21September2019

Mengurus kemenangan BN dengan konsep "kasih akan melata bukan kasih yang bertompok"

WAWANCARA Kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan DUN Pengkalan Kubor Kelantan dengan majoriti besar baru-baru ini diputuskan akan menjadi 'kajian kes' oleh UMNO untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Itu penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Pengkalan Kubor bagi meraikan kemenangan BN baru-baru ini.

Najib menzahirkan suatu terma ‘Di Sini Mulanya Pembaharuan Ke Arah PRU14’ bagi membangkitkan semangat baru BN.

Apa formulanya, apa rahsianya yang menyebabkan sokongan padu rakyat berterusan biarpun berganti personaliti yang menjadi calon.

Benarkan kejayaan di Pengkalan Kubor merupakan contoh bagaimana jika calon 'winnable candidate' disokong oleh jentara parti akan memperoleh kejayaan, atau dalam kata lain, pengorbanan pemimpin peringkat bahagian yang namanya tidak dicalonkan.

Untuk menjawab persoalan tersebut, Agendadaily mengadakan temuramah khas dengan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Aziz, wira tak didendang di sebalik kejayaan besar BN di N01 Pengkalan Kubor.

Beliau dan seluruh AJK UMNO Bahagian Tumpat mengakui menimba banyak ‘aset-aset’ penting bagi meneruskan kepimpinan UMNO Bahagian Tumpat selepas kematian ketuanya yang juga ADUN Pengkalan Kubor arwah Datuk Noor Zahidi Omar akibat penyakit kanser.

Dalam PRK itu, calon BN Mat Razi Mat Ail, 48 tahun menang besar dengan majoriti 2,635 undi setelah mendapat 9,961 undi mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang memperolehi 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47, hanya mendapat 38 undi sahaja.

Dalam pertemuan dengan wartawan kanan Agendadaily Lukman Abdullah di pejabat UMNO Bahagian Tumpat baru-baru ini, Datuk Rosdi menjawab beberapa persoalan berhubung kemenangan kerusi DUN Pengkalan Kubor disamping perancangan beliau selaku peneraju baru UMNO Tumpat untuk merampas semula tiga lagi DUN dalam bahagian tersebut.

Baginya konsep pengurusan yang betul, samada dalam parti mahupun pada rakyat yang diwakili adalah "kasih akan melata bukan kasih yang bertompok."

Dalam kata lain, bukan pilih bulu, semua kelompok atau segmen masyarakat merasai kehadiran UMNO dan BN di dalam DUN, Parlimen juga negeri untuk kekal menjadi parti yang unggul dan terus memimpin Malaysia bagi dekad akan datang.

Berikut adalah transkrip wawancara Eksklusif Bersama Agendadaily dengan pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Aziz.

AGENDADAILY : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di program bersama rakyat Pengkalan Kubor menyebut satu terma ‘Di Sini Mulanya Pembaharuan Ke Arah PRU14’, boleh ulas dan apa yang boleh Datuk definasikan dalam konteks UMNO Bahagian Tumpat.

DATUK ROSDI AZIZ : Saya amat tertarik dengan apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri itu, terma ini cukup istimewa, rentetan daripada keputusan Pilihan Raya Kecil N01 Pengkalan Kubor.

Kejayaan di PRK Pengkalan Kubor akan menjadi titik permulaan gerak kerja, perancangan, hala tuju dan pengharapan kita untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Di sini akan dijadikan suatu model untuk pencapaian kita dalam PRU nanti samada dari segi perancangan, gerak kerja dan pastinya kemenangan yang hendak dicapai.

Ianya juga kerana satu semangat, perpaduan dan susun atur kerja yang teliti. Maka dengan kesempurnaan inilah yang akan digunapakai untuk PRU14 nanti.

Apa yang boleh dibanggakan adalah BN menang di PRK ini dalam keadaan cukup selesa kerana kemenangan ini bukan sahaja jumlah majoritinya lebih besar dari PRU13 tetapi BN menang kerana berdepan dengan parti PAS.

Kita telah diberi peringatan bahawa pada PRK ini BN akan hadapi cabaran besar dan keputusan yang akan tercabar.

Tidak kedengaran orang menyebut bahawa PRK ini BN akan memenangi dengan majoriti yang lebih besar berbanding semasa PRU lepas.

