Zambry Abd Kadir:  Dalam konteks ini saya gunakan istilah tiga P iaitu dengan cara yang paling mudah iaitu Pandang, Perasaan dan Penyelesaian. Apabila kita turun ke padang maka kita akan dapat melihat sendiri,  menyelami dan memahami perasaan rakyat. Itu yang kita katakan perasaan. Manakala yang ketiganya, sebaik sahaja kita mendalami, memahami dan merasai permasalahan rakyat, maka kita akan mengaplikasikan pendekatan ketiga iaitu penyelesaian.
         
Jadi dalam erti kata yang lain bukan Menteri Besar sahaja turun padang, tapi saya seringkali katakan bahawa oleh kerana kita nak melakukan sesuatu kebaikan, nak melakukan sesuatu perubahan, kita bukan hanya boleh memberi arahan.
         
Saya percaya dalam konsep ini sebab pada masa kita membina satu pasukan, saya perlu menunjuk contoh yang baik kepada kakitangan kerajaan, mereka yang berada dibawah saya dan apabila Menteri Besar turun maka tentunya kakitangan kerajaan, ketua-ketua jabatan pun turut mengambil pendekatan yang sama dan alhamdulillah saya melihat pada hari ini jabatan-jabatan termasuk jugalah majlis kerajaan-kerajaan tempatan turut melakukan pendekatan yang sama dengan menggunakan pendekatan tiga P ini.

Mereka turun sendiri untuk menyelesaikan masalah rakyat. Itu yang pertamanya. Yang keduanya rakyat juga datang ke pejabat saya, hari selasa, di rumah terbuka, pelbagai jenis manusia pun datang juga. Ini dikira cara kita berinteraksi dengan rakyat.

Soalan: Bagaimana rakyat boleh merasai perubahan yang dibawa oleh YAB  DS berbanding di zaman pemerintahan kerajaan PR dulu?

zambryDS Dr.Zambry Abd Kadir: Saya dapat merasai terutamanya dari segi respons secara langsung daripada mereka. Umpamanya saya ambil contoh seorang warga tua yang tidak pernah memegang tangan atau bersalam dengan Menteri Besar. Sewaktu saya membuat “walkabout” telah banyak kali saya melihat dari dekat dan bertentang masa dengan mereka, saya dapati mereka begitu terharu sambil kelihatan sesetengahnya  mengalirkan air mata.

Seorang warga tua yang selama ini menghadapi masalah kemiskinan dan dia dapati seorang Menteri Besar turun ke kedai kopi di sebuah kampung. Dia dapat duduk semeja bersama Menteri Besar.  Sambil saya mendengar dan meluangkan masa bersama-sama mereka, saya dapat mendengar masalah yang mereka hadapi. Respons yang mereka berikan inilah saya anggap penting kerana ia satu feed back untuk membuat perancangan seterusnya.

Semakin banyak turun padang semakin banyak respons dari rakyat dan dalam konteks yang lain pula ialah dari segi keberkesanan yang kita dapati.  Bukan hanya sekadar persepsi ataupun perasaan rakyat yang melihat perubahan-perubahan ini tetapi juga kita nak satu perubahan yang benar-benar bersifat positif atau dengan  ertikata yang lain dengan secara dokumen hendaklah kita perjelaskan.

Saya ambil contoh umpamanya kalau dari segi pentadbiran telah berlaku perubahan-perubahan besar didalam amalan pentadbiran yang ada dalam negeri Perak. Sebagai contoh umpamanya kalau selama ini mungkin fail-fail yang diselesaikan mengambil masa yang begitu panjang, tapi hari ini mereka tidak perlu mengambil masa yang begitu lama lagi.

Kertas-kertas mesyuarat kerajaan dalam mesyuarat Exco  mungkin terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk dibawa. Dan sekarang ini saya nak sebutkan fail-fail yang bertimbun itu sudah tidak ada didalam pejabat mesyuarat kerajaan negeri. Itulah antara perubahan-perubahan yang kita lakukan termasuk juga title-title rumah yang sepatutnya dikeluarkan.

Hari ini kita telah pun mengeluarkan lebih seratus ribu dan ini bagi saya adalah sejarah-sejarah penting pentadbiran dan pengurusan negeri. Saya tidak mahu mengangkat bakul kerana ini bukan cara saya tapi biarlah fakta-fakta itu membuktikan tentang perubahan yang berlaku.

