21September2019

TIBAI ‘mission is complete' - Zahid Md Arip

Aktivis politik tidak pernah mengenal erti noktah dalam perjuangan terutama soal mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanahair.

Biarpun tanpa jawatan dan kedudukan tinggi dalam badan siasah, perjuangan tetap boleh diteruskan.

Semasa era reformasi sekitar 1998, nama Muhammad Zahid Md Arip merupakan antara anak muda yang menjadi ‘ayam sabung’ kepada Anwar Ibrahim yang dipecat dari UMNO.

Beliau adalah tokoh muda yang petah dan tajam bahasa sindirannya ketika dipentas politik dan kedudukannya sebaris dengan nama-nama penting seperti Ezam Mohd Noor, Lokman Noor Adam, Ruslan Kassim dan beberapa orang lagi pemimpin parti Keadilan Nasional ketika itu (sekarang PKR).

Zahid yang pernah memegang jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan akhirnya mengambil keputusan meninggalkan perjuangan parti itu kerana sikap Anwar mempertahankan kumpulan cauvanis Cina dalam dasar pelajaran semata-mata untuk mendapat sokongan politik.

Oleh kerana ingin terus berjuang bagi memperjelaskan kecurangan Anwar Ibrahim, pada 18 April 2012, Zahid menubuhkan kelab bernama ‘Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim’ (TIBAI) dan beliau sendiri memegang jawatan ‘Mursyidul Am’.

Pelancarannya pada 22 April di Kelab Sultan Sulaiman (KSS) Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan kehadiran lebih 3000 orang.

Matlamat perjuangannya jelas untuk memberitahu rakyat tentang kesilapan menyokong Anwar disamping berusaha mendedahkan kebohongan yang dilakukan oleh Anwar sehingga menjejaskan perjuangan mendaulatkan agama, bangsa dan tanahair.

Pada 11 Febuari 2015, sehari selepas Anwar dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan, Zahid mengambil keputusan membubarkan TIBAI dan menganggap matlamat perjuangan menentang Anwar telah selesai.

“Mission complete...” itulah kata Zahid tentang TIBAI.

Penubuhan TIBAI disertai 28 individu yang merupakan bekas pengasas PKR, antaranya Ezam Mohd Noor, Datuk S. Nallakaruppan, Wee Choo Keong, Anuar Shaari, Ruslan Kassim, Aminah Abdullah, Hamidzun Khairuddin, Rahimi Osman dan Ng Lum Yong.

Bagi mengetahui cerita perjuangan dan kesinambungan misi ‘pejuang’ politik ini. Agendadaily sempat bertemu Zahid sendiri bagi mengulas asam garam yang dilalui semasa menerajui TIBAI.

Ikuti transkrip penuh temubual dengan Zahid di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur baru-baru ini.

AGENDADAILY : Kenapa TIBAI dibubarkan.

ZAHID MD ARIP : ‘Mission is complete’. Anwar sudah berada di dalam (penjara) dan TIBAI sudah tidak relevan lagi.

Dari segi ‘gentleman’ kita beretika kerana mengamalkan politik beretika. Ianya diajar dalam Islam. Tokoh pejuang Islam, Sallahuddin Al Ayubi pernah melawan Richard The Lion.

Bila Richard jatuh sakit, Sallahuddin memberhentikan peperangan dan menghantar doktor untuk merawat Sallahuddin. Bila lawannya sudah baik maka mereka berlawan semula.

Kita tidak bantai musuh ketika tangan musuh terikat, kita sebagai umat Islam perlu yakin dan faham bahawa janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum menjadikan kamu tidak berlaku adil.

Anwar berhak diberikan keadilan sebagai musuh, kamu di dalam sekarang kami menunggu di luar.

Sekiranya kamu keluar dan terus merosakkan agama, bangsa dan negara, kita akan tibai kamu lagi. Anwar sudah tidak boleh bersuara lagi.

Tetapi sekiranya Anwar dari dalam (penjara) masih boleh bersuara untuk merosakkan agama, bangsa dan negara maka itu bukan salah Anwar tapi itu salah jentera kerajaan yang jaga Anwar di dalam penjara itu.

Sekiranya ada rakaman suara Anwar boleh keluar untuk di dengari oleh penyokongnya maka itu adalah salah Jabatan Penjara Malaysia.

AGENDADAILY : TIBAI dah tak ada tapi Musyidul Am Zahid Md Arip macamana?

