25September2020

Agenda Daily

Artikel

Azeez digari untuk tahanan reman SPRM...

Bekas Pengerusi Biro Kebajikan UMNO yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pagi Rabu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman berhubung siasatan rasuah.

Beliau diiringi beberapa pegawai, tiba dengan baju lokap berwarna oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tangan bergari pada jam 10.35 pagi dengan menaiki kenderaan Toyota Fortuner hitam.

Beliau disambut kira-kira 50 penyokong yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang berkumpul di luar mahkamah sejak 8 pagi tadi.

Azeez, 52, ditahan di ibu pejabat SPRM semalam, selepas dipanggil untuk membantu siasatan kes penerimaan rasuah di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Abangnya, Abdul Latif – pengurus besar sebuah syarikat yang ditahan semalam, dilihat tiba di mahkamah sejurus selepas Azeez.

Media melaporkan 2 beradik itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi sebuah projek.

Pada 23 Mei lalu, SPRM merampas wang tunai RM500,000 dari rumah Azeez di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam siasatan ke atas pelantikan kontraktor untuk projek TH.

Azeez dilaporkan berkata, sebahagian daripada RM500,000 itu untuk membiayai misi ke Gaza, Palestin yang dirancangnya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, manakala sebahagian lagi ialah peruntukan bagi perbelanjaan UMNO Bahagian Baling yang sepatutnya diberikan kepada rakyat sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Selain wang tunai, katanya, SPRM turut merampas jam tangan dan pelbagai mata wang asing.-26/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 377  tetamu dalam talian