05Disember2019

Agenda Daily

Deklarasi rakyat, dendam peribadi Tun M

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa deklarasi rakyat bukan perjuangan pembangkang sebaliknya merupakan ketaksuban dan dendam peribadi Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Anwar, deklarasi itu hanya menumpukan terhadap pengunduran Perdana Menteri susulan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Pelancaran deklarasi rakyat adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding.

“Hanya setelah desakan daripada pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)pada saat-saat akhir, sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan. Hanya sekadar mencantikkan deklarasi.

“Secara dasarnya, ia kekal sebagai dokumen Tun Mahathir, cacat dan tidak selari dengan pandangan dari sudut reformasi,” katanya dalam surat bertajuk ‘Warkah Dari Penjara’ yang dikirimkan kepada pemimpin PKR baru-baru ini.

Dalam surat lapan halaman bertulis tangan itu, Anwar turut menggambarkan pemimpin dalam pakatan pembangkang seperti terpesona dan berpuas hati dengan jaminan bahawa segala tuntutan akan ditangani selepas pengunduran Najib.

“Saudara (pemimpin PKR) mungkin dapat rasakan pendirian saya yang semakin tegas setelah pendekatan berjiwa besar dan berdamai yang mana pada awalnya seperti kebanyakan di kalangan saudara.

“Saya agak naif menjangkakan Tun Mahathir akan lebih terbuka kepada perubahan. Beberapa siri perbincangan dengan pimpinan pakatan dan NGO tidak berjaya mengubah atau menghalang ke­taksuban dan dendam peribadi terhadap Najib tetapi bukan terhadap sistem rosak,” jelasnya.

Anwar turut mengingatkan pemimpin PKR yang terpengaruh dengan deklarasi rakyat boleh dianggap sebagai terdesak.

“Kita terdesak untuk angka sokongan, yang sebenarnya adalah demi kepentingan dalam politik tanpa sekelumit rasa bersalah,” ujarnya yang turut menasihatkan pihak pembangkang tidak bersekongkol dengan Dr. Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Kata Anwar, adalah amat meresahkan untuk melihat barisan kepemimpinan pembangkang men­jadi sebahagian daripada pasukan yang turut disertai seorang pemimpin zalim dan paling korup sebagai bekas Menteri Kewangan.

“Kedua-dua Tun Mahathir dan Daim merupakan dalang dan begitu agresif mempertahankan kroni kapitalisme.

“Seorang peguam kanan memaklumkan kepada saya beliau memerhatikan bagaimana pe­mim­pin-pemimpin ini terpegun dan merendah diri dalam kehadiran bekas autokrat dalam program terbuka seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal,” katanya.

“Tetapi saya tidak dapat mengelak daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah,” katanya.

Anwar yang turut melahirkan kehampaannya memberitahu, beliau akan akur sekiranya pemimpin pembangkang mahu terus bersama deklarasi berkenaan.

“Jika majoriti memilih untuk mendukung persefahaman deklarasi rakyat sepenuhnya, saya akur tetapi akan menyepi dan hanya mengulangi hasrat mendamba perubahan seutuhnya.

“Saya cuba lakukan sebaiknya tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik berbanding teman seperjuangan,” katanya.-18/5/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 272  tetamu dalam talian