21September2019

Sejenak dengan Ketua Puteri UMNO...jangan banding saya dengan Azalina

Pada 13 Oktober lalu genap setahun Mas Ermieyanti Samsudin, memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia dan pada 19 November beliau menyambut hari lahirnya yang ke-38.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah,Melaka mengakui, sepanjang menggalas tugas sebagai Ketua Puteri, ia bukan satu perjalanan yang mudah.

Katanya, cabaran paling besar ialah untuk membentuk pemimpin dalam sayap itu.

"Pemimpin datang dan pergi tetapi kali ini kita berhadapan dengan 80 peratus pemimpin yang baru. Cabaran besar saya ialah bagaimana untuk melatih dan membentuk mereka menjadi pemimpin hari ini dan pada masa akan datang.

"Bagaimana saya nak bentuk jati diri adik-adik Puteri supaya setia pada parti? Bagi saya, mereka mestilah bersedia untuk dilatih, dibentuk, diajar dan dididik sebagai pemimpin muda.

"Tetapi sesiapa yang tidak sedia dibentuk dan dilentur boleh lupakanlah hasrat untuk jadi pemimpin.

"Pada saya Puteri adalah platform awal untuk kita mencipta pemimpin masa hadapan. Ini bukan tempat untuk mencari nama, harta, pangkat dan sebagainya. Sebab itu saya selalu tekankan nawaitu untuk kita berpolitik."

Itu kata Mas sewaktu bersembang dengan Agendadaily di bangunan Parlimen.Sebelum itu beliau sambut hari jadinya secara kecil-kecil bersama beberapa rakan Puteri di kantin Parlimen.

Ketua Puteri yang berasal dari Melaka ini bukan calang-calang latarbelakangnya. Mas menyertai Puteri sejak awal penubuhan Jawatankuasa Penaja sayap UMNO itu pada 2001.

Dia menganggotai Jawatankuasa Penaja Puteri bahagian Alor Gajah sebelum dipilih menjadi Ketua Puteri cawangan Paya Lebar, Melaka.

Karier politiknya berkembang tahun berikutnya apabila menjadi Ketua Puteri bahagian Alor Gajah. Setahun kemudian Mas naik pangkat lagi jadi Ketua Puteri negeri Melaka pula.

Pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 Mas menang kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan majoriti 16,200 undi menewaskan pencabarnya Mohd Nasaie Ismail dari PAS.

Mas berkata, cabaran besar keduanya ialah dibandingkan dengan Ketua-Ketua Puteri sebelum ini.

"Saya sedar ada pihak yang masih membandingkan saya dengan Ketua-Ketua Puteri yang terdahulu.

"Masalahnya, masyarakat memperlihatkan Puteri ini hanya Datuk Azalina sahaja. Itulah persepsi mereka. Tapi tahukah mereka bahawa pada ketika itu Azalina mengepalai sebuah gerakan anak muda yang tidak diberi ruang dan peluang dalan politik.

"Sudah pastinya wanita muda di luar sana teruja untuk menyertai Puteri walaupun pada masa itu kita tahu ramai pemimpin atasan UMNO terutama Wanita yang ada kekangan untuk menerima kewujudan Puteri.

"Begitu juga ketika Puteri di bawah pentadbiran Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Shirlin.

"Tapi bila orang masih buat perbandingan, saya cuma fikirkan yang positif dan memandang ke hadapan. Saya ambil pandangan mereka sebagai cabaran kerana saya yakin ia akan menjadikan saya pemimpin yang lebih baik.

"Kalau kita dibuai dengan lagu-lagu yang indah kita akan leka, tetapi kalau ada komen-komen sebegitu kita akan ambil perhatian dan tidak akan duduk dengan leka dan sukahati," kata Mas yang kelihatan tenang.

Mas yang juga seorang peguam, berkata, cabaran ketiganya sebagai Ketua Puteri ialah mendepani media sosial yang baginya tidak boleh dipandang remeh.

"Kita lihat keadaan hari ini berbeza dengan 10 tahun lepas yang mana rakyat ada pilihan menerusi kepesatan media sosial.

"Media sosial hari ini yang digunakan pembangkang telah mengubah persepsi rakyat dan cabaran itu terkena Puteri sendiri. Bukan sahaja Puteri, tetapi Pemuda, Wanita dan UMNO semua terkesan."

Sehubungan itu katanya, Puteri telah menjalankan pelbagai langkah untuk berdepan dengan cabaran media baru.

Katanya menerusi biro media sosial Puteri telah melatih jenteranya untuk menjawab dan menangkis serangan-serangan di alam siber.

Selain itu juga Puteri mengaturkan pelbagai program untuk mendekati pelajar-pelajar IPTA dan IPTS.

Menyedari pelajar-pelajar tingkatan lima pada waktu ini bakal menjadi pengundi pada PRU akan datang, biro pendidikan Puteri pula telah mengaturkan pelbagai program, antaranya Kembara Ilmu di mana ia mengadakan kursus dan seminar untuk membimbing pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara.

"Alhamdulillah pada peperiksaan SPM yang lepas kami menerima banyak SMS dari pelajar yang mengatakan kursus-kursus berkenaam telah berjaya membantu mereka menjawab soalan dengan baik.

"Saya yakin ini adalah salah satu cara untuk kita mengubah persepsi golongan muda terhadap Puteri dan UMNO.

"Tak kenal maka tak cinta. Buat masa ini mungkin masih ramai yang tidak mengenali pemimpin-pemimpin Puteri. Tetapi lama kelamaan ia akam berhasil. Itu sebabnya kami lebih suka turun padang mendekati masyarakat tanpa protokol.

Mas berkata Puteri sedar senario politik masakini amat mencabar dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini. Apatalah lagi apabila banyak pihak yang tidak takut atau menghormati undang-undang mahupun sesama insan dan sewenang-wenang menabur fitnah terhadap UMNO dan kerajaan.

"Bagi saya ini adalah zaman kesukaran buat kita. Tetapi kita berada dalam sebuah parti yang kuat, dan faham apa yang hendak kita perjuangkan.

"Puteri akan tetap bersama kepimpinan sedia ada hari ini untuk mendepani apa jua cabaran dan kalau kita dapat melepasi lepas halangan ini maka kita merupakan pemimpin yang hebat.

"Sejak UMNO ditubuhkan sampai ke hari ini kita lihat inilah zaman yang agak sukar perlu kita hadapi. Sebab itu kesetiaan kepada parti amat penting. Kalau dalam keadaan ini kita lari, kita bukanlah ahli parti yang setia." - 20/11/2014 - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 186  tetamu dalam talian