21September2020

Agenda Daily

Menyurai kesesakan di Lembah Klang

Saban pagi isteri saya menghantar saya ke stesen kereta api. Di situ, saya bergegas mendapatkan minuman panas lalu mencari tempat duduk dalam kereta api. Sesudah mendapat tempat duduk, saya akan menikmati perjalanan sambil membaca.

Selama empat tahun, begitulah rutin harian saya. Ketika itu saya bekerja di pejabat Shell berdekatan dengan stesen Waterloo, pada era 90-an. Saya memilih untuk menetap di Cobham iaitu sebuah kampung kira-kira 40 kilometer di pinggir pusat bandar London.

Untungnya tinggal jauh dari bandar ialah saya dapat tinggal di sebuah rumah yang besar dengan taman yang terbentang luas, namun saya masih dapat ke bandar untuk bekerja dan berhibur. Zaman itu adalah zaman yang begitu produktif buat keluarga saya, malah, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa itu juga zaman yang amat indah buat kami sekeluarga.

Menjelang tahun 2020, seramai 10 juta orang akan bermastautin di Greater KL. Ertinya, setiap seorang daripada tiga orang penduduk Malaysia ketika itu akan menetap di KL dan kawasan sekitarnya. Ketika ini, kesesakan lalu lintas yang berlaku di beberapa tempat memang parah.

Orang mudah baran ketika pemandu terperangkap dalam kereta. Sejurus tiba di pejabat, kita sudah berasa letih, pastinya bukan satu permulaan yang baik pada hari bekerja. Tiada maknanya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi sedangkan kualiti hidup kita terjerut dengan perjalanan ulang-alik yang lama dan menyeksakan.

Ketika GTP mula-mula dilancarkan pada tahun 2009, isu membabitkan pengangkutan awam bandar (Urban Public Transportation, atau UPT) adalah satu daripada isu utama yang perlu segera diatasi. Kuala Lumpur memerlukan sebuah sistem yang bersepadu dan cekap bagi membolehkan penumpang berulang-alik dengan cara yang paling pantas dan mudah.

Bayangkan senario ini. Bagaimanakah caranya untuk anda bergerak dari rumah anda di Sungai Buloh ke pejabat di Jalan Sultan Ismail tanpa memandu? Anda akan menaiki KTM Komuter di Stesen Sungai Buloh, turun di KL Sentral, beli tiket lain di terminal LRT, turun di KLCC, kemudian anda akan memilih, sama ada menggunakan laluan pejalan kaki bertutup dari situ atau menaiki bas percuma GoKL sehinggalah ke pejabat anda di Menara Standard Chartered. Perjalanan ini licin, tidak menyusahkan dan sudah pun diamalkan sekarang.

Akan tetapi, jika seseorang menetap di Kota Damansara yang padat penduduknya, first mile connection iaitu untuk tiba ke stesen pengangkutan awam memanglah sukar. Untuk memandu ke stesen LRT Kelana Jaya memang tak masuk akal. Namun, apabila stesen MRT Kota Damansara sudah siap nanti, perjalanan ke KLCC tidak sampai satu jam menggunakan rel dan bas.

Kami sedang berusaha menambah baik kesalinghubungan agar penumpang yang berulang-alik tidak perlu berjalan lebih dari 400 meter untuk tiba ke titik first mile connection atau keluar dari mana-mana stesen untuk ke laluan pengangkutan yang lain. Kesan sebenar daripada pengangkutan awam bandar hanya boleh dirasakan jika ia bersepadu dan mudah digunakan.

Pendekatan dua serampang

Sebuah pendekatan dua serampang wajar diambil agar sistem pengangkutan awam menjadi suatu kaedah pengangkutan pilihan ramai:

Faktor tarikan

Orang ramai akan terpanggil untuk menggunakan pengangkutan awam jika ia menjanjikan sesuatu yang menarik minat penumpang. Terdapat empat aspek penting:

• Kesalinghubungan antara first dan last mile mesti menyediakan cara yang mudah untuk penumpang masuk dan keluar dari terminal serta menghantar mereka ke destinasi masing-masing tepat pada waktunya. Sebuah rangkaian bas pengantara yang tersedia di kawasan kediaman dan lokasi perniagaan malah dilengkapkan dengan kemudahan park-and-ride serta laluan pejalan kaki mesti diwujudkan.