Zahid Md Arip : Gelaran Musyidul Am TIBAI pun sudah tiada. Zahid Md Arip adalah manusia biasa yang tiada apa-apa keistimewaan, tidak perlu dikenang mahupun dihargai. Beliau bukan manusia luar biasa yang mesti dihargai dan dipuji.

Atas sikap sayangkan agama, bangsa dan negara, saya mempunyai banyak wadah perjuangan untuk bersuara dan saya juga ahli UMNO, saya juga tertakluk pada disiplin parti sekiranya mahu menegur pemimpin parti.

AGENDADAILY : Apa sumbangan TIBAI dalam usaha memerangi Anwar Ibrahim?

Zahid Md Arip : Kita mengumpul isu-isu yang dibangkitkan kemudian kita menjawab di setiap ceramah yang kita anjurkan di setiap negeri dan ceruk malah hampir setiap malam.

Kita buat poster, sepanduk dan berbagai risalah mengikut kadar kemampuan kita. Kita juga bersuara melalui ‘youtube’ dan pernah juga diberi peluang bersama-sama NGO-NGO lain muncul di kaca televisyen serta mendapat bantuan dari media-media baru.

Sedikit sebanyak rakyat faham siapa itu Anwar Ibrahim dan kita juga berjaya menyampaikan mesej bahawa tidak perlu taksub pada gelaran ‘Musyidul Am’.

Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang tidak boleh dipatahkan percakapan dan hujahnya.

AGENDADAILY : Apa pengalaman yang menarik boleh dikongsikan.

Zahid Md Arip : Saya nak kongsi emosi golongan muda dan sedikit cabaran. Golongan muda mempunyai sifat berlawan bukannya hendak berjoget sahaja.

Pengalaman ketika hendak menghadapi Pilihan Raya Kecil Kajang, sebelum penamaan calon Anwar turun setiap malam, budak-budak universiti dok ikut, malam demi malam dan pelajar universiti itu makin ramai.

Pada ketika itu Mahkamah Rayuan putuskan Anwar bersalah meliwat Saiful, Azmin Ali menuduh Datuk Seri Najib sebagai binatang peliharaan ternakan kepada Tun Dr. Mahathir. Najib mempengaruhi keputusan mahkamah, ini semua dakwaan yang sangat serius.

Saya tunggu kalau ada pemimpin UMNO nak jawab, seorang pun tak jawab, tak pertahankan pun Najib yang juga Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Najib dihina oleh pemimpin pembangkang.

Akhirnya saya jawab, Azmin kalau kata Najib begitu, saya kata, dia adalah anjing belaan Anwar.

Apa yang menjadi kejutan pada saya adalah adanya pemimpin UMNO ‘warning’ saya, tak bagi saya turun ceramah.

Azmin boleh kata pada PM binatang kemudian kita juga balas kata Azmin binatang tak boleh pulak, salah kita pulak.

Sekiranya UMNO terus bersikap seperti ini tidak mengikut rentak dan tari, saya khuatir UMNO tak akan diminati lagi kerana golongan muda datang bertemu saya selepas ceramah menyatakan mereka mahu UMNO bersikap berani berlawan. Itulah jiwa orang muda, suka berlawan. Pakaian orang muda adalah keberanian.

AGENDADAILY : Sejauhmana TIBAI memberi kesedaran kepada masyarakat terutama dalam hal Anwar Ibrahim.

Zahid Md Arip : Kita telah cuba tetapi sejauhmana kita tidak tahu kerana tiada angka. Tetapi TIBAI ada sambutan.

Kita juga boleh melihat sambutan ketika ceramah yang dianjurkan oleh UMNO dan ceramah TIBAI.

AGENDADAILY : Apakah ada sebarang penghargaan yang diterima oleh TIBAI sehingga saat akhir pembubarannya terutama dari pihak pemimpin atau parti memerintah.

Zahid Md Arip : Setakat ini belum ada apa-apa lagi, mungkin TIBAI ini adalah sebuah NGO kecil sahaja. Mungkin tidak sampai KPI.

AGENDADAILY : Penubuhan TIBAI dituduh sebagai hamba UMNO ataupun balaci UMNO.

Zahid Md Arip : Ya, saya akui tuduhan itu tetapi kita kena terima bahawa mereka boleh tuduh macam-macam, tapi tuduhan itu tidak melemahkan kita kerana kita fokus dan tidak pandai ‘main tengah-tengah’.

TIBAI adalah suatu badan untuk menyedarkan rakyat tentang siapa itu Anwar Ibrahim dan siapa itu pembangkang.

