08Disember2019

Agenda Daily

Menjengok kediaman rasmi Menteri Besar Perak

altBukan mudah untuk sesiapa saja memasuki ke perkarangan kediaman Menteri Besar Perak jika tidak ada sebab tertentu. Sebelum dibenarkan memasukinya, anggota polis yang bertugas di pintu pagar terlebih dulu bertanyakan tujuan kedatangan.

Namun bagi Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, kediaman rasminya bukanlah tempat tertutup.

Beliau sendiri tidak menginap di kediaman rasmi itu yang terletak di Jalan Raja DiHilir (dulu Jalan Tambun), dan masih tinggal di rumah peribadinya di Ipoh.

Sebaliknya kediaman itu digunakan untuk majlis-majlis rasmi.Maka banyak program yang dianjurkan di kediamannya terbuka kepada orang ramai.

Sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, majlis berbuka puasa menjadi agenda utama meraikan kakitangan kerajaan, NGO,  orang-orang politik malah orang bukan lslam juga turut memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Sebaik ramadhan melabuhkan tirainya dengan kedatangan bulan syawal, Menteri Besar secara rasmi turut mengadakan rumah terbuka bagi membolehkan rakyat dari segenap ceruk rantau dan dari pelbagai latarbelakang masyarakat sama ada si kecil atau si  besar menemuinya.

Dan rumah terbuka atau open house Menteri Besar Perak pada hari pertama syawal yang diadakan pada sebelah petang telah menarik kira-kira 15,000 orang pengunjung.

Open House hari raya membolehkan rakyat memasuki ke perkarangan kediamannya tanpa sebarang sekatan. Anggota polis turut bertugas tetapi tidak seperti biasa bertanyakan sebab-sebab kedatangan. Tidak ada perasaan “takut” memasuki ke kediaman Menteri Besar pada hari itu.

Polis yang bertugas di pintu masuk lazimnya terpaksa berhati-hati sebelum membenarkan sesiapa saja memasuki ke perkarangan kediaman Menteri Besar. Ini soal keselamatan, bukannya menghalang rakyat dari menemui Menteri Besar.

Sebab itu kebanyakan Menteri Besar termasuk Dr.Zambry memberi peluang di majlis-majlis tertentu seperti open house kepada orang ramai menziarahi serta menemuinya tanpa terlebih dulu “kena buat apoinment.”

Rakyat bencikan  protokol kerana kadangkala urusan hidup jauh mengatasi birokrasi dan kadangkala urusan hendak menemui Menteri Besar bukan boleh ditangguhkan. Seminit  terlewat bererti masalah hidup bertambah meruncing.

Bagi yang rajin menghadiri program yang dianjurkan di kediaman Menteri Besar, mereka tentu tidak sekekok yang baru datang buat pertama kali.

perak2x



Peluang menemui Menteri Besar di majlis rumah terbuka digunakan sepenuhnya oleh rakyat di negeri ini. Sesetengahnya cuba mengambil peluang mengajukan soalan “cepumas” ketika bersalaman dengan Menteri Besar termasuklah hal-hal permohonan “balak, tanah dan sebagainya”.

Entah apa tindak balas  Dr.Zambry tapi dari reaksi spontan, Menteri Besar seperti sudah arif dengan telatah orang ramai. Sekilas ikan di air,sudah dikenali jantan betina. Diwajahnya terpancar wajah keriangan iaitu wajah colgate, menampakkan barisan gigi, yang menjadi trademarknya selama ini.

Tahun ini amat bersejarah buat Menteri Besar sekeluarga apabila menerima kunjungan kerabat diraja pada hari raya pertama.

Sempena dengan “open house”nya, Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah perkenan mencemar duli berangkat bersama kerabat diraja lain ke kediaman Dr.Zambry bagi memeriahkan lagi majlis - menyimpang dari amalan protokol.

Sultan Azlan diiringi Raja Permaisuri Tuanku Bainun, Raja Muda Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Dihilir  Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja  Nor Mahani dan lain-lain.

Program pada sebelah pagi menyaksikan Dr.Zambry mengiringi Tuanku Sultan bersembahyang sunat aidil fitri di Masjid Ubudiah,  Kuala Kangsar serta selepas itu menghadiri sambutan aidilfitri di Istana Iskandariah sebelum pulang ke Ipoh untuk menjadi hos rumah terbukanya dan sambutan Hari Kemerdekaan ke-54.

Ketika menemui para wartawan, Menteri Besar melahirkan perasaan gembira serta terkejut kerana kehadiran pengunjung yang begitu ramai berbanding tahun sebelumnya.

“Kunjungan Tuanku Sultan, Raja Permaisuri serta kerabat diraja lain untuk mencemar duli bersama-sama rakyat di  majlis rumah terbuka ini merupakan julung kali berlaku,” katanya.

