20September2019

Perlis akan laksanakan projek mega

Profesional dan terbuka. Itulah pandangan pertama kali bertemu dan bersembang dengan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man di kediaman rasmi beliau di Arau baru-baru ini.

Sebagai seorang bekas pegawai tadbir dan diplomatik, beliau dilihat bersedia ketika berdepan dengan soalan provokasi wartawan.

Selepas majlis makan malam yang dihoskan beliau sempena lawatan Kembara Media 2015 Negeri Perlis anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang disertai 38 orang wartawan dan jurugambar dari 19 agensi media serta kakitangan JAPEN, Menteri Besar sempat memberi peluang untuk wartawan bertanya soalan.

Berbanding dengan orang politik, lebih-lebih lagi bila soalan itu melibatkan nama Perdana Menteri.

Persoalannya mudah, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, Jumaat lepas beberapa negeri mendapat buah tangan seperti hospital, sekolah dan berbagai projek berjumlah ratusan jutaaan ringgit.

Tetapi malangnya bagi negeri Perlis yang sudahlah kecil telah dilihat semacam tidak mendapat jelingan langsung dari Najib yang juga Menteri Kewangan.

Ekoran itu terdapatlah cakap-cakap orang politik kononnya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menyampah dengan karenah ‘warlord-warlord’ politik di negeri itu maka sebab itulah Najib langsung tak bagi apa-apa pada Perlis.

Bak kata orang, hati siapa tak terasa dengan sikap Najib itu. Apatah lagi pembangkang yang akan ‘spin’ dengan bermacam kata dan tohmahan. Malah dalaman UMNO sendiri pun ada yang memandang serong pada pucuk pimpinan negeri tersebut.

Sebagai Menteri Besar, perkara itu langsung tidak menimbulkan rasa kecil hati atau rasa tersingkir semata-mata negeri Perlis tidak mendapat apa-apa projek besar dan nama negeri itu tidak disebut dalam ucapan bajet tersebut.

Menurut Menteri Besar, Perlis sudah terlebih awal mendapat perhatian Perdana Menteri, Perlis sudah mendapat kelulusan Perdana Menteri projek membina sebuah hospital dan sebuah klinik di Padang Besar.

“Sebuah sekolah menengah di Kangar dan sebuah sekolah rendah di Padang Besar juga diluluskan Perdana Menteri ketika melawat Perlis pada Ogos tahun ini,” jelas Azlan sebagai penjelasan negeri Perlis tidak mendapat apa-apa projek pada pembentangan bajet tersebut.

Azlan juga memberitahu projek-projek tersebut telah dimasukkan dalam ‘First Rolling Plan’. Ini bermakna ianya akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Azlan menambah, soal Perdana Menteri tidak menyebut secara spesifik apa-apa yang diperolehi oleh negeri Perlis dalam ucapan bajet tersebut adalah kerana Menteri Kewangan memilih untuk menyebut negeri-negeri yang ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) tidak disentuh seperti Kedah.

Menyorot kembali ucapan Perdana Menteri ketika melawat Perlis pada 22 Ogos lepas, Perdana Menteri berkata beliau komited meneruskan pembangunan di negeri Perlis.

Beliau akan memberi peruntukan pembangunan beberapa projek di negeri itu.

Peruntukan pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping bernilai RM800 juta dan Perlis Inland Port yang bernilai RM200 juta.

Perdana Menteri meluluskan pembinaan Hospital Padang Besar, serta sebuah sekolah menengah di Kangar dan sebuah sekolah rendah di Padang Besar.

Turut diluluskan pembinaa UTC (Pusat Transformasi Bandar) di Kangar yang akan dibina dan dijangka siap pada tahun hadapan.

Menurut Najib walaupun Perlis adalah sebuah negeri yang kecil, tumpuan terhadap negeri itu tetap ada, termasuk dari segi politik.

Beliau mahu rekod menang 100 peratus Parlimen. DUN (Dewan Undangan Negeri) kalah dua (kerusi) kena dikekalkan.

Perdana Menteri juga berkata, “Pentadbiran kita lantik, seorang PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) yang mahir dan boleh terajui kepimpinan Perlis dengan baik. Saya tengok Ketua UMNO bahagian Padang Besar tak ada jawatan, Datuk Zahidi (Datuk Zahidi Zainul Abidin) saya lantik jadi pengerusi Risda.

“Hangpa bertiga ni...pakatlah.... Saya dah bagi role (tugas), dah ada semua. Jangan score gol sendiri, musuhlah menang. Yang penting UMNO menang,” kata Najib dalam satu program politik.

Ketika diminta mengulas pembangunan Perlis, Menteri Besar memberitahu beberapa projek besar akan dilaksanakan di negeri tersebut bagi menjana pembangunan ekonomi yang mapan disamping dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan dalam bilangan yang besar serta berjangka panjang.

Menurut Azlan, projek bertaraf mega di Perlis itu juga akan memberi kesan limpahan ekonomi pada keseluruhan Perlis dan akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, perniagaan dan kemajuan.

