12November2019

Agenda Daily

Guan Eng kemaruk selamatkan diri

Spekulasi yang barangkali benar atau sememangnya tidak tepat. Iaitu, adakah mungkin Lim Kit Siang pula menggantikan anaknya, Lim Guan Eng sekiranya benar seperti mana telahan Guan Eng sendiri bahawa dirinya ‘dalam perjalanan ke penjara’?

Sebelum ini, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pernah menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disumbat dalam penjara kerana kes liwatnya. Dengan menggunakan cara ini, ‘Dinasti Lim’ mahu terus kekal berkuasa dalam parti terutamanya di Pulau Pinang.

Agak melucukan kerana dalam pepatah Cina, anak perempuan atau anak lelaki yang akan menggantikan bapa mereka ke medan perang. Tapi dalam kes ini, bapa pula ganti anak.

“Ini mungkin khabar angin kerana itu antara jalan terbaik untuk memastikan ‘dinasti’ ini kekal. Kalau boleh, Kit Siang mahu bertanding sekali gus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang menggantikan anaknya itu.

Tidak penting pendapat atau pandangan sesiapa walaupun ahli DAP sendiri apatah lagi rakyat Pulau Pinang, janji `Dinasti Lim’ kekal berkuasa walaupun Guan Eng berada dalam penjara.

“Sememangnya mereka berbuat sesuka hati , langsung tidak fikir kepentingan parti atau rakyat jelata di Pulau Pinang, yang penting mereka kekal berkuasa. Mereka buat parti dan Pulau Pinang macam ‘bapak mereka punya’,” itulah yang diberitahu oleh sumber dalaman DAP kepada Mingguan Malaysia.

Barangkali ada kebenarannya. Selama ini Kit Siang yang telah lama berkecimpung dalam politik selama berpuluh-puluh tahun hanya mampu menjadi pembangkang sepanjang hayatnya. Tiada sebarang jawatan kerajaan, tidak pernah menjadi menteri jauh sekali Perdana Menteri. Sudah tentu ini juga peluangnya untuk menjawat sesuatu jawatan dalam kerajaan.

Tidak cukup dengan itu, Guan Eng juga telah ‘menggilap masa depan’ adik perempuannya, Lim Hui Ying untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Sebelum ini, Guan Eng pernah cuba ‘membawa masuk’ adiknya itu untuk menjadi Setiausaha Negeri namun idea tersebut mendapat protes daripada kumpulan Chow Kon Yeow ketika awal penglibatannya.

Bagaimanapun, Hui Ying akhirnya berjaya dilantik menjadi Setiausaha Negeri pada pemilihan parti 2015. Walaupun mendapat kritikan hebat, namun Guan Eng tidak peduli. Sudah tentu jawatan tersebut hanya sekadar mengukuh kedudukan ‘Dinasti Lim’.

Kita juga jangan lupa, isteri Guan Eng, Betty Chew merupakan Ahli Dewan Undangan Kota Laksamana, Melaka. Betty juga seringkali dikritik hebat oleh pelbagai pihak ekoran kemewahan ditonjolkan sejak kebelakangan ini.

Penulis diberitahu, rata-rata warga Pulau Pinang masih lagi keliru dan tidak pasti apa yang perlu dilakukan serta apa yang boleh dipercayai ketika ini. Selama ini masing-masing mengangkat Guan Eng kononnya ‘pejuang sebenar’ yang menjadi jaguh dalam memperjuangkan kebajikan rakyat terutamanya masyarakat Cina di negeri tersebut.
Namun sejak kuasa bertukar tangan dari kerajaan Barisan Nasional kepada DAP dalam beberapa tahun ini barulah sikap sebenar pemimpin yang terkenal dengan slogan ‘CAT’ itu terserlah.

Manakan tidak, beliau dikatakan ‘tokong’ di Pulau Pinang dan juga dalam parti sendiri. Tiada sesiapa yang berani melawan cakapnya apatah lagi tampil mempersoalkan apa-apa, jika tidak mahu ‘dicantas’ kedudukan mereka. Jadi apakah benar semua arahan dibuat atas kapasiti Setiausaha Agung dan Ketua Menteri?