Alhamdulillah, realitinya kita menang dengan majoriti yang lebih besar daripada PRU dan lebih jelas kita dapat tengok sebahagian besarnya undi kemenangan kita adalah datang daripada penyokong-penyokong PAS.

Disimpulkan bahawa penyokong PAS juga pada bila-bila masa, bermula pada PRK Pengkalan Kubor ini boleh berubah dan akan bersama dengan UMNO/BN.

AGENDADAILY : Ekoran kejayaan di DUN Pengkalan Kubor, mungkin telah menyuntik semangat dan azam baru UMNO Tumpat untuk memastikan kemenangan di tiga lagi DUN dalam Parlimen Tumpat ini.

ROSDI : Semangat PRK Pengkalan Kubor ini jelas memberi suatu iklim baru kepada UMNO Bahagian Tumpat. Bagi saya aset yang paling besar yang dapat dikutip daripada peristiwa PRK itu ialah semangat UMNO terutama semangat perpaduan dikalangan jentera parti itu.

Apa yang boleh digambarkan bahawa tidak ada langsung perpecahan atau ‘cah keting’ yang sering diperkatakan dalam politik Kelantan.

Dengan aset yang ada ini, ianya suatu yang besar maka ianya juga akan melimpah ke tiga DUN yang lain di Tumpat ini. Bagaimanapun perkara ini memerlukan suatu perancangan yang teliti dengan berbekalkan pengalaman di PRK Pengkalan Kubor, Insha Allah perkara ini menjadi suatu modal perancangan bagi menghadapi PRU14.

Diharapkan juga kesan kemenangan PRK Pengkalan Kubor ini juga akan diambilkira oleh BN supaya ‘kemenangan’ itu dirasai nikmatnya oleh rakyat secara melata, dalam ertikata lainnya, saya yakin kita akan membuat perancangan untuk mempastikan kemenangan ini dirasai oleh rakyat Pengkalan Kubor dan akan disaksikan oleh rakyat di tiga DUN yang lain.

Terpentingnya, kita di UMNO Bahagian Tumpat akan memberi sokongan penuh kepada Yang Berhormat Ustaz Mat Razi dalam usaha beliau mengurus rakyat dan dalam membuat perancangan supaya kehadiran YB dari BN itu dirasai oleh rakyat dan seterusnya mereka memerlukan wakil-wakil rakyat BN di DUN yang lain.

AGENDADAILY : Perpaduan jentera dikatakan aset besar UMNO Tumpat, apakah Datuk mampu mengekalkan keutuhan aset tersebut hingga ke PRU akan datang.

ROSDI : Saya yakin, aset seperti perpaduan jentera, semangat yang tinggi dan pengukuhan parti. Ianya bermula pada ‘grassroot’ dari cawangan, Pusat Daerah Mengundi (PDM), DUN dan jentera di peringkat bahagian.

Pengukuhan yang saya akan olah nanti Insha Allah, dalam pengurusan UMNO Bahagian Tumpat, selain daripada pengukuhan jentera pilihan raya, saya akan fungsikan pengukuhan ini ke peringkat ‘grassroot’.

Saya akan menterjemahkan dalam pengurusan UMNO di sini dengan kaedah yang sebaik mungkin secara bijaksana dan terurus, saya akan cuba merancang konsep pengukuhan jentera di peringkat cawangan.

Kita mesti memperkasakan cawangan melalui kaedah tertentu dan terpenting selepas ini ketua-ketua cawangan merasai mereka juga adalah pemimpin yang penting untuk pengukuhan di peringkat bahagian dan mereka juga adalah aset penting bagi hadapi PRU14.

Konsep pengukuhan di peringkat PDM semasa PRK baru-baru ini dapat dilihat hasilnya baik sekali di mana semua PDM telah menunjukkan semangat yang tinggi.

Kita memerlukan perancangan jangkamasa panjang di mana sebelum pilihan raya kita perlu membuat pengukuhan di peringkat cawangan manakala semasa hendak hadapi pilihan raya kita perlu perkukuhan PDM pula. Paling penting ialah pemimpin dan rakyat di’grassroot’ merasai kehadiran serta kewujudan BN dan UMNO.

