21September2020

Agenda Daily

Bermula dari setinggan jadi jutawan, dermawan dan kini Ahli Parlimen

joaDia dilahirkan di kawasan setinggan dan bersama lima beradik yang lain terpaksa mandi di lombong selama enam tahun sebelum rumahnya ada paip air. Bapanya yang belajar setakat darjah enam bekerja sebagai buruh Telekom. Ibunya juga disebabkan kemiskinan hanya mampu belajar sehingga darjah tiga.

Kemiskinan dan kepayahan yang dilaluinya itu menimbulkan keazaman dalam dirinya untuk mengubah nasib dan dia sedar satu-satunya senjata yang boleh digunakan ialah ilmu.

“Ilmu yang mengubah nasib saya. Untuk mendapat ilmu kita kena ada pendidikan. Itulah modal kita, terutama orang miskin. Apabila kita mendapat ilmu melalui pendidikan yang sempurna, kita tambah lagi ilmu menerusi pengalaman bekerja.

“Ilmu yang membawa kejayaan dan kekayaan kepada saya untuk mengubah nasib keluarga,” kata Datuk Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa dalam satu pertemuan di parlimen baru-baru ini.

Agendadaily bertanya mengapa seorang jutawan sepertinya mahu menceburi bidang politik terutama sebagai Ahli Parlimen yang gajinya tidak seberapa?

job

“Sebagai Ahli Parlimen kita tahu siapa yang susah dan siapa yang betul-betul perlukan pertolongan Kalau jadi businessman, kita tak bercampur dengan masyarakat, kita tak kenal orang. Silap-silap niat hati nak tolong orang, kena tipu pula,” katanya.

“Saya pernah hidup susah. Saya tak mahu melalui nasib seperti arwah bapa. Emak pula bersusah payah membesarkan enam orang anak. Bila semua susah dikecapi, ia beri satu semangat. Itu juga menjadi pegangan saya dalam berniaga – pastikan kita tambah untung bukan tambah rugi,” katanya.

“Walaupun saya sudah berjaya dalam kehidupan, saya masih seperti dahulu, suka menolong orang. Sebab itu saya masuk politik. Lagi satu saya nampak ia sebagai satu platform di mana kita boleh menjual ideologi.

“Saya mahu membantu kerajaan yang telah membantu saya. Jika tidak kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana UMNO menjadi tonggaknya, saya tak fikir saya dapat melanjutkan pelajaran ke London dan dapat biasiswa MARA.

Sebelum menonjol sebagai ahli politik, Johari, anak jati Kampung Pandan, lebih dikenali dalam bidang perniagaan. Setelah tamat pengajian di UiTM, dia melanjutkan pelajaran di London dalam bidang perakaunan.

Sekembalinya ke Malaysia, Johari menerima latihan awal sebagai juruaudit di Peat Marwick & Co (sekarang dikenali sebagai KPMG). Dia kemudian menguruskan beberapa syarikat yang tersenarai di Bursa Saham.

joc

Dalam bidang perniagaan dan korporat Johari paling dikenali sebagai “turn-around specialist” di mana dia membantu syarikat yang “nyawa-nyawa ikan”  kembali beroperasi. Kejayaan paling banyak diperkatakan di kalangan orang bisnes dan korporat ialah apabila Johari berjaya menyelamatkan KFC dan Pizza Hut daripada tutup kedai.

“Memang saya pakar turn-around. Saya masuk syarikat itu, perbetulkan dan bantu ia buat duit semula. Saya bantu syarikat macam KFC dan Pizza Hut yang dulu rugi. Saya masuk, turn-around dan buat duit. Selepas itu saya dapat saham. Kemudian saya jual saham, buat duit dan beli Pepsi. Macam-macam benda saya sudah buat,” katanya.

Selain terkenal kerana kemahiran bisnes, Johari juga disayangi ramai kerana sifat dermawannya. Antara amalan tahunannya ialah menaja orang miskin mengerjakan umrah menerusi ibunya, Hajah Zaleha.

“Setiap tahun saya beri emak memilih 25 orang untuk mengerjakan umrah. Dia bebas membuat pilihan. Orang UMNO terpilih, orang PAS pun dia pilih. Orang yang bukan ahli sebarang parti pun ada. Ini kerana emak saya pilih siapa sahaja yang dia kenal di Kampung Pandan. Kami melakukan ini sejak 1993,” tambahnya

Apabila ditanya apakah yang mendorongnya melakukan amalan itu (menaja orang mengerjakan umrah), Johari diam sejenak seolah-olah mengenangkan sesuatu.

jod

“Semasa saya mahu ke London untuk melanjutkan pelajaran, arwah bapa minta saya tangguhkan dulu. Dia minta saya kerja dulu dan selepas itu hantar dia dan emak mengerjakan umrah. Tetapi saya berdegil nak pergi London. Namun apabila saya pergi sana, dia meninggal dunia.

“Selepas itu saya bertekad untuk membantu seramai yang boleh orang yang tak mampu pergi ke Mekah tengok Kaabah. Pada peringkat awal dulu saya taja orang pergi haji, tapi sekarang haji sudah pakai kuota. Jadi saya taja orang pergi umrah pula.

“Bayangkan orang bersusah payah nak kumpul duit bertahun-tahun nak pergi haji tapi tak dapat sebab sistem kuota. Ada yang sampai mati menunggu tak dapat pergi haji. Jadi kalau saya dapat taja mereka pergi umrah, sekurang-kurangnya golongan itu berpeluang tengok dan sembahyang depan Kaabah,” katanya.

Menurut Johari ada kalanya orang datang berjabat tangan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menaja mereka menunaikan umrah.

“Saya terkejut apabila ramai yang saya tak kenal langsung datang jumpa dan ucap terima kasih. Ini kerana emak saya yang memilih dan menguruskan segalanya. Saya beri duit saja,” katanya.

Beruntunglah pengundi di parlimen Titiwangsa mendapat Ahli Parlimen seperti Johari, seorang jutawan yang dermawan dan suka menolong orang!  - 12/11/13.- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 408  tetamu dalam talian