21September2020

Agenda Daily

Artikel

Muslimat dan Pemuda PAS Pusat hadir Perhimpunan Agung UMNO...

 
Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh buat pertama kali hadir pada Persidangan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO Sabtu.
 
Kehadiran beliau bersama beberapa ahli jawatankuasa Muslimat PAS ekoran kerjasama UMNO dan PAS sebagai blok pembangkang dalam tiga pilihanraya kecil baru baru ini.
 
Pada pertengahan bulan ini Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad hadir pada muktamar Dewan Muslimat di Terengganu.
 
Noraini mengalu-alukan kehadiran Nuridah dan rombongannya ke perhimpunan kali ini danmenyifatkan kerjasama antara dua blok parti Melayu itu adalah untuk kepentingan agama Islam dan kaum Melayu sendiri.
 
Sementara itu kehadiran wakil Dewan Pemuda PAS ke persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini adalah untuk membuktikan kerjasama di kalangan parti pembangkang perlu diperkukuhkan, ujar ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, 
 
“Hari ini kami daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia dapat sama-sama menyertai perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO yang kami dijemput awal.

 
“Jadi saya mengucapkan terima kasih di atas jemputan ini. Kehadiran ini adalah untuk membuktikan kerjasama pakatan pembangkang perlu diperkukuhkan di dalam mendepani cabaran-cabaran politik yang berlaku di dalam negara kita pada hari ini,” katanya ketika ditemui media di PWTC, Sabtu.
 
Selain itu, beliau turut mengulangi pendirian parti itu yang terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang demi kepentingan Islam, melayu dan negara.
 
“PAS adalah satu parti yang terbuka. Politik adalah satu perkara yang fleksibel. Buat masa ini bagi PAS kita bekerjasama, tolong-menolong dalam konteks parti pembangkang perlu diperkukuhkan di antara satu sama lain untuk kita mendepani kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa hari ini.
 
“Kita bersedia (bekerjasama) dengan semua pihak, bukan sahaja dengan UMNO bahkan dengan semua parti untuk kepentingan islam, melayu dan negara,” katanya.
 
Kerjasama di antara UMNO dan PAS bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis.
 
Ianya kemudian diteruskan dengan kedua-dua parti turut bekerjasama di dalam menggerakkan kempen calon PAS yang bertanding pada PRK Seri Setia.
 
Pada Muktamar PAS awal bulan lalu di Terengganu, pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah turut hadir selepas menerima jemputan daripada parti itu.
 
Dan malam ini ketika perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018, sebilangan pimpinan PAS turut dijangka akan hadir. – Oleh AIDIL SYUKRI- 29/9/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 567  tetamu dalam talian