Soalan:Boleh DS komen tentang cakap-cakap bahawa ini adalah penggal terakhir DS sebagai Menteri Besar, selepas pilihanraya umum akan datang, DS akan ke pusat pula?

DS Dr.Zambry Abd Kadir: (Sambil ketawa) Seperti saudara mengetahui bahawa saya bukanlah seorang yang mempunyai sifat yang keterlaluan dalam berpolitik. Dan seperti yang kita juga ketahui barangkali saya juga bukanlah insan yang terbaik untuk menjadi Menteri Besar tetapi apabila amanah diberikan, saya menganggap itu merupakan amanah yang perlu saya pikul dengan sebaik-baiknya.

Saya bukanlah seorang yang suka mendabik dada untuk menggelar diri saya sebagai seorang tokoh masa depan politik negara dan sebagainya. Biarlah dalam erti kata yang lain rakyat menilai tentang kepimpinan saya itu sendiri.

Dan saya tidak ada masalah sebenarnya seperti juga apabila YAB Perdana Menteri melantik saya untuk memikul tanggungjawab ini setelah mendapat perkenan daripada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Demikian juga hakikatnya apabila saya dikehendaki untuk mengosongkan kerusi. Saya bukan manusia yang jenis tidak mahu menerima hakikat apabila kita diminta untuk meninggalkan jawatan.

Soalan: Pembangkang menimbulkan isu pemindahan pengundi di Perak serta isu pengundi hantu. Dari maklumat yang ada, benarkah ada perancangan dari pembangkang   memindahkan pengundi dari Lembah Kinta ke lain-lain kawasan seperti Gerik serta lain-lain kawasan?

DS Dr.Zambry Abd Kadir:  Soalan ini adalah merupakan perkara yang perlu dilihat secara fakta kerana kita tidak mahu melemparkan tuduhan seperti mana pihak pembangkang yang suka memanipulasi dan melemparkan tuduhan. Cara pendekatan Barisan Nasional ialah kita tidak mahu bertindak hentam kromo tetapi apa yang menghairankan kita ialah terdapat kawasan-kawasan yang menimbulkan keganjilan kepada kita.

Sebuah kawasan yang tiba-tiba bertambah sebanyak tujuh ribu orang. Ada kawasan yang kita dapati sebagai contoh di kawasan Parlimen boleh bertambah lebih sepuluh ribu orang. Dan kita pun tertanya-tanya walaupun mereka mengatakan ini adalah kerja Barisan Nasional. Tetapi kita kena faham strategi reverse psikologi ini kerana  apabila mereka cepat-cepat menuduh, melemparkan tuduhan itu kepada Barisan Nasional.

Sebenarnya dalam konteks reverse psikologi ialah apabila mereka sendiri cuba menutup strategi atau apa yang telah mereka lakukan. Jadi, sebab itu dalam konteks Barisan Nasional, kita tidak pantas melemparkan tuduhan cuma yang kita timbulkan seringkali ialah akan keganjilan-keganjilan yang berlaku di kawasan-kawasan yang menjadi perhatian yang konon-kononnya pihak pembangkang boleh menang dalam pilihanraya yang akan datang.

Jadi kenapa mereka nampaknya begitu melatah dengan begitu pantas sekali? Mereka seharusnya menjawab perkara-perkara ini terlebih dahulu sebab kita dalam konteks Barisan Nasional,  kita nak tahu kenapa timbulnya keganjilan-keganjilan dengan pertambahan pengundi-pengundi ini.

Saya ada jawapannya tapi saya tidak mahu ianya digunakan atau sebagai manipulasi oleh pihak mereka pula.

Soalan: Bolehkah BN dan UMNO menang dan kekal memerintah Perak dalam pilihanraya umum ke 13 kelak?

DS Dr.Zambry Abd Kadir: Saya selalu memberi kaedah berperang iaitu apabila kita berada didalam gelanggang peperangan, apakah setiap orang mahu ia kalah? Maksudnya, tentunya setiap kita yang berada di gelanggang, kita sudah pun mempersiapkan diri  untuk  berperang. Jadi untuk mengatakan bahawa kita agak half-half antara kita dengan mereka,  agak-agak boleh menang atau tak boleh menang, persoalan itu tidak timbul.

