18Mac2019

Ada cerita di sebalik nama Ahli Parlimen Kota Tinggi ini...

ehsan1xxBagi mereka yang rajin mengikuti perbahasan di Parlimen, gelagat celah mencelah di kalangan ahli parlimen atau menteri semasa soal jawab dan perbahasan adalah satu perkara biasa.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen BN kawasan Kota Tinggi, Johor Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid mencuri perhatian media apabila beliau dengan selamba menegur Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini setelah beliau mendapati Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh itu cuba kelentong mengenai isu beras dan gula semasa satu perbahasan dalam sidang Dewan Rakyat.

Dalam perbahasan itu Anwar turut menuduh tokoh korprat,Tan Sri Syed Mokhtar main peranan dalam menentukan harga gula. Anwar sudah silap haribulan kerana Ehsanuddin adalah salah seorang ahli lembaga Pengarah Malayan Sugar Manufacturing Berhad (MSM) dan Felda Global Venture (FGV).

Jadi beliau lebih tahu fakta sebenar pasal harga gula.

Ehsannuddin yang lebih mesra dipanggil Ehsan, mempersoalkan mengapa Anwar mengaitkan Syed Mokhtar padahal ahli perniagaan itu tidak ada kena mengena memainkan peranan menentukan harga gula. Jawapan Ehsan buat Anwar terkedu dan tukar ke topik lain.

Secara tidak langsung Ehsan memberi pengajaran kepada Anwar, lain kali cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar!

ehsan3x

Ehsan berkata tujuan beliau mencelah adalah untuk memperbetulkan fakta. Soal takut atau gerun tak langsung timbul. Baginya siapa salah, perlu ditegur atau diperbetulkan.

Ehsan walau baru sepenggal memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, sebenarnya telah lama berkecimpung dalam politik, seawal usia 20an. Tetapi pembabitan politiknya hanya bermula ketika menuntut di Amerika Syarikat.

Dilahirkan di Kluang, Johor, Ehsan mendapat pendidikan awal di Sek. Rendah Inggeris Jalan Mersing – Kluang sebelum terpilih ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Seremban.

Sebaik tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Mekanikal.

Dalam Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu Ehsan mengalahkan calon PAS, Onn Jaafar dengan majoriti 24,574 undi di kawasan Parlimen Kota Tinggi.

Pembabitan Ehsan dalam politik bermula pada 1982 apabila beliau menyertai kelab UMNO Carbondale yang diterajui oleh Allahyarham Yassin Kamari.

Ketika Ehsan belajar di sana terdapat 20 ribu pelajar Malaysia di Amerika Utara.

Menurutnya ramai yang mendapat maklumat salah mengenai kerajaan. Maka sudah menjadi tugas ahli Kelab UMNO Luar Negara memberikan penjelasan dan menerapkan semangat cintakan bangsa dan negara di kalangan pelajar di sana,” katanya.

Sekembali dari Amerika Syarikat pada 1986 ,Ehsan bekerja sebagai jurutera sivil di syarikat swasta beberapa tahun sebelum berhenti dan berniaga sendiri. Pada masa yang sama beliau menyertai UMNO secara rasmi sebagai ahli.

ehsan2xx

“Apabila saya pergi Amerika, saya diberi biasiswa oleh MARA. Kalau ikut kemampuan, memang saya tak layak. Kalau saya pandai pun mungkin masih tak mampu, Tetapi atas kesedaran bahawa Kerajaan beri kita peluang sehingga berjaya, kita tahu ini adalah Kerajaan yang baik. Saya tidak nampak alternatif lain,” katanya.

Ehsan memulakan karier politik dari bawah. Daripada Pemuda peringkat cawangan  dia menapak ke peringkat bahagian. Walaupun sibuk berniaga Ehsan tetap ada masa untuk bergiat cergas dalam aktviti parti terutama kerja-kerja kemasyarakatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kesukarelawan.

Komitmen dan dedikasi Ehsan mendapat perhatian kepimpinan tertinggi sehingga beliau dipelawa menjadi Pengarah Seranta FELDA di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).  

“Pembabitan saya dalam perniagaan dan NGO serta politik banyak membantu saya melihat semua perkara dari pelbagai sudut berbeza.  Jadi ia memudahkan saya melaksanakan tugas saya sebagai Pengarah Seranta FELDA.  

Menurut Ehsan pengalamannya di JPM juga memberinya peluang mendekati masyarakat FELDA. Malah di parlimen Kota Tinggi, 57 peratus pengundi adalah masyarakat FELDA. Penduduk Melayu pula jumlahnya 88 peratus, Cina 10 dan India, dua.

Ketika Ehsan diumumkan sebagai calon parlimen Kota Tinggi dalam PRU yang lalu, ada juga pihak yang buat bising kenapa beliau sebagai “orang luar” menjadi pilihan Perdana Menteri. Diminta mengulas, Ehsan nampak tenang saja.

“Saya tak salahkan orang Kota Tinggi sebab kalau saya jadi mereka pun saya tak puashati kenapa ambil orang luar. Tetapi saya yakin pihak tertinggi lebih memahami dan sudah buat kajian terperinci sebelum membuat keputusan.  