Pada masa yang sama TIBAI memihak sokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) tanpa memperdulikan apa habuan yang kita nak dapat, sebab itulah kita tidak cerita pasal habuan dan saya pun tidak terkilan hari ini.

Kalau adapun rasa sikit terkilan pun, saya fikirkan semula bahawa saya pun tak pernah minta dan mereka pun tak pernah nak ingat, tak apalah. Soal penghargaan pun tidak pernah ada.

AGENDADAILY : Berapa banyak belanja wujudkan TIBAI dan siapa bantu.

Zahid Md Arip : Saya tubuh TIBAI dengan duit ASB sendiri sebanyak RM40,000. Ditubuhkan di Kelab Sultan Sulaiman dengan kehadiran lebih 3,000 orang.

Saya sewa dewan, belanja buat T-Shirt dan lain-lain, kita mesti dilihat kuat dan kukuh. Pada masa penubuhannya adalah suatu kejayaan kerana tanpa sokongan kerajaan atau mana-mana parti politik.

Keseluruhannya saya telah belanja RM60,000 termasuk derma dari kalangan rakan-rakan seperjuangan. Kita belanja buat poster, banting, banner dan lain-lain.

AGENDADAILY : Pucuk pimpinan negara pernah meminta agar UMNO mengadakan hubungan baik dengan NGO sejauhmana hubungan itu.

Zahid Md Arip : Kita baik dan bertegur sapa malah saling kenal mengenali, bila jumpa kita angkat tangan, baiklah maknanya. Setakat itulah, pemimpin-pemimpin itupun akan bercakap dengan pucuk pimpinan bahawa mereka baik dengan pimpinan TIBAI.

Tetapi dalam kerjasama menganjurkan program, mereka tidak mahu terlibat kerana takut untuk berlawan dengan Anwar Ibrahim. Sesetengah pemimpin UMNO bukan berani lawan Anwar pun kerana mereka juga ada ‘pekung’.

AGENDADAILY : Apa yang ingin saudara berpesan pada pucuk pimpinan dan tak kecewakah bubar TIBAI.

Zahid Md Arip : Saya tidak kecewa membubarkan TIBAI, ini adalah hukum karma, tidak ada yang kekal di dunia ini.

Begitu juga institusi Presiden UMNO. Presiden boleh bertukar ganti dan UMNO pun kena ingat sekiranya tidak betul bawa (kemudi) boleh kalah dalam pilihan raya ini. Janganlah saya sebut tak mustahil UMNO boleh kalah dalam pilihan raya ini, saya dicop anti UMNO pulak.

Terus berjuang, kalau saya rasa agama, bangsa dan negara terancam serta rosak, saya akan bercakap benar. Ini jihad juga, bukan berperang sahaja jihad tetapi bercakap benar dihadapan pemimpin yang zalim pun jihad juga.

Seperkara lagi, UMNO kena ambil langkah proaktif susulan Anwar ke penjara dengan menyusun dan memperbetulkan balik UMNO terutama dari segi cara serta pendekatan dengan rakyat, lebih-lebih lagi isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang dan jangan tunggu lama, ‘kill the issue’ secepat mungkin.

Saya teringat Datuk Seri Najib pernah bercakap dalam perhimpunan Agung UMNO kalau kita nak minum kopi. Nak suruh bini buat kopi.

Katanya begini...“Eh buat kopi” kita akan dapat kopi.

“Kopi satu” kita dapat juga kopi.

“Yang (sayang)..yang buat kopi yang..” kita dapat juga kopi.

Matlamatnya ‘kopi’ tiga cara yang betul untuk dapatkan kopi. Bagi arahan, perintah dan pujuk tetapi manakah cara terbaik. Kita jangan bagi keutamaan pada cara tetapi mesti memberi keutamaan pada matlamat iaitu ‘kopi’.

Kita kena set matlamat dan lihat keadaan macamana nak laksanakan.

Begitulah dengan hasrat kerajaan untuk memperolehi kemenangan dua pertiga majoriti pada pilihan raya, banyak cara perlu difikirkan bagi dilaksanakan.

NGO-NGO lain, saya berharap mereka dapat meneruskan perjuangan untuk mencapai matlamat penubuhan masing-masing. Kalau kerajaan tidak membantu janganlah marah pulak.

AGENDADAILY : Terima Kasih

Zahid Md Arip : Terima Kasih kembali.- 24/3/2015 - OLEH LUKMAN ABDULLAH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 331  tetamu dalam talian