21November2019

Agenda Daily

Tapi bukan Zahid Hamidi...

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menerima mana-mana anggota yang ingin menyertai parti itu jika mereka didapati berintegriti, tiada isu salah guna kuasa serta tidak terlibat dengan skandal rasuah.

Pengerusi  Bersatu Pulau Pinang, Datuk Marzuki Yahya berkata, parti tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima mana-mana anggota yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik sebelum ini, asalkan tidak terpalit dengan skandal yang boleh menjejaskan parti.

“Bersatu sememangnya mempunyai jawatankuasa yang berperanan untuk menilai dan meneliti keanggotaan setiap ahlinya sebelum membuat keputusan (terima sebagai anggota parti).

“Perjuangan kita adalah untuk memperkasakan bangsa Melayu selain menjadikan parti ini sebagai parti bermaruah,” katanya.

Bernama melaporkan Marzuki, yang juga Timbalan Menteri Luar, turut mengulas mengenai kemasukan beberapa anggota baharu termasuk bekas kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) iaitu Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam yang disifatkannya sebagai satu penghijrahan yang positif.

“Kita sambut baik perkara itu, dan saya yakin tindakan itu dibuat atas dasar mendokong perjuangan parti,” katanya.

Beliau turut menambah, Bersatu sama sekali tidak akan menerima kemasukan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika didapati berbuat demikian (untuk menjadi anggota Bersatu) kerana terpalit dengan pelbagai isu yang mencemarkan maruah parti dan kepimpinan tertinggi kerajaan sebelum ini.

“Kita takkan terima dia (Zahid), malah Umno kini sudah dianggap tidak releven lagi bertambah buruk selepas hilang kuasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 40 anggota Parlimen dari Umno dikatakan berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin dilapor berkata kesemua mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin serta para kepimpinan tertinggi parti itu sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.-29/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 992  tetamu dalam talian