“Saya memahami perasaan pengundi di Kota Tinggi. Oleh sebab itu saya kena beri keyakinan kepada mereka dengan menunjukkan saya boleh buat kerja dengan baik. Apabila kita buat kerja dengan bagus, tanggapan itu akan hilang. Contohnya Ahli Parlimen sebelum ini, Tan Sri Syed Hamid Albar. Dia pun bukan orang tempatan. Tetapi apabila beliau telah buat kerja dengan baik, akhirnya tanggapan orang berubah dan dia diterima dan disayangi,” katanya.

ehsan-ktxx

Ehsan mengakui kemenangannya dengan majoriti yang besar banyak bergantung kepada lebih 50 peratus pengundi FELDA di Kota Tinggi.  

“Mungkin sebab ketika jadi Pengarah Seranta saya selalu turun FELDA di seluruh negara, jadi mereka kenal saya. Saya bukan “calon terjun” tak berasas,” katanya lagi.

Ehsan mengakui FELDA amat dekat dihatinya dan beliau akan memastikan tranformasi FELDA berterusan.

“Waktu dulu peneroka tak ada tanah. Selepas itu mereka dapat miliki tanah, kemudian rumah dan terkini ada saham. Ramai yang sudah jadi usahawan dan saya yakin menjelang Malaysia menjadi negara maju, ramai rolongan berpendapatan tinggi melebihi AS$15 ribu akan datang dari kalangan orang FELDA.

Sebagai ahli politik, apakah pendekatan yang digunakan oleh Ehsan?

“Sebagai ahli politik sudah tentu kita nak utamakan kepentingan rakyat.  Kalau pemimpin baik negara akan makmur. Untuk menjadi pemimpin yang bagus, kita kena ketepikan kepentingan diri. Ahli politik datang dan pergi. Tetapi orang politik yang bagus akan terus kekal,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu Ehsan telah dilantik sebagai pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN). Pelantikan Ehsan adalah satu langkah tepat  berdasarkan penglibatan aktifnya dalam pembangunan dan pemerkasaan belia melalui pelbagai platform khususnya ketika bertugas sebagai Pengarah Seranta FELDA.

“Ini tugas yang amat besar. Kita ada 500,000 pelajar yang memohon menyertai Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan semakin hari jumlah itu semakin meningkat. Apakah jaminan lepasan PLKN ini akan dapat hidup aman damai, berinteraksi dengan baik dan mempunyai sifat cintakan negara?

“Daripada 500 ribu kita hanya ambil lebih kurang 80 ribu menyertai kem latihan. Daripada jumlah 80 ribu yang tak nak pergi dalam 20 ribu. Tak kan kita nak dakwa kesemua 20 ribu pelajar yang tak nak pergi itu?  Katakan kalau nak dakwa 20 ribu itu jadi dalam masa 10 tahun ada 200 ribu. Nanti kos pendakwaan lebih mahal dari kos kita nak jalankan program sebenar.

“Dalam masa 90 hari kita buat  40 modul. Keberhasilannya kita tak tahu.  Apa berlaku selepas PLKN? Oleh yang demikian kita kena ada sistem kesinambungan supaya kita dapat berhubung dengan lepasan PLKN itu sehingga dia berusia 19 atau 20 tahun.

Sehubungan itu, Ehsan berkata, pihaknya sedang merangka “transformasi” LPKN yang mana akan menerapkan faktor pull (menarik).

ehsan-plknxx

“Selama misi kita mengamalkan faktor menolak (push). Sudah tiba masanya kita kena masukkan faktor menarik (pull). Maknanya kita kena ubah paradigm dan fikirkan cara untuk menarik pelajar supaya mereka akan merasa rugi kalau tak sertai.

“Yang paling penting, melalui program ini anak-anak kita mempunyai asas pertimbangan yang baik serta tahu menghargai nilai perpaduan. Kalau akhlaknya tinggi, dia akan berfikir panjang dan tidak akan buat sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu. Insyallah kita akan lihat transformasi PLKN tak lama lagi.”

Mengakhir perbualan, Ehsan berkata, segala perbuatan yang dibuatnya berpandu kepada akronim namanya yang mempunyai makna mendalam.

“Nama saya Ehsan, Akronim EHSAN dalam maknanya. E bermakna esok, iaitu masa depan. Untuk masa depan kita kena rancang Hari ini, yang disimbulkan dengan huruf H.. Apa yang kita lakukan hari ini mesti berdasarkan Semalam.

“Semalam ialah pengalaman dan pencapaian kita.  Dan apa yang kita buat adalah demi ABATA (agama, bangsa, negara). Maka segala yang kita buat tak kira esok, semalam dan hari ini mesti berlandasarkan dengan Niat yang baik. Maka EHSAN adalah apa yang kita lakukan dalam tempoh yang panjang.

“Dalam Islam, iman dan ehsan adalah konsep yang besar. Kalau kita faham konsep ini kita tak bimbang. Jika kita sudah mulakan dengan niat yang baik, InsyaAllah dan kalau ada masalah, jangan anggap ia sebagai masalah, tetapi dugaan. Inilah pegangan saya.” - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL - 1/7/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 513  tetamu dalam talian