• Kemudahan yang tersedia mestilah selamat dan diselenggara dengan baik tanpa membebankan penumpang dengan kos yang tidak wajar.

• Penyepaduan rangkaian pengangkutan turut memerlukan sebuah sistem pembayaran yang dipertingkat agar penumpang tidak perlu turun naik dari laluan mereka semata-mata untuk membeli tiket baharu. Keseluruhan proses perjalanan ini mestilah pantas dan tidak tersekat-sekat.

• Sebuah aplikasi mudah alih yang dilengkapi data masa nyata yang membolehkan penumpang merancang perjalanan mereka pasti disambut baik. Aplikasi seperti ini memudahkan penumpang menganggarkan tempoh masa perjalanan dari rumah sehinggalah ke destinasi mereka.

Sistem Bas Transit Laju (BRT) yang menyediakan laluan khas hanya untuk bas dari Klang ke Pasar Budaya sedang dibina di Lebuhraya Persekutuan. Perkhidmatan bas disediakan setiap dua minit, malah pelan sedang dirangka untuk memendekkan masa menunggu kepada 30 saat. Dengan sistem ini, ketidaktentuan tempoh perjalanan dapat diatasi kerana perjalanan dari awal hingga akhir (end-to-end) hanya mengambil masa sejam pada waktu puncak berbanding dua jam pada masa ini.

Faktor tolakan

Kerajaan di mana-mana negara dunia yang padat penduduk sering mengamalkan dasar bagi mengurangkan kecenderungan orang ramai memandu masuk ke bandar.

London dan Singapura umpamanya memperkenalkan suatu caj kesesakan atau tambang aerial bagi pemandu yang memandu di bandar. Malah, tiada sebarang subsidi minyak diberikan, justeru, minyak yang dibeli pada kadar pasaran biasa memang mahal.

Semakin subsidi minyak dirasionalisasikan, apatah lagi dengan faktor tarikan yang disebut tadi, semakin cenderunglah kita untuk menggunakan kereta api dan bas kerana cara ini lebih murah.

Apabila perbelanjaan terhadap subsidi dikurangkan, wang itu dapat diagihkan terhadap penambahbaikan terminal dan laluan pejalan kaki, penambahan koc serta pengembangan rangkaian pengangkutan bagi meningkatkan kesalinghubungan untuk menampung pertumbuhan penduduk.

Lagi pula, semakin kurang kereta yang masuk ke kawasan pusat perniagaan, semakin banyaklah pula kawasan bandar yang boleh dimanfaatkan dengan produktif, bukan setakat dijadikan kawasan meletak kereta semata-mata.

Tambang dikutip terlalu rendah

Sebagai contoh, kami membelanjakan beratus-ratus juta ringgit untuk mensubsidikan operasi KTM Berhad. Tambang yang dikutip daripada penumpang terlalu rendah, justeru tidak mampu menampung perbelanjaan operasi mereka.

Lambat laun, tambang perlu dinaikkan agar syarikat ini berupaya mempertingkat perkhidmatan mereka. Adalah tidak wajar jika kerajaan terus-menerus mensubsidikan pengangkutan awam negara dalam jumlah yang begitu tinggi.

Saya menetap di Kota Damansara dan seperti pemandu lain yang memandu di sepanjang tapak pembinaan MRT di situ, saya juga tidak terkecuali daripada perasaan jengkel ketika berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang begitu menyeksakan.

Sungguhpun begitu, saya mampu bertenang dengan mengingatkan diri saya bahawa kesesakan lalu lintas ini akan sampai ke penghujungnya hanya beberapa tahun lagi. Pada waktu itu nanti, Greater KL sudah mempunyai pengangkutan awam yang pantas, mudah dan mesra alam sebagai suatu kaedah alternatif yang boleh diharap.

Seandainya kita dapat menarik lebih ramai penduduk menggunakannya, keluhan dan baran yang pada waktu puncak, malah, kos perjalanan yang membebankan akibat harga minyak yang tinggi, akan luput dan hanya tinggal kenangan.-10/10/2014

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sebarang komen yang bersifat adil dan telus amat dialukan di [email protected] pemandu.gov.my

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 401  tetamu dalam talian