21September2019

Liow Tiong Lai bercakap mengenai isu boikot peniaga

SOAL JAWAB Bukan senang hendak menjadi Presiden kepada parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak pergelutan dan ding dong sebelum Datuk Seri Liow Tiong Lai memegang jawatan nombor satu dalam MCA.

Itu pun baru selepas PRU13, setelah MCA tewas teruk dan mengulangi prestasi buruk pada PRU12.

Berikutan itu wujud desakan supaya kepimpinan MCA diketuai oleh orang baru, lebih muda, berwibawa dan membawa tranformasi pada parti.

Dari situ bermulanya gandingan Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong memimpin parti masyarakat Cina paling tua di Malaysia itu.

Karakter Liow Tiong Lai yang tenang, tidak mudah melenting atau bermulut celupar. Stail dia memang amat berbeza dengan bekas presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek – bak langit dengan bumi.

Tiba-tiba... heboh minggu ini berkaitan kenyataan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan boikot peniaga Cina.

Biarpun Ismail Sabri sudah menyatakan kenyataan beliau sebenarnya bermaksud semua peniaga yang tamak, masih ada yang tidak puas hati.

Sebuah portal pro-pembangkang melaporkan bekas Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek menggelar Liow “lembik” kerana tidak menegur Ismail.

Pagi Jumaat, selepas merasmikan Pasarnita sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Datuk Seri Shahrizat Jalil di Pasar Seni di Pasar Seni pada pagi Jumaat, Liow diserbu oleh wartawan yang bertubi-tubi bertanya mengenai isu itu.

Dalam kesempatan ringkas, Wartawan Kanan Agendadaily, Noor Hasilah Ismail bertanyakan beberapa soalan kepada Liow.

Seperti biasa, Liow begitu keluarkan ayat-ayat “selamat” ketika menjawab soalan.
 
“Saya sudah katakan bahawa tidak seharusnya wujud isu perkauman dalam sebarang kempen. Ia adalah kenyataan yang jelas,” jawabnya.

Menurutnya, MCA dan Barisan Nasional (BN) sentiasa akur kepada perjuangan pemipin-pemimpin terdahulu kita supaya bekerjasama sebagai masyarakat berbilang kaum untuk mencapai matlamat kita sebelum Wawasan 2020.

Berikut sedutan soal jawab dengan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Soalan: Tadi dalam ucapannya Datuk Seri Shahrizat kata dia akan gembelingkan semua kekutan Wanita BN untuk menggunakan kuasa pengguna wanita supaya pemborong turunkan harga barang. Tetapi MCA ada tak buat pertemuan atau perbincangan dengan pemborong atau pembekal yang majoritinya kaum Cina supaya mereka turunkan harga?

Tiong Lai: Kita memang tidak boleh membiarkan pemborong atau pembekal menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya. Tetapi kita tahu juga bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ada jawatankuasa pemantau dan mana-mana pihak yang tidak berpuashati boleh mengadu kepada mereka.

Memang MCA sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk memastikan inflasi dalam negara kita terkawal dengan baik. Kita tahu inflasi dalam negara amat penting dan kita boleh memastikan bahawa kita boleh sentiasa bersedia bekerjasama.

Tetapi kita tidak mahu apabila ia dijadikan isu perkauman di mana apabila dikaitkan dengan kaum, maka ia akan menjadi isu perkauman. Dan ini tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu saya rasa kita perlu lihat isu itu dengan lebih jelas, tepat dan fokus dan tidak menjadikan satu isu perkauman. Polarisasi kaum akan berlaku dan ini akan mengakibatkan satu kemudaratan kepada negara kita.

Kita yakin bahawa dalam negara kita kerjasama dalam BN adalah untuk menjaga kepentingan semua kaum. Sebab itu dalam isu berhubung kenaikan harga, kita menentang kenaikan harga sewenang-wenangnya tetapi kita tidak mahu isu ini dijadikan isu perkauman.

Pendirian kita adalah jelas dan ia perlu difahami. Seperti yang saya nyatakan kita boleh bekerjasama dengan pihak peniaga. Pihak peniaga juga boleh tampil ke hadapan untuk membantu. Saya yakin mereka juga boleh menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama menangani kenaikan harga dalam negara kita.

Soalan: Ada tak MCA buat pertemuan dengan pemborong/peniaga?


Tiong Lai: Memang ada. Saya difahamkan Wanita MCA ada kempen SMART di seluruh negara di mana kami mengumpul maklumat berhubung kenaikan harga. Tapi let us focus on the issue. Jangan jadikan ia isu perkauman. Ini tidak boleh berlaku.

Soalan: Komen mengenai kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri?

Tiong Lai: I have stated many times that there should not be any racial profiling in any campaign. It is a very clear statement and we will continue to uphold our stand.

Soalan: Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung MCA telah mendesak Datuk Seri Ismail Sabri letak jawatan. Jadi apa pula pendirian Datuk Seri sebagai presiden MCA?


Tiong Lai: Bagi kami Ketua Pemuda MCA hanya membangkitkan isu perkauman yang telah ditimbulkan oleh Ismail. As far as the party is concerned, kami tak mahu isu perkauman ditimbulkan.

Soalan: Komen Datuk Seri mengenai kenyataan Perdana Menteri?

Tiong Lai: Di kabinet kita sudah berbincang dan kita hormat keputusan Perdana Menteri. Tetapi apabila ada lagi beberapa pihak umum menyuarakan pandangan mereka, maka saya rasa, bagi isu harga barang ini, kita perlu tangani melalui cara yang terbaik.

Oleh itu Ismail Sabri juga perlu memahami bahawa isu harga barang ini  satu isu yang dekat di hati masyarakat. Maka untuk isu ini kita mesti memastikan Ismail Sabri patut menganalisa isu ini dan dia seharusnya tahu apa yang dia perlu buat mengenainya.

Soalan: Baru-baru ini beberapa keluarga mangsa MH17 menggunakan khidmat peguam kerana tak puas hati dengan pampasan. Komen Datuk Seri?

Tiong Lai: Berhubung pampasan MH17 kita sedia maklum pampasan kena melalui satu proses dan sebagai kerajaan kita akan memantau. Sekiranya ada apa-apa perkara yang tak dipersetujui, ia boleh dibangkitkan. Saya yakin MAS boleh dirundingi dan mencapai kata sepakat yang boleh dipersetujui semua pihak.-6/2/2015

BACAAN BERKAITAN

Ismail Sabri 'gam mulut' isu boikot...

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 208  tetamu dalam talian