Apabila kita berada didalam medan perang, dengan sendirinya kita perlu mempunyai keyakinan bahawa kita akan menang didalam peperangan. Jadi, soal orang  kata ini mungkin over confident, ini bukan soal over confident. Dari segi mind set kita kena jelas. When you are in a battlefield, maka persiapan untuk memenangi perang itu perlu ada. Ini bukan soal over confident, tetapi dari segi kekuatan, kesungguhan, sifat yang positif dengan segala persiapan perlu dibuat untuk memenangi dan insyaallah.

Soalan: Bagaimana reaksi pengundi-pengundi Cina di Lembah Kinta terhadap BN?

zambry4DS Dr. Zambry Abd Kadir: Saya terus mengharapkan agar mereka bersikap positif  dan pada hari ini pun saya sudah mendengar respon mereka selepas dua tahun Barisan Nasional memerintah dalam konteks kita membawa pembangunan dan perubahan yang ada ini. 

Pandangan-pandangan positif mereka bagaimana mereka melihat sendiri ekonomi sudah bergerak di negeri Perak dan ini merupakan pandangan yang positif khususnya daripada  masyarakat perniagaan Cina. Manakala seperti yang kita tahu bahawa Lembah Kinta ini merupakan tempat yang mempunyai masyarakat bandar yang agak kritikal terhadap sesuatu perkara yang kita lakukan.

Apapun saya tetap mempunyai pandangan yang positif bahawa akhirnya mereka akan membuat penilaian dengan sebaik-baiknya iaitu dalam konteks pembentukan  kerajaan yang mereka inginkan sama ada golongan PR ini lebih baik ataupun kerajaan Barisan Nasional secara komprehensif. Soalan: Sokongan pengundi Cina kepada BN dikatakan tidak bertambah baik malah mereka dilihat masih macam tahun 2008?

DS Dr. Zambry Abd Kadir: Saya tidak fikir bahawa itu merupakan pandangan keseluruhan masyarakat cina. Yalah, pandangan-pandangan yang ekstreme mungkin ada tetapi mereka juga adalah golongan  yang agak kritikal serta juga secara relatifnya yang konstruktif.

Mereka akan membuat perbandingan akhirnya walaupun sentimen-sentimen itu mungkin ada dan sentimen itu cuba dimainkan oleh pihak tertentu. Tetapi bagi saya, saya melihat tentang sebuah kerajaan yang dapat menjaga kebajikan dan keamanan untuk semua kaum dan dalam konteks negeri Perak, seperti yang kita ketahui ia bukan mempunyai sebuah negeri yang mempunyai dominasi sesuatu kaum yang terlalu tinggi.

Hakikat di Perak ialah kita mempunyai 57%  pengundi Melayu, manakala Cina pula 37% dan bakinya India, masyarakat  Orang Asli dan lain-lain. Jadi keseluruhannya apa yang kita perlu lihat ialah bagaimana sebuah kerajaan yang benar-benar dapat memerintah, memimpin semua kaum.

Soalan: Boleh DS ulas tentang kawasan hitam di negeri ini?Apakah BN akan biarkan ia hitam begitu saja?

DS Dr.Zambry Abd Kadir:  Kita tidak boleh menafikan ada kawasan-kawasan yang kita tahu bahawa kawasan yang dalam strategi politik dan dalam strategi pilihanraya, kita kena mengakui ada kawasan-kawasan yang dikategorikan hitam, ada kawasan kelabu, ada kawasan putih. Kawasan putih pula kita tidak boleh ambil mudah kerana ia kawasan putih, maka kita tinggalkan saja. Di kawasan yang kita anggap putih ini, kita tidak beri tumpuan langsung padahal mereka selama ini begitu setia menyokong kita.

Maka kita perlu juga menjaga kawasan putih. Kawasan kelabu pula saya yakin  kalau dengan gerak kerja yang baik, maka ia akan dapat kita pulihkan dan menjadi putih manakala kawasan hitam kalau hakikatnya, sejarahnya begitu sejak daripada dahulu, saya fikir kita tidak perlu tinggalkan.