Selama ini, ramai menyokong DAP di Pulau Pinang kerana merasakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjaga mereka. Pada masa sama mereka menyokong kerana tertarik dengan segala macam janji retorik yang ditaburkan.

Ramai hanya mahukan ‘perubahan’ yang cuba dibawa oleh DAP. Masing-masing mengimpikan kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya. Tetapi hakikatnya menjadi lebih teruk dari dulu.

Baru-baru ini, selepas didakwa dengan kes rasuah, Guan Eng membuat kejutan lagi apabila mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal. Ini kononnya demi kepentingan rakyat di negeri itu.

Apakah jenis kepentingan rakyat yang diuar-uarkan oleh Guan Eng ini? Adakah dengan cara membazir membelanjakan jutaan ringgit untuk mengadakan PRN demi untuk mengukur sokongan rakyat terhadap DAP dan Guan Eng yang berdepan dua pertuduhan rasuah?

Ini sungguh tidak logik kerana isu sebenarnya adalah isu peribadi Guan Eng yang berkisar pembelian banglo berharga RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, Georgetown di bawah nilai pasaran.

Penulis diberitahu, ada dalam kalangan pemimpin dan akar umbi merasakan PRN tidak perlu namun tidak ada seorang pun yang berani membuka mulut membantah perkara ini.

“Rata-rata sudah tidak ada semangat, semua merasakan tindakan Guan Eng tidak masuk akal. Sebelum ini, dia buat kutipan derma RM1 juta walaupun kelihatan tidak mampu tetapi boleh pula membeli banglo mewah.

Itu isu Guan Eng yang mencari masalahnya sendiri, tetapi malangnya rakyat Pulau Pinang atau warga DAP pula di heret sekali.Kemudian, dia buat pula ‘wayang baru’ dengan cadangan mengadakan PRN yang dengan jelas tidak langsung berkaitan kepentingan rakyat.

“Sekiranya sesiapa bercakap atau melontarkan pendapat, dengan cepat mereka akan dituduh ejen BN. Semudah itu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan menjadi sasaran untuk dikeluarkan dari senarai bertanding dalam pemilihan walaupun memiliki rekod cemerlang.

“Sebenarnya jika Guan Eng atau Kit Siang mahu melakukan sesuatu yang baik, Kit Siang hanya perlu ikhlas menegur Guan Eng. Maka Guan Eng pula perlu ikhlas mengaku serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang dan DAP.

Jangan pandai cakap, mahu menyelamatkan parti dan Pulau Pinang. Jalan terbaik hanyalah letak jawatan dan beri peluang kepada yang lebih layak.

“Kit Siang juga boleh bersara dan membiarkan yang lain untuk menyambung legasinya. DAP bukan hak milik keluarga mereka sahaja, pejruangan DAP sudah lama. Jangan buat parti ini terkontang-kanting.

Jangan kerana nila setitik, rosa susu sebelanga. Ideologi parti masih lagi sesuai, tetapi kerana pemimpin seperti keluarga Lim, habis semua rosak,” tegas sumber tersebut.

Terdapat juga dakwaan, Guan Eng bertegas mahu mengadakan PRN lebih awal pada tahun ini juga bertujuan memastikan Kon Yeow tetap tidak jadi Ketua Menteri Pulau Pinang selain dijadikan medan untuk menyingkirkan mereka yang menjadi penyokong Kon Yeow.

Yang peliknya, pilihan raya parti tidak pula diadakan, kononnya mahu memberi laluan terlebih dahulu kepada PRU-14. Jadi mengapa PRN walaupun masih ada dua tahun lagi? Mengapa tergesa-gesa?

Rata-rata media Cina juga kini agresif menegur dan ‘menghentam’ Guan Eng. Kalau selama ini ramai akan menyokong beliau, kini tidak lagi.

Apa yang lebih menghairankan, sudah tiada lagi penyokong fanatik yang menyokong sebarangan kenyataan yang memihak Ketua Menteri Pulau Pinang itu. Yang dilihat hanya segelintir konco-konco ‘Ren Bean Army’.

Masyarakat sudah bosan, rakyat Pulau Pinang sudah muak. Penyokong DAP juga keliru dengan gelagat dan lakonan hebat anak beranak ‘Dinasti Lim’ ini.-2/8/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 247  tetamu dalam talian