16November2019

Agenda Daily

KL bakal dapat Datuk Bandar baru...?

Spekulasi sama ada Datuk Bandar Kuala Lumpur sedia ada bakal digantikan kini terus bertambah hangat.

Hal ini kerana Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dikatakan bakal bersara awal pada penghujung bulan depan.

Mhd Amin Nordin, 63, sepatutnya bersara pada 18 Julai 2017 namun perkhidmatannya disambung kerajaan terdahulu secara kontrak selama dua tahun sehingga Julai 2019.

Menurut sumber, beliau dinasihatkan untuk menamatkan kontraknya dan bersara awal pada bulan depan, setelah kerajaan Pakatan Harapan menyatakan berhasrat untuk meletakkan calon bagi menggantikan beliau.

Namun, Mhd Amin Nordin ketika dihubungi media baru-baru ini terus mengunci mulut mengenai perkara ini.

"Anda akan tahu kemudian, tunggu dan lihat sahaja," katanya secara ringkas.

Bernama melaporkan Mhd. Amin Nordin, Datuk Bandar ke-11 itu mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam pentadbiran kerajaan tempatan dan pengurusan perbandaran, terutamanya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai timbalan pengarah di Jabatan Landskap DBKL pada 1978 ketika berusia 22 tahun.

Beliau juga merupakan antara pegawai yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran seramai 10 orang Datuk Bandar Kuala Lumpur, termasuk di bawah Allahyarham Tan Sri Elyas Omar sebagai pegawai khasnya selama empat tahun.

Terdapat desas-desus bahawa sudah ada lima nama disenarai pendek untuk memikul tanggungjawab Datuk Bandar ke-12.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Mhd Amin adalah bekas Yang dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Nor Hisham bersara pada Mei tahun lepas selepas dua tahun memegang jawatan tersebut sejak 2014 dan disambung menerusi kontrak selama satu tahun atas kecemerlangan beliau di MPSJ.

Beliau mempunyai pengalaman selama 37 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri antaranya Pejabat Tanah Daerah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Anggota parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang juga bekas anggota lembaga pengarah DBKL tidak menafikan atau mengiyakan tentang pelantikan Datuk Bandar yang baharu ketika diminta mengesahkan perkara itu.

Katanya beberapa mesyuarat ataupun acara-acara khas DBKL jarang kelihatan lagi keterlibatan Datuk Bandar sejak kebelakangan ini kerana sering diganti oleh pengarah-pengarah eksekutifnya.

"Saya ada mendengar bahawa beliau dinasihatkan untuk bersara awal namun tidak pasti lagi kerana DBKL masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.

"Walau bagaimanapun, Datuk Bandar harus digantikan dengan calon yang boleh serasi dengan Kementerian Wilayah dari segi pembangunan ibu kota dan bukan hanya menjadi 'pak turut' kepada menteri sahaja," kata Tan.-30/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1154  tetamu dalam talian