25September2020

Agenda Daily

Artikel

Calon PAS Port Dickson mahu Chin Tong letak jawatan...

Kerajaan perlu mendengar desakan veteran tentera supaya menukar Timbalan Menteri Pertahanan dengan calon yang lebih layak terutama dalam kalangan bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, desakan daripada beberapa persatuan veteran tentera yang mahu kerajaan menukar Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong yang dianggap tidak layak memegang jawatan itu.

“Jangan salah faham, veteran bukan bantah kerana beliau timbalan menteri berketurunan Cina tetapi atas kelayakannya sedangkan kerajaan ada calon lebih layak seperti bekas pegawai kanan tentera yang berada dalam Pakatan Harapan (PH)

“Warga tentera dan veteran kecewa dengan tindakan kerajaan dan desakan semakin kuat meminta dibuat pertukaran jawatan itu sebelum hari mengundi pada 13 Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Mohd Isa Samad berkata beliau adalah Port Dickson dan Port Dickson adalah beliau.

Sebagai satu-satunya calon tempatan, beliau yakin memiliki kelebihan kerana dikenali ramai berikutan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dan Linggi di Port Dickson mewakili Barisan Nasional (BN).

“Saya jadi ADUN Linggi lima penggal dan ADUN Bagan Pinang (sepenggal) sebelum menjadi Ahli Parlimen Jempol. Berkhidmat lama di kawasan ini, hanya jadi Ahli Parlimen Port Dickson belum pernah.

“Dalam tinjauan mesra yang saya lakukan, ramai menegur kata sudah lama tidak nampak saya, jadi saya jelaskan sebelum ini saya menjadi Ahli Parlimen Jempol dan sekarang ingin kembali bekerja di Port Dickson,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Isa mengakui terpaksa memberi penjelasan kepada penyokongnya mengenai tindakannya yang tidak lagi mewakili BN atau UMNO, sebaliknya atas tiket Bebas kerana bekas partinya memboikot PRK berkenaan.

“Saya kena jelaskan kepada banyak pihak tiada lagi simbol dacing pada nama saya, sebaliknya kini menggunakan simbol kerusi,” katanya.

Mengenai kebimbangan utamanya, beliau mengakui kekhuatirannya ialah jika pengundi tidak keluar menunaikan tanggungjawab.

“Saya tidak bimbang perkara lain kerana saya ramai penyokong merangkumi ahli keluarga, saudara-mara, sahabat dan ahli UMNO, selain parti komponen BN yang lain.

“Cuma saya takut mereka fikir tak perlu keluar mengundi kerana PRK ini sebenarnya tidak mengubah apa-apa, siapa menang pun kerajaan tetap tak bertukar.

“Jadi antara tumpuan jentera adalah memastikan penyokong keluar mengundi,” katanya.

Mengulas dakwaan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa calon Bebas adalah ‘pengacau’ PRK Port Dickson, Mohd Isa membalas bahawa Ketua Umum PKR itu adalah ‘pengacau sebenar’.

“Kalau tanya orang Port Dickson, Anwar sebenarnya pengacau. Dia yang suruh Ahli Parlimen Port Dickson letak jawatan. Kalau tidak orang Port Dickson aman, orang dah bagi parti dia menang, dia buat begini pula,” katanya.-4/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 359  tetamu dalam talian