21September2019

Ali Rustam: Saya tidak ada apa-apa rancangan politik...

Lebih setahun telah berlalu sejak Tan Sri Mohd Ali Rustam gagal dalam cubaannya merebut salah satu dari tiga jawatan Naib Presiden UMNO.Ini setelah bekas Ketua Menteri Melaka ini hanya mendapat tujuh pencalonan bahagian sahaja. Paling mengejutkan apabila hanya satu daripada enam bahagian di negeri yang pernah dipimpinnya,Melaka yang calonnya.

Sejak itu, beliau kelihatan seperti “low-profile” dalam politik arus perdana.

Disebalik itu mungkin ramai yang tidak tahu, beliau masih meneruskan amalannya tidak pernah menolak undangan rakyat negeri Melaka untuk menghadiri majlis-majlis mereka walau sekecil manapun. Ini dibuktikan menerusi post dalam facebooknya yang sentiasa dikemaskini.

Ali Rustam sejak dulu dikenali sebagai orang yang jarang menghampakan jemputan.

Adakalanya beliau muncul lewat malam di rumah kenduri semata-mata 'untuk hadir ' kerana tidak dapat datang di sebelah siang kerana terlalu sibuk atau sebab-sebab tertentu.

Baru-baru ini Agendadaily terserempak dengan Ali semasa beliau pada waktu rehat Perhimpuinan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Apabila ditanya samada beliau masih mengingati saya, Ali dengan selamba menjawab, “Sudah tentulah saya ingat awak. Tapi buat apa awak nak interbiu saya lagi? Saya bukan ada jawatanpun,” katanya.

Namun sebagai wartawan jawapan seumpama itu seumpama itu sudah menjadi jawapan standard bagi kalangan orang politik yang terpaksa lalui 'zaman gelap'.

Menariknya tentang Ali beliau ibarat orang sudah jatuh ditimpa tangga.

Setelah tewas mengejut dalam pilihanraya umum ke 13 di kubu kuatnya di Bukit Katil beliau tewas pula pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO.

Beliau yang merancang untuk kembali ke pusat setelah lama berada di Melaka,tewas di kerusi Parlimen Bukit Katil kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar.

Jawatan politik UMNO yang masih disandang oleh Ali kini hanyalah Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil.Jawatan itu dikekalkannya tanpa bertanding.

Namun berbeza dengan sesetengah orang politik yang 'bakar jambatan' atau merajuk setelah tewas,bekas Ketua Menteri Melaka ini terus relaks dan steady saja.

Perbualan kami santai sahaja dan diselang-seli dengan gelak ketawa. Ali kelihatan begitu ceria. Sesekali beberapa orang perwakilan datang menegurnya dan disambutnya dengan mesra. Itulah Ali Rustam yang saya kenali. Dari dulu ketika dia menjadi Ketua Menteri sehingga sekarang terus mesra.

Ternyata kekecewaan masa lampau sudah dibuang jauh-jauh dari ingatan Ali Rustam.

Beliau kini adalah seorang Senator di Dewan Negara.

Ali juga dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkuatkuasa 1 Ogos 2013.

Selain itu beliau juga adalah Pengerusi Yayasan DMDI Finance House dan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Ali tersenyum lebar apabila ditanya tidakkah beliau rindu menjadi wakil rakyat?

“Sebagai pengerusi PUNB, saya masih menyumbang untuk rakyat di mana tugas utama saya ialah untuk membantu usahawan Bumiputera. Mereka juga rakyat. Kalau boleh saya nak tambah lagi bilangan usahawan Bumiputera yang berkualiti untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Mana lebih seronok, buat kerja politik atau kerja korporat?

“Walau saya rindu politik, tetapi saya seronok dengan tugas sekarang kerana masih berurusan dengan rakyat. Saya memang suka membantu rakyat. Jadi menjadi pengerusi PUNB ini ibarat kesinambungan daripada apa yang telah lama saya buat dalam dunia politik,” jawabnya.

Ali tidak mengelak apabila diminta mengulas mengenai senario politik masakini dari sudut pandangnya.

“Saya melihat senario politik pada hari ini, pembangkang semakin galak memutarbelitkan fakta di atas segala usaha yang dibuat oleh kerajaan, dan ini menjadikan rakyat keliru. Oleh itu kita kenalah berhujah secara spesifik dengan berbekalkan data.

“Kita tak perlu emosi, sebaliknya dengan fakta berisi. Keduanya UMNO perlu beri lebih ruang kepada generasi muda. Kita kena buka pintu dari peringkat cawangan. Jangan bagi masalah kepada orang yang mahu sertai UMNO. Buka pintu luas-luas. Jangan tutup pintu. Jangan simpan borang permohonan di pejabat. Bahagian pula jangan pula ada yang lulus dan ada yang tolak. Kita perlukan tenaga dan idea anak muda.

“Kita juga kena ingat pesan Perdana Menteri supaya menggunakan teknologi moden dan media baru. Kalau ketinggalan susah nanti,” katanya.

Berkerut dahi Ali apabila ditanya samada media sosial menjadi salah satu sebab kekalahannya semasa PRU-13 dan pemilihan UMNO tahun lalu.

“Saya tidak fikir kekalahan saya dalam kedua-duanya disebabkan media sosial. Malah media sosial yang banyak membantu saya,"katanya.

Ali merasakan kekalahannya di Parlimen Bukit Katil kerana faktor undi Cina.

"Saya fikir kekalahan saya dalam PRU yang lalu disebabkan oleh rakan-rakan saya di kalangan orang Cina. Mereka ahli-ahli parti BN yang hari-hari bersama kita. Mereka berniaga dengan kawan-kawan kita. Mereka pun dalam jawatankuasa kita. Saya pun tak percaya kawan-kawan Cina yang dulu saya bantu kini tak sokong saya. Saya cuma dapat 1,800 undi dari orang Cina.

“Selain itu saya juga sedar di Bukit Katil BN tak boleh hanya bergantung kepada pengundi Melayu. Kita kena bergantung kepada rakan-rakan komponen lain. Mereka bagi 12 % pun dah okay.”

Selain pernah menjadi Ketua Menteri Melaka selama tiga penggal iaitu dari tahun 1999-2013, Ali pernah menjawat tugas sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 1995-1998 dan Timbalan Menteri Kesihatan dari 1998-1999.

Dalam politik pula Ali pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak 1997. Beliau juga pernah jadi Naib Presiden UMNO yang dimenanginya pada pemilihan tahun 2004.

Ali memiliki Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya (2013) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam bidang pengkhususan Ekonomi Pembangunan dari Universiti Sains Malaysia (1984).

Ali juga telah mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat dari beberapa buah universiti seperti Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia, Universiti Multimedia (MMU), Universiti Sultan Kudrat dan Universitas Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia.

Ali ketawa apabila ditanya mengenai khabar angin yang bertiup kencang mengatakan ada usaha untuk memujuknya membuat 'comeback' dalam politik arus perdana.

“Eh. Saya tak ada plan nak buat apa-apa buat masa ini. Saya nak fokus kepada PUNB. Banyak kerja nak dibuat ini. Ramai usahawan Bumiputera yang perlu saya bantu,” katanya mengakhiri perbualan. – 7/12/14- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 230  tetamu dalam talian