08Disember2019

Agenda Daily

Serat keluarga mangsa culik ke pentas ceramah... DAP harus bertanggungjawab

DAP harus dipertanggungjawabkan jika keselamatan empat mangsa culik dari Sibu terancam berikutan perbuatan parti itu mengheret keluarga kesemua mangsa ke pentas ceramah dan perhimpunan kempen pilihan raya negeri ini.

Mengingatkan parti pimpinan Lim Kit Siang itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perbuatan DAP itu tidak boleh diterima sama sekali kerana akan merosakkan usaha rundingan sekali gus mengganggu proses pembebasan mangsa culik.

Menurut beliau, kerajaan menye­dari motif DAP itu mahu ‘memperlihatkan’ kepada rakyat terutama pengundi Sarawak kononnya pihak polis tidak mengusahakan sebarang tindakan untuk menyelamatkan mangsa.

Sedangkan, katanya, pihak berkuasa berusaha melakukan yang terbaik menerusi rundingan bukan sahaja dengan pihak berkuasa Fi­lipina malahan dengan penculik.

‘‘Emosi keluarga mangsa culik tidak seharusnya diganggu. Saya ingin beritahu rakyat Sarawak khususnya keluarga mangsa bahawa usaha sudah dan sedang dijalankan untuk membebaskan mangsa penculikan ini.

“Malah, pegawai kanan polis baru pulang dari Manila semalam untuk mengusahakan sesuatu. Berikan keyakinan kepada pihak berkuasa walaupun ia ambil masa sedikit kerana perbuatan ini dilakukan untuk mendapat wang tebusan.

“Ini semua diketahui oleh DAP tetapi sengaja memanipulasikan (insiden ini) supaya rakyat terkeliru. Jika penculik tertekan kerana tindakan DAP mengheret keluarga mangsa (dalam ceramah politik) dan mangsa tidak dibebaskan, maka DAP harus bertanggungjawab,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, keluarga mangsa harus meletakkan tanggungjawab kepada DAP atas tindakan mengheret mereka memanipulasikan insiden penculikan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan parti politik memainkan isu penculikan dan mengheret keluarga mangsa ke dalam kempen mereka akan menyukarkan lagi usa­ha pihaknya untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

“Kami faham situasi keluarga mangsa yang sentiasa inginkan bantuan bagi membawa pulang ke­semua mangsa yang diculik.

“PDRM berharap perkara ini tidak dipolitikkan dalam usaha meraih sokongan orang ramai,” katanya di Petaling Jaya.-27/4/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 282  tetamu dalam talian