Biarlah mereka merasakan betapa perlunya UMNO dan BN, lantaran itu bila tiba PRU maka sesiapa sahaja dipilih menjadi calon, ianya akan menang kerana kekuatan UMNO bukan kekuatan individu.

AGENDADAILY : Apakah Datuk ingin katakan ini adalah era pentadbiran baru Datuk selaku pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat.

ROSDI : Saya tidak istilahkan sebagai era baru, saya akan laksanakan proses kesinambungan asas-asas dan pengurusan yang telah pun dilaksana dan dirancang oleh arwah Datuk Haji Noor Zahidi.

Dalam pada masa yang sama, saya akan membuat penambahbaikan berasaskan keperluan semasa dan berasas iklim politik semasa UMNO Bahagian Tumpat.

Kita juga perlu sensitif terhadap keperluan dan senario politik di peringkat DUN masing-masing. Namun saya melihat keempat-empat DUN ini tidak ada perbezaan yang ketara sangat dari segi iklim politiknya maka bagi perancangan kesemua DUN itu dari segi jangka pendek dan jangka panjangnya, asasnya lebih kurang sama.

Saya hanya memerlukan suatu kebijaksanaan daripada pengurusan terutamanya sokongan daripada semua rakan-rakan di peringkat biro politik dan UMNO Bahagian dalam usaha merancang bagi menambahbaikan kepada UMNO dan BN.

AGENDADAILY : Konsep apa yang akan digunapakai bagi mengekalkan momentum keutuhan perpaduan jentera yang diperkatakan itu.

ROSDI : Seperkara yang jelas, pengukuhan UMNO Tumpat adalah menjadi agenda utama kepada pengurusan dan pentadbiran saya untuk masa kini.

Dalam istilah pengukuhan itu ada pengisiannya yang tersendiri dan pengisian paling penting, saya akan fungsikan setiap biro-biro yang ada dan saya akan fungsikan dengan beri tanggungjawab kepada kesemua ahli jawatankuasa, mana-mana setiap aktiviti saya akan mengambilkira kesemua mereka di dalam menjayakan aktiviti tersebut.

Sebagai contoh, kehadiran Perdana Menteri di DUN Pengkalan Kubor baru-baru in, kesemua AJK UMNO Tumpat termasuk semua sayap, saya libatkan dan semua mereka ada tanggungjawab. Tiga program yang dihadiri PM jelas berjaya dan kita masih dapat mengekalkan momentum kerjasama perpaduan itu, Insha Allah kita akan kekalkan berterusan dari masa ke semasa hingga ke PRU akan datang.

AGENDADAILY : Bagaimana usaha Datuk untuk mengekalkan hubungan baik dengan Presiden parti (Datuk Seri Najib) setelah beliau sendiri akui bahawa arwah Datuk Noor Zahidi adalah sahabat baiknya sejak 30 tahun lalu.

ROSDI : Semua pemimpin ada kelebihan dan kekurangannya sendiri, saya amat menghormati arwah Datuk Noor Zahidi yang dapat menjadi pemimpin yang begitu serasi dengan pucuk pimpinan tertinggi parti, kita kena terima hakikat bahawa arwah adalah dalam ‘rakan sebaya’, umur hampir sama dan bermakna mereka telah lama berhubung antara satu sama lain.

Pada era saya yang lebih junior dari segi kepimpinan bukan suatu yang asing, bukan juga menjadi halangan pada saya untuk mengurus UMNO Bahagian Tumpat.

AGENDADAILY : Bagaimana Datuk hendak mengurus UMNO Tumpat.

ROSDI : Dalam konsep saya mengurus, saya akan cuba mempastikan pengurusan dan juga program UMNO Tumpat akan dilaksanakan berdasarkan tempoh pengurusan yang saya ada.

Saya akan merancang program berasaskan tempoh yang saya menjadi ketua bahagian, sekiranya tiga tahun saya ada maka tempoh tiga tahunlah bukan tiga tahun selepas.

Saya akan membuat pengurusan UMNO Tumpat untuk masa hadapan adalah berdasarkan kepada kejayaan semasa saya mengurus. Saya bukan merancang untuk tiga tahun selepas kerana sekiranya saya merancang tiga tahun selepas dalam tempoh saya mengurus maka perancangan akan melibatkan perkara-perkara kepentingan kelompok tertentu.

