17Januari2021

Agenda Daily

Jangan berangan... Menang dulu wahai Muhyiddin

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin pembangkang dapat mengambil alih Johor jika memenangi hanya 10 lagi kerusi pada pilihan raya umum akan datang ibarat “belum beranak sudah ditimang”.

“Ia samalah seperti ‘belum beranak sudah ditimang.” Pertama sekali Muhyiddin perlu meyakinkan pengundi bahawa ia mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk ditawarkan daripada kerajaan sekarang.

“Pada masa ini, nampaknya seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semata-mata ditubuhkan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti juga PKR ditubuhkan untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara,” katanya menerusi posting terbaru beliau dalam blognya.

Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan berkata pembangkang hanya memerlukan 10 lagi kerusi negeri untuk mengambil alih kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daripada jumlah tersebut, BN menguasai 37 kerusi dan pembangkang 19 kerusi.

Salleh, yang juga bendahari Umno, berkata Pakatan Harapan belum lagi memutuskan sama ada untuk menerima PPBM ke dalam pakatan pembangkang atau sama ada PPBM cuma menubuhkan pakatan pilihan mengenai pengagihan kerusi.

“Ini harus dibuktikan dahulu kerana jika mereka tidak dapat mewujudkan kesepakatan sebelum pilihan raya, bagaimana mereka hendak mencapai kata sepakat biarpun jika mereka menawan Johor?” tambahnya.

Menurut Salleh, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mereka tidak perlu mengumumkan calon pembangkang untuk jawatan perdana menteri ataupun mengumumkan kabinet bayangan.

“Pakatan Harapan mahu Anwar sebagai perdana menteri. Adakah ini bermakna Mahathir tidak mahu Anwar? Dalam kes ini, siapakah yang Dr Mahathir mahu?” tanya menteri itu.

Berucap di London baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau mahu Muhyiddin sebagai calon pembangkang bagi jawatan perdana menteri dan sekarang beliau berkata tidak perlu untuk memutuskannnya buat masa sekarang, katanya.

“Adakah ini kerana PPBM dan Pakatan Harapan tidak bersetuju mengenai calon,” katanya.

Salleh berkata hakikatnya ialah PAS tidak bersetuju dengan pemilihan Anwar dan Muhyiddin sebagai calon bagi jawatan perdana menteri.

Beliau berkata isu ini adalah lebih penting untuk diselesaikan daripada mengira jumlah kerusi hendak dimenangi oleh pembangkang sedangkan tidak tahu apa yang mereka akan lakukan jika mereka menang.-10/10/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 381  tetamu dalam talian