Maksudnya dalam pilihanraya, kita nak biarkan begitu sahaja oleh kerana dah tentu tak menang, maka kita rasa biarlah mereka menang percuma dan seolah-olah kita akan memberi satu kemenangan moral kepada mereka.

Dalam konteks Barisan Nasional, kita akan terus meletakkan calon-calon kita hatta ada mengatakan ini kawasan hitam. Kita kena faham kerana kalau selama ini mungkin kawasan itu kawasan hitam, mungkin orang dah muak dengan orang ini atau parti pembangkang yang mereka rasa karut belaka. Kawasan mereka pun tak membangun hingga bertahun-tahun lamanya atau orang ini nama sahaja wakil rakyat tetapi tak pernah datang melawat, tak pernah balik dan kemungkinan di kawasan hitam pun kita letak calon kita, kita  akan menang balik.

Soalan: YAB Perdana Menteri menyebut konsep “winnable candidate” boleh DS ulas dalam konteks BN Perak:

DS Dr. Zambry Abd Kadir: Itu jelas arahan YAB Perdana Menteri, berkali-kali beliau telah menegaskan dan kita pula sebagai pengerusi perhubungan perlu menyambut kerana tidak boleh tidak. Dalam pilihanraya kali ini cabaran sangat besar, rakyat semakin terbuka sifatnya, dan melihat kredibiliti calon lebih kepada parti maka mahu tidak mahu kita perlu meletakkan calon yang benar-benar mempunyai keupayaan dan boleh menang.

Yang disebut Perdana Menteri, dua kriteria iaitu yang pertamanya winnable candidate, yang keduanya likeable candidate. Mungkin ada orang yang likeable, orang kampung suka dia, satu kawasan suka dia, mungkin kita juga suka dia tetapi tak semestinya dia ni winnable candidate, dia tak boleh jadi wakil rakyat walaupun orang suka. 

Apa yang di sebutkan oleh YAB Perdana Menteri itu mesti ada dua kriteria ini, pertama dia ni likeable dan keduanya dia winnable. Calon yang orang lihat kita letak mestilah  calon yang orang suka, calonnya mestilah likeable, yang terbaik yang diletakkan oleh Barisan Nasional. Ini perlu kita hayati bersama oleh semua bukan hanya di peringkat kita tetapi juga di peringkat Parlimen dan peringkat bahagian meliputi semua parti komponen.

Perkara ini telah pun saya kemukakan kepada semua calon yang sedia ada dan termasuk ketua-ketua komponen seperti UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP dan sebagainya. Dan mereka perlu memahami bahawa soal ini bukan soal saya sebagai Menteri Besar, bukan soal saya nak terus berada di tampuk kepimpinan, nak memastikan saya terus berada sebagai Menteri Besar, saya hanya perlu mengambil kelompok-kelompok saya saja.

Kali ini bukan soal politik kita memilih orang ini berada di tangga politik yang terbaik dan sebagainya tetapi kali ini adalah menentukan sama ada kita akan terus survive ataupun tidak. Saya sebutkan bahawa saya bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan akibat daripada tindakan ini. Dan akhirnya kita perlu realistic, apa guna kita bercakap tentang politik kepartian tetapi akhirnya kita hilang kuasa untuk memerintah.

Bagaimanapun alhamdulillah sehingga setakat ini saya melihat respon daripada ketua-ketua bahagian amat positif termasuk respon daripada komponen-komponen parti juga amat positif dalam perkara ini. Nampaknya ada fleksibiliti.

Umpamanya mungkin kuota yang kita amalkan selama ini ataupun tempat-tempat yang talah pun kita tetapkan untuk orang ini bertanding dan orang ini tak bertanding. Itu telah pun saya kemukakan dan ianya perlu dilihat dalam konteks yang disebut Perdana Menteri sama ada ianya winnable atau tidak winnable. Bukan sahaja candidate tetapi parti pun kita kena melihat dalam konteks yang sama.