Saya selalu sebut, perancangan saya, kasih akan melata bukan kasih yang bertompok.

AGENDADAILY : Apa pesanan Datuk pada golongan muda yang selama ini berasa kecewa dengan UMNO Tumpat dan tidak ada tempat dalam parti.

ROSDI : Pada saya istilah tidak ada tempat dalam parti adalah agak umum tetapi dalam proses kepartian dan konsep demokrasi setiap pemilihan akan ada yang menang dan kalah.

Tetapi perlu diingatkan bahawa yang menang tidak menang semua dan kalah tidak kalah semua. Maka bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin, ianya mesti berjiwa besar.

Perlu diingatkan bahawa kalah tidak bererti mereka tidak boleh memberi sumbangan pada parti.

Bagi saya, sesiapa sahaja yang mengalami kekalahan semasa menawarkan diri untuk emnjadi pemimpin UMNO, sekiranya memencilkan diri daripada memberi sumbangan kepada parti sebenarnya orang itu bukan berjiwa besar untuk menjadi pemimpin.

Sebagai seorang pemimpin yang memberi perkhidmatan pada parti sebenarnya menjadikan pemimpin itu adalah suatu alat sahaja.

Kita kena lihat sekarang, ramai ahli UMNO yang tidak berjawatan masih memberi sumbangan yang besar pada program-program anjuran UMNO tetapi tidak dinafikan juga dikalangan kita apabila tidak dipilih menjadi pemimpin sedangkan pada masa sekarang kita yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin bukan disuruh.

Pada semua peringkat samada wanita, pemuda dan puteri atau sesiapa sahaja, janganlah kerana kekalahan atau tidak dipilih semasa pemilihan di peringkat bahagian atau cawangan, kita mengundurkan diri sedangkan ketika itu kita yang menawarkan diri.

Untuk jadi pemimpin, kita kena berjiwa besar sebab jika dilihat dalam senario politik negeri Kelantan, tidak ada seorang pemimpin besar selagi ianya kekal dalam UMNO tidak pernah mengalami kekalahan terutamanya di dalam menghadapi pilihan raya.

Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah kalah, Tan Sri Annuar Musa pernah kalah, Datuk Dr Awang Adek pernah kalah dan arwah Datuk Noor Zahidi pernah kalah tetapi mereka tidak pernah meninggalkan parti, tidak pernah rasa kecewa dan mereka meneruskan perjuangan.

Sesiapa sahaja pemimpin di peringkat bahagian, pemuda, wanita dan puteri di UMNO Bahagian Tumpat, saya menyeru bersamalah kerana masa depan kita masih ada. Penting orang sedang melihat sejauhmana komitmen kita pada UMNO.

Saya minta pada semua pemimpin berilah sumbangan kepada UMNO sepanjang masa bukan semasa pemilihan sahaja sebab sekiranya lota sedia berkhidmat kepada parti dan rakyat secara berterusan,Insha Allah mereka akan menilai kerana hari ini rakyat lebih bijak terutamanya diperingkat bahagian.

Mereka melihat sejauhmana kita dapat memberi komitmen pada parti bukan semua untuk jadi pemimpin semata-mata, oleh itu kita jangan kecewa, sekali kita tidak terpilih bukan kita hilang segala-galanya, kita masih ada masa depan bersama.

Bersamalah dengan UMNO, bantulah saya dalam hendak memperkukuhkan UMNO Tumpat khususnya hendak menghadapi PRU14.

Bagi saya, seharusnya tidak ada istilah tidak ada tempat dalam UMNO Tumpat. Tempat itu ada cuma hendak pilih pemimpinnya hanya satu, manakala rangkaian lain ada bilangan tertentu tetapi penyokong, pendokong dan pemimpin akar umbi tidak ada hadnya kita boleh berkhidmat pada bila-bila masa.

Saya terbuka untuk bersama sesiapa sahaja untuk bersama-sama membantu dan memberi sumbangan pada UMNO Tumpat khususnya saya amat memerlukan kebersamaan dengan semangat kekitaan UMNO Tumpat.-23/10/2014 OLEH LUKMAN ABDULLAH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 185  tetamu dalam talian