25September2020

Agenda Daily

Artikel

Rindu zaman Najib...? nelayan harap elaun RM300 musim tengkujuh kekal

Golongan nelayan di Pantai Timur Malaysia sudah mula berjimat cermat dalam  perbelanjaan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang lazimnya melanda kawasan ini pada setiap hujung tahun.

Mereka berkata penting untuk mempunyai simpanan yang mencukupi memandangkan kekerapan turun ke laut pada waktu itu tidak seperti sebelumnya, sedangkan pendapatan mereka adalah secara harian.

Untuk rekod, di zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, nelayan dan penoreh getah diberikan elaun khas ketika musim hujan yang mana mereka tidak berupaya keluar mencari rezeki.

Pengerusi Komuniti Nelayan Beserah Wan Abdul Hamid Wan Abdul Rahman, 55, berkata setakat ini, mereka akan memanfaatkan ‘setiap hari yang elok dengan berada lebih lama di laut’ untuk mendapatkan hasil lebih banyak.

“Cuma sukar untuk kita nak jangka keadaan cuaca sekarang. Dahulu bulan Oktober masih senang ke laut, tapi hari ini kami semua tak turun sebab hujan dari pagi... harapnya hujan berhenti sebelum petang,” katanya.

Wan Abdul Hamid menambah apabila tiba musim tengkujuh, kebanyakan nelayan akan cuba melakukan pekerjaan sampingan seperti mengambil upah memotong rumput, bertukang rumah manakala beliau sendiri membantu peniaga di pasar.

Katanya, pendapatan sampingan itu ditambah dengan elaun sara hidup nelayan yang berjumlah RM300 sebulan bersama simpanan sendiri perlu dibelanja dengan cermat memandangkan mereka tidak tahu dengan tepat bila musim tengkujuh akan berakhir.

“Risau di mana hendak cari wang jika sudah terlebih belanja, sedangkan musim tengkujuh masih berjalan. Ada yang terpaksa meminjam daripada tauke jika keadaan mendesak, tapi dapat atau tidak itu bergantung pada budi bicara dan kemampuan tauke,” katanya.

Pandangan sama diutara Tuan Sulong Tuan Jusoh, 68, dari Tanjung Lumpur di sini, yang sudah arif akan kesukaran di musim tengkujuh ekoran pengalamannya ‘bermain ombak dan bergelumang hanyir ikan’ seawal usia 12 tahun.

Sehubungan itu, beliau berharap pemberian elaun sara hidup nelayan, jika tidak ditambah jumlahnya sekalipun, akan dikekalkan sehingga bila-bila memandangkan ia sangat membantu walaupun RM300 itu mungkin kecil pada pandangan orang lain.

“Pendapatan kami bergantung hari. Jadi bila musim tengkujuh pun, kami akan cuba untuk turun ke laut jika cuaca mengizinkan dan selepas mendapatkan maklumat keadaan cuaca daripada Jabatan Perikanan.

“Cuma pada waktu itu, kami tidak lama di laut... akan cuba untuk pulang setiap hari. Jika musim biasa mungkin di laut selama 3,4 hari, tapi musim tengkujuh paling lama dua hari sahaja kerana tak mahu ambil risiko,” katanya.

Tuan Sulong berkata kebanyakan nelayan tidak mahu ‘duduk sahaja’ di musim tengkujuh kerana ikan lebih banyak dan harganya lebih tinggi pada musim tengkujuh berbanding hari biasa.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka lebih berhati-hati termasuk memastikan segala peralatan keselamatan berada dalam keadaan elok, khususnya jaket keselamatan walaupun boleh dikatakan mereka semua mahir berenang.

“Jangan ambil risiko. Ikut peraturan memang kena ada jaket (keselamatan) dalam kapal semasa di laut. Tapi ramai yang tidak pakai... cuma bila ke laut waktu ombak besar, kami lebih beringat,” katanya.-12/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 740  tetamu dalam talian