Soalan: Ada kawasan Melayu tapi calon BN dari calon bukan Melayu, orang kawasan menjadi tidak puas hati?

zambry5DS Dr.Zambry Abd Kadir: Itu yang saya sebut tadi, kita mesti berbincang dan sama-sama mencapai kata sepakat. Dalam konteks ini kita jangan “write off” keperluan membentuk kerajaan. Kita tidak boleh lihat akhirnya kita membentuk sebuah kerajaan hanya didominasikan oleh sesuatu kaum dan kita kena menerima hakikat bahawa dalam konteks Barisan Nasional, kita perlu ada  pelbagai perwakilan parti.

Soal yang mungkin akan diperbincangkan sama ada sesuai atau tidak disesuatu tempat itu wakil rakyat daripada parti komponen ini bertanding di kerusi itu ataupun mungkin dikerusi lain, mungkin katakana parti komponen A yang bertanding. Kali ini kita tahu bahawa mungkin parti komponen A yang bertanding di kawasan itu sudah tidak sesuai.

Kita kena menerima hakikat kerana ini soal menang atau kalah.  Jadi, pada akhirnya it comes to the point dimana soalnya menang atau kalah. Itu yang penting dan itu yang harus difikirkan bersama-sama.

Soalan: Macam mana dengan kuota yang sudah dipersetujui?

DS Dr.Zambry Abd Kadir: Kita menghormati kuota-kuota persefahaman yang telah pun kita buat dalam konteks komponen Barisan Nasional terutamanya. Ia pun kena kita jaga juga. Jangan kita lupa. Equationnya ada tetapi placing itu mungkin kita kena ubah sikit. Ya saya rasa ada kawasan yang perlu ada perubahannya.

Umpamanya saya beri contoh  di Pasir Panjang, selama ini MIC menang. Jumlah pengundi ialah 70% melayu. I say you want to win or you want to lose? Begitu juga di Behrang mereka mahu calon Melayu tapi kita letak calon MIC. Yang di Behrang hanya 53% Melayu. Do you think orang Melayu cuma 53%, UMNO boleh menang?

Soalan: Isu calon payung terjun di Perak yang menjadi duri dalam daging?

DS Dr.Zambry Abd Kadir: Saya yakin bahawa KL pun belajar daripada pengalaman ini dan saya yakin KL tidak akan membuat sebarang keputusan yang boleh memberi kesan kepada kawasan-kawasan yang dihantar. Saya yakin dan saya harap tidak adalah lagi calon payung terjun. Sudah-sudah la tu (ketawa).

Soalan: Boleh DS komen 11 bulan Perak dibawah kerajaan PR?

DS Dr.Zambry Abd Kadir: Ya. Saya ambil contoh pertama ialah apabila mereka bercakap soal perjuangan kepada semua masyarakat, mereka nak berikan sesuatu yang terbaik kepada semua bangsa. Saya ambil contoh wakil-wakil DAP daripada kalangan kaum India yang bercakap kononnya mereka memperjuangkan masyarakat kaum India.

Mereka kata nak buat tetapi kita  bertanya dalam dewan apa yang mereka buat selama sebelas bulan. Cuba senaraikan satu persatu apa yang telah dilaksanakan tetapi akhirnya tidak ada satu benda pun yang mereka buat. Saya ambil contoh lagi bahawa mereka menguar-uarkan selama sebelas bulan, biasalah kalau berbohong ni memang kerja mereka, bahawa mereka telah meningkatkan pendapatan kerajaan dalam tempoh sebelas bulan sebanyak RM60 juta ke RM70 juta lebih kurang.

Tetapi rupa-rupanya tidak betul kerana pendapatan itu bukan pendapatan mereka tetapi yang kita buat dulu diwaktu kerajaan Barisan Nasional memerintah. Begitu juga hasil-hasil tambahan luar jangka yang telah pun kita dapat. Dia mengatakan waktu zaman dia lebih hebat dengan hasil balak tetapi apabila kita bentangkan, akhirnya mereka kata tak payah bentang dalam dewan.

Jadi ini antara beberapa  contoh termasuklah isu setinggan atau squatters. Saya tanya pada mereka waktu mereka memerintah selama sebelas bulan, takkanlah tidak ada sebuah rumah untuk orang miskin yang dibina. Mereka bercakap di merata tempat  bahawa inilah sebuah parti Pakatan Rakyat tetapi apa yang mereka buat untuk rakyat. Takkanlah bila nama Pakatan Rakyat, mereka tak buat sebuah rumah pun untuk rakyat. Takkanlah bajet RM30 ribu untuk sebuah rumah untuk bantu orang susah pun tak boleh. Dan tengoklah sewaktu zaman kita, apa yang kita telah buat.