Katanya, dalam sejarah Perlis, pengwujudan projek mega memberi suatu pembangunan berjangka panjang dan mampu untuk mengubahtaraf ekonomi rakyat.

“Sebab itulah kita memberi penekanan pada projek-projek bersaiz mega tanpa mengenepikan projek bersaiz kecil dan sederhana bagi memberi peluang pada kontraktor kecil,” jelas beliau.

Menurut Menteri Besar, Perlis merancang lima projek bertaraf mega yang melibatkan pelaburan kerajaan berjumlah berbillion ringgit.

Antaranya, kata Azlan, “projek Lembah Cuping melbatkan pelaburan kerajaan melebihi satu billion ringgit, projek Kangar Central akan menelan kos RM500 juta, Projek di Kuala Perlis pula melibatkan Tabung Haji dijangka berjumlah hampir RM300 juta dan Pelabuhan atau Jeti Bersepadu yang dirancangkan di Sanglang dan Kuala Sungai Baru akan menelan belanja berbillion ringgit.”

Menurut Azlan, projek Lembah Cuping akan bermula pada tahun 2016 dengan projek penyediaan infrastruktur yang diperlukan untuk menarik pelabur-pelabur.

“Penyediaan jalanraya, sistem perkumbahan, air, letrik, gas dan lain-lain kemudahan infra seperti internet berkelajuan tinggi,” tambah beliau.

Kata Azlan, kesemua projek tersebut telah dimasukkan dalam RMK11 kecuali projek Bandar Maritim di Kuala Perlis. Kangar Central dan projek Jeti Bersepadu kerana ketiga-tiga projek ini merupakan private sector initiative.

Ketika diminta mengulas pembentangan bajet 2016, Azlan menganggap ianya merupakan sesuatu yang diluar jangkaan kerana dalam keadaan ekonomi kita yang terkesan akibat kejatuhan harga minyak.

“Jumlah RM224 bilion itu akan memberikan kesan pembangunan ekonomi yang menyeluruh di seluruh Malaysia, ianya adalah bajet yang seimbang dari segi faedahnya pada semua pihak seperti pihak awam, kerajaan, swasta dan rakyat.

Dalam konteks negeri Perlis, Azlan mengharapkan ianya akan diterjemahkan dalam bentuk penyediaan infrastruktur-infrastruktur yang diperlukan oleh negeri Perlis untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelabur.

Menyentuh Kembara Media Menteri Besar itu melahirkan rasa teruja kerana baginya agak sukar untuk mendapat kunjungan wartawan dari Kuala Lumpur malah jarang sekali nama Perlis muncul sebagai berita utama di dada akhbar atau media utama.

Menurut beliau, ini merupakan suatu kaedah terbaik dalam untuk kita merapatkan lagi silaturrahim khususnya diantara kerajaan negeri Perlis dengan ahli-ahli media massa ataupun pengamal media di negara ini.

Menurutnya, kerjasama antara kerajaan negeri ini dengan media massa adalah tersangat penting kerana media bukan sekadar egen penyampai maklumat tetapi dalam konteks yang lebih luas pengamal-pengamal media juga menjadi dan memainkan peranan penting di dalam pembangunan sesuatu negeri.

“Walaupun kita jarang-jarang mendapat berita di muka surat utama atau muka surat pertama di akhbar-akhbar utama, sekali sekala ada itupun cerita-cerita seperti penemuan kubur-kubur mangsa-mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, itulah sekali sekala negeri Perlis keluar sebagai berita utama di muka hadapan akhbar-akhbar utama tempatan,” kata Azlan sambil disambut gelak ketawa para jemputan ketika berucap di majlis makan malam tersebut.

Katanya, “pihak media adalah adil di dalam pelapuran maklumat-maklumat dan berita-berita dari negeri Perlis dan saya mengakui bahawa saya ‘I m a bit media shy’, ‘I don’t quite like to be with the media simply because’ saya tidak mahu mendapat terlalu banyak sangat ‘highlight and always under the lamp light of media’. Sebab jika banyak mendapat ‘highlight’ akan timbul lebih banyak masalah.”

Menurut beliau lagi, berdepan dengan wartawan, mereka akan bertanya sesuatu yang baru seperti pembangunan atau projek baru di Perlis tetapi bila setahun berlalu, pemberita yang sama akan bertanya balik apa sudah jadi dengan projek yang diperkatakan setahun lalu itu.

“Saya akan berdepan dengan masalah untuk menjawab persoalan tersebut. Di Perlis ini, projek bukan perkara yang mudah kerana melalui proses yang ‘complicated’, jelas Azlan sambil meneruskan taklimat pembangunan negeri tersebut.

Untuk memajukan negeri Perlis ke arah Perlis Maju 2015. Azlan Menteri Besar Perlis dilahirkan pada 2 September 1958 di Arau dilihat sebagai akitek baharu yang bakal melakar sejarah tersendiri.

Beliau mendapat kelulusan akademik

M.A International Economic, University of Denver, USA (1990), B.A Hons. Geografi, Universiti Malaya (1981),

Dip. In Public Management, INTAN (1982)-3/11/2015 OLEH LUKMAN ABDULLAH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 245  tetamu dalam talian