17Jun2019

Zambry ulas tindakan UMNO pecat Daim dan Rafidah

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan semua parti akan mengambil tindakan sama memecat mana-mana ahli yang mengkhianati parti kerana berada dipentas lawan.

Beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tidak ada satu partipun yang akan membenarkan ahlinya berada di atas pentas pihak lawan termasuk juga dalam kalangan parti pembangkang.

`` Semua parti akan mengambil tindakan yang sama”, katanya semasa menjawab soalan pemberita pada program Santai Anak Muda di pusat membeli-belah Aeon, Seri Manjung pada Ahad.  

Dr Zambry diminta mengulas berhubung tindakan Lembaga Disiplin UMNO yang memecat keahlian Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau menjelaskan tindakan pemecatan itu termaktub dalam mana-mana peraturan dan perlembagaan parti.

“Ia termaktub dalam mana-mana peraturan dan perlembagaan parti. Contohnya, DAP. Mana mungkin mereka tidak akan pecat ahli dia kalau terdapat ahli yang berada di atas pentas parti yang berlawanan dengannya.

“Begitu juga dengan PPBM (Parti Pribumui Bersatu Malaysia), Pas dan lain-lain. Semua parti ada peraturan mereka,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan kedua-dua ahli veteran UMNO itu dipecat daripada parti selain Tan Sri Rais Yatim disiasat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata tindakan itu diambil apabila ketiga-tiga mereka secara terbuka menghentam parti serta menyokong pembangkang dalam musim kempen Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Rafidah dan Daim dikatakan hadir pada ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) di Melaka pada Jumaat malam.

Antara intipati ucapan Rafidah dalam ceramahnya ialah mengajak pengundi ‘mengubah kontraktor’, yang ditujukan kepada BN, untuk menerajui negara.

“Batalkan kontraktor lama supaya PH boleh memperbetulkan segala kesilapan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Rais pula sejak kebelakangan ini, sering memuatnaik status dan tulisan yang condong kepada pembangkang menerusi laman media sosialnya.-7/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 469  tetamu dalam talian