Dalam tempoh sebelas bulan yang sama berapa ratus biji rumah kita buat.  Perbandingan secara sebelas bulan yang adil. Tidak boleh kata BN telah memerintah lama. Mari kita kita buat perbandingan dalam konteks sebelas bulan kita memerintah dan dalam konteks sebelas bulan mereka memerintah; apa yang kita buat dan apa yang mereka buat termasuklah beberapa fail. 6000 fail kita telah bereskan. Ini satu kejayaan besar.

Soalan:  Isu balak di Perak di zaman mereka?

zambryjalaDS Dr.Zambry Abd Kadir: Sebab itu dalam dewan kelmarin dia kata dia nak cabar tentang hal-hal balak. Saya tanya mereka sama ada mereka mahu saya jelaskan secara terpeinci mengenai kelulusan kawasan balak dan sebagainya di zaman PR berkuasa dulu.  Jadi wakil Setiawan kata tak payah lah. Semua tahu. Dia tahu kemampuan kita mendedahkan hal ini. So dalam ceramah tak payah lah bohong rakyat.

Soalan: Anggapan bahawa DS akan dibawa ke Pusat didalam pilihanraya umum ke13, boleh komen? Atau dengan kata lain, ini penggal terakhir DS sebagai Menteri Besar.

DS Dr.Zambry Abd Kadir: Saya tak ada masalah sebenarnya. Sebab yang paling penting ialah saya memberi khidmat kepada rakyat dan biarlah rakyat membuat penilaian dan saya sebutkan sekali lagi kalau sekiranya saya bukan calon yang popular untuk bertanding, saya bersedia untuk tidak bertanding. Kerana saya memegang amanah yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa calon hendaklah winnable dan likeable.

Kalau dah orang tak suka, orang benci kita, kita pula tak popular, tak winnable, tak kiralah Menteri Besar atau tak Menteri Besar, Exco ke tak Exco ke, apa yang you nak duduk lagi.
Sebab itu saya selalu sebut,  saya kata konsep ini perlu dihayati. Kadangkala kita terlampau asyik oleh jawatan menyebabkan kita hilang pertimbangan.

Kita tidak mahu mengulangi peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada Barisan Nasional kerana Barisan Nasional ini sangat penting kepada negara kita. Dan inilah contoh parti yang terbaik sekali bagi mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum ini.

Soalan: Kedudukan pusat edar bijih besi di Manjung bernilai berbillion ringgit setakat ini?

DS Dr.Zambry Abd Kadir: Alhamdulillah sekarang ini sudah masuk fasa pertama untuk projek pembinaan dan diperingkat awal ini dia akan melibatkan pelaboran  sebanyak RM1.6 billion kalau tak silap saya. Projek ini akan dipecahkan kepada beberapa fasa iaitu fasa satu, fasa dua dan fasa tiga.

Begitu juga dengan beberapa projek yang lain.Tetapi projek Vale do Rio Doce di Teluk Rubiah, Manjung (syarikat perlombongan bijih besi kedua terbesar dunia) ini saya melihat ia satu pelaburan yang besar kerana ia merupakan salah satu daripada syarikat bijih besi antara yang terbesar didunia.

Maka dengan wujudnya bukan hanya kilang itu, tetapi dari segi kesan ekonomi [hiliran] yang akan dibentuk dengan kehadiran Vale.Mereka juga bakal bersama-sama kerajaan negeri untuk membentuk masterplan baru bagi industri yang berasaskan besi ini. Demikian juga, kita telah mendapat laporan daripada pihak perunding yang telah pun membuat satu cadangan bagi membangunkan sebuah industri besar dikawasan Bagan Datoh hasil daripada kesan kehadiran Vale ini.
 
 Projek ini tidak ada masalah. Cuma ini mungkin isu-isu dimainkan oleh segelintir yang barangkali melihat projek ini sebenarnya memberi kesan yang secara tidak langsung kepada  survival politik mereka. Sebab itulah kita dengar macam-macam perkara timbul seperti umpamanya projek ini akan menimbulkan masalah alam sekitar dan EIA kononnya telah  menolak laporan. Sebenarnya tidak berlaku demikian.

