12November2019

Agenda Daily

Rakyat Turki percaya rampasan kuasa didalangi Amerika

Sungguhpun Amerika mengeluarkan kenyataan tegas menyokong kerajaan Turki yang dipilih rakyat, namun rata-rata penduduk Turki percaya negara kuasa besar itu adalah dalang sebenar rampasan kuasa tentera baru-baru ini.

Mereka percaya ketegasan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang tidak tunduk sepenuhnya kepada kehendak-kehendak Amerika berkaitan isu Syria menjadi puncanya.

Kini hubungan Amerika dan Turki bertambah buruk selepas kerajaan mula bertindak terhadap mereka yang terlibat dengan rampasan kuasa.

Walaupun kedua-dua negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan rakan dalam memerangi IS, Amerika Syarikat dan Turki menyaksikan hubungan mereka dingin sejak beberapa bulan ini.

Kedua-dua negara bertelagah mengenai cara memerangi ekstremis Islam dan berhubung tindakan kerajaan Erdogan yang dilihat Amerika sebagai bersifat kuku besi.

Setiausaha Negara Amerika, John Kerry, menyatakan desakan tegas pada Isnin. Dengan ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Federica Mogherini, duduk di sebelahnya di Brussels, Kerry menggesa kerajaan Erdogan supaya menghormati institusi demokrasi negara itu dan peraturan undang-undang.

Ia adalah satu daripada banyak amaran yang dikeluarkan Washington kepada Erdogan mengenai keperluan mengekalkan kebebasan sivil.

Selepas kempen selama sebulan di Turki terhadap wartawan dan penentang Erdogan, Presiden Barack Obama pada April memberi amaran kepada pemimpin Turki bahawa beliau membawa negaranya mengharungi laluan 'bermasalah.'

Pada Isnin, selepas ribuan ditangkap di Turki, Kerry berkata, NATO akan meneliti dengan berhati-hati apa yang berlaku dengan rasa hormat kepada demokrasi.

Sementara itu, Pasukan keselamatan Turki semalam menjalankan serbuan terbaharu terhadap suspek komplot rampasan kuasa yang gagal.

Pihak berkuasa berkata, sekitar 7,500 orang ditahan setakat semalam dalam siasatan mengenai rampasan kuasa pada Jumaat lalu yang menurut Erdogan, dilakukan oleh musuh ketatnya, pendakwah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen.

Agensi berita Anadolu melaporkan, unit khas anti-pengganas di Istanbul menyerbu akademi tentera udara di kota itu awal pagi semalam dalam usaha mencari suspek baharu.

Menurut Anadolu, seramai 1,800 anggota pasukan elit polis telah dikerahkan dari wilayah sekitarnya untuk memastikan keselamatan di Istanbul.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menahan Jeneral Mehmet Disli yang menjalankan operasi untuk menangkap ketua tentera, Hulusi Akar Turki ketika rampasan kuasa berlaku, kata seorang pegawai.

Laporan media tempatan menyatakan, seramai 103 jeneral dan laksamana telah ditahan setakat ini. Agensi berita Dogan melaporkan semalam bahawa 10 daripada mereka kini ditahan reman oleh mahkamah.

Selain itu, pihak berkuasa turut menyingkirkan seramai 9,000 anggota dan pegawai polis di seluruh Turki termasuk di Istanbul dan ibu kotanya, Ankara kerana disyaki terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada Jumaat lalu.

Terdahulu, Erdogan menggesa rakyat Turki untuk terus berada di jalan-jalan raya walaupun rampasan kuasa itu berakhir. Pihak berkuasa membayangkan kehadiran rakyat sebagai langkah berjaga-jaga dan usa­ha untuk mengekalkan demokrasi.

Seorang koresponden agensi berita AFP berkata, perhimpunan menyokong Erdogan terus diadakan di seluruh negara sepanjang malam kelmarin.

Seramai 11 anggota tentera yang disyaki terlibat dalam rampasan kuasa telah ditahan di Lapangan Terbang Sabiha Gocken di sini.

Sementara itu pemimpin dunia termasuk Presiden AS, Barack Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel menggesa Turki supaya mematuhi peruntukan undang-undang ketika melancarkan operasi mematahkan rampasan kuasa itu.-19/7/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 256  tetamu dalam talian