Takkanlah kerajaan negeri begitu zalim bertindak tanpa mengambil kira soal alam sekitar, mengorbankan sesuatu projek itu dan sebab itu kita mengambil analisis secara detail daripada alam sekitar dan juga pelbagai jabatan dan termasuk juga daripada peringkat antarabangsa  membuat penilaian ini kerana Vale sendiri merupakan syarikat antarabangsa yang amat sensitif dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan pencemaran.

Soalan: Fitnah terbesar membabitkan keluarga YAB yang dijaja oleh pembangkang?

zambry6DS Dr.Zambry Abd Kadir: Ya, kita dalam berpolitik, saya sebutkan kepada wakil mereka bahawa  menjadi ahli politik biarlah menjadi ahli politik yang ada prinsip, ada maruah dan kita tidak boleh menjadi manusia yang terlalu kotor, yang terlalu murah akhirnya orang menganggap kita sebagai ahli politik murahan. Sehingga mak saya turut dibabitkan dan itu sebenarnya sebagai seorang ahli politik saya juga seperti manusia biasa.

Tentunya kita ada had-had dalam berpolitik kerana saya tidak pernah menyentuh hal keluarga mereka walaupun saya ada bukti untuk saya cetuskan persoalan kehidupan-kehidupan keluarga mereka. Jangan kerana soal politik maka mereka babitkan soal ibu saya; tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ibu yang menjadi seperti syurga kehidupan kita tetapi itu turut disentuh dan itu amat menyentuh perasaan saya kerana dengan membuat tuduhan kepada saya bahawa tanah di Kampung Masjid  itu saya rampas.

Mereka kata  tanah itu saya rampas, itu istilah yang digunakan. Kemudian mereka berdolak-dalik... Dia kata saya rampas. Saya ingat ayat itu. Saya merampas tanah rakyat  untuk diberikan kepada mak saya dan ini seolah-olah saya ini manusia yang cukup zalim sifatnya tanpa mengambil kira perasaan rakyat walhal kita semua tahu bahawa tanah itu sebenarnya sebahagian daripada proses pengambilan tanah-tanah setinggan diseluruh negeri Perak sewaktu dilancarkan pada zaman Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali (sekarang Tan Sri) menjadi Menteri Besar.

Dan proses ini termasuklah kawasan setinggan  dimana Menter Besar yang baru ini dilahirkan. It so happen that saya lahir dalam keluarga setinggan dan kediaman kami kena ambil.

Ia berlaku di Kuala Kurau. Kita ambil tanah di  Kuala Kurau,  juga kita ambil masjid di Sungai Pinang, Sungai Pinang Besar. Banyak tempat sebenarnya dan tanah itu diambil oleh kerajaan, kerajaan bayar pampasan. Kalau hanya kerana saya nak selamatkan mak saya tentunya dengan sikit simpanan, saya boleh bina rumah untuknya di luar Pangkor atau dimana-mana. Tetapi apa akan jadi kepada lebih seratus rumah penghuni yang sudah mendiami kawasan itu lebih daripada 70-80 tahun. Apa akan jadi kepada nasib mereka?. Mereka yang akan terus hidup dalam kemiskinan.

Nasib mereka tidak dibela. Dan sebab itu saya tegaskan bahawa pengambilan tanah itu tidak melibatkan pembayaran kepada semua orang kampung. Mungkin akan mengikut kaedah dimana ianya akan dikurangkan seminimun mungkin  kecuali rumah saya sebab saya tidak mahu ia dianggap sebagai saya mengambil kesempatan iatu saya tumpang sekali untuk masukkan rumah mak saya dimana tempat saya dibesarkan.

Isu yang dimainkan itu memang amat menyakitkan hati orang Pangkor. Dan sebenarnya dia bukan sahaja menyakitkan hati saya tetapi dia menyakitkan hati semua orang Pangkor.

Biarlah mereka menjaja isu ini dan kalau yang menjajanya dari golongan-golongan yang beragama itu maka mereka tahu kalau mereka  tidak berjumpa saya di dunia, mereka akan berjumpa saya di akhirat.-4/8/2011- OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 253  tetamu dalam talian