Kebiasaannya kata beliau majlis untuk Sultan dan kaum kerabat diadakan secara berasingan tetapi pada tahun ini ianya berlaku serentak.

“Ini merupakan usaha untuk merapatkan lagi hubungan di antara Sultan, pemimpin dan rakyat di dalam satu majlis,” jelas beliau.

alt

Untuk rekod ini adalah kali kedua Dr.Zambry mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi selepas mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar pada awal tahun lalu.

Selain dari itu rumah terbuka ini juga diadakan   sempena Tahun Baru Cina  yang lalu. Gadis “James Bond”, Dato’ MicheleYeoh turut hadir bagi memeriahkan majlis.                   

Bagi mereka yang buat pertama kali memasuki ke perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar mereka mendapati suasana kediaman yang tidaklah segah macam rumah agam peninggalan “towkey” lombong.

Kediaman rasmi Menteri Besar terletak berdekaan bulatan Sultan Yusuf (dibina pada1962 dan siap pada1963) dan tidak jauh darinya terdapat beberapa baris bangunan baru menempatkan  pusat perniagaan, hotel lima bintang serta istana/pejabat Sultan Perak.

Untuk rekod juga, kediaman rasmi Menteri Besar ini dibangunkan di atas tanah seluas tiga ekar sebelum Menteri Besar pertama (sebelum merdeka) dilantik memegang jawatan berkenaan.

Ia merupakan bangunan kayu dua tingkat bertiangkan batu. Tan Sri Tajol Rosli, mantan Menteri Besar masih ingat mendiami kediaman itu sewaktu bapanya (Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi) menjadi Menteri Besar pertama dipilih rakyat pada  1st Ogos 1957.

Pada tahun 1967, kediaman itu dirobohkan sewaktu  Datuk Seri Ahmad Said mengambil alih jawatan Menteri Besar sehinggalah dibina semula dan diberi nafas baru diwaktu Tan Sri Ramli Ngah Talib  menjadi Menteri Besar.

Menurut Tajol, masa bapanya menjadi Menteri Besar terdapat 128 berbagai jenis pokok rambutan tapi jumlahnya berkurangan  menjadi empat pokok semasa beliau mengambil alih jawatan  Menteri Besar pada 2000.

Ramli menggalakan penanaman pokok betik exotic di sekitar kediaman Menteri Besar menggantikan pokok rambutan dan gambarnya sedang memetik buah betik tersiar didalam beberapa akhbar.

Pengunjung yang turut membawa bersama kamera tidak segan silu berpos bersama-sama Dr.Zambry dan isteri serta sesama sendiri di beberapa ruangan tertentu bagi merakamkan detik sejarah pada hari itu.

Dr.Zambry “seperti kena buli dengan pengunjung” kerana mengikut saja ragam mereka mahu bergambar dengannya.

Kediaman rasmi Menteri Besar Perak tidak ada keunikan dan strukturnya seperti sebuah banglo dua tingkat yang popular di sekitar bandaraya Ipoh.

Bagaimanapun semasa Ramli menjadi Menteri Besar kerja-kerja ubahsuai dilakukan bagi  memberi imej baru kepada bangunan ini.

Kemudian apabila  Tajol Rosli menjadi Menteri Besar, tidak banyak perubahan dibuat. Menteri Besar beralih kepada DS Nizar Jamaluddin dan kini jawatan itu disandang Dr.Zambry namun  kediaman rasmi itu juga tidak banyak melalui perubahan.

Satu sejarah tercatat di zaman Nizar ialah perhimpunan yang dibuat di kediaman rasminya disertai ribuan penyokongnya membantah “pengulingannya” sebagai Menteri Besar. Sekutu dan penyokongnya  iaitu ahli-ahli DAP dan PKR turut  berhimpun.

Dalam ucapannya, Nizar  menghentam kerajaan BN manakala kempen menandatangani memorandum diadakan mendesak Sultan Perak agar memperkenankan pembubaran DUN  bagi membolehkan pilihanraya semula.

Bagi sesetengah penganalisis politik, ia dilihat sebagai “sindrom hilang kuasa” pemimpin PR negeri serta memperlihatkan mereka tidak boleh menerima kenyataan kehilangan kuasa sekaligus telah “mencemar” imej kediaman rasmi Menteri Besar.

Seperkara yang perlu dijelaskan ialah pada malam itu juga bandaraya Ipoh mengalami satu keadaan kesesakan trafik yang amat teruk akibat perhimpunan ini tapi bagi mereka yang berkerumun di kediaman MB, ia “satu tanda kemenangan moral kumpulan mereka”.

Mereka berbangga dapat mengumpul ramai penyokong walaupun penduduk dan masyarakat Ipoh mendapat kesan sampingan. Dan yang meramaikan bantahan ialah orang-orang dari luar Ipoh dan Perak.

Hari ini kediaman rasmi Menteri Besar tidak lagi bergema dengan retorik politik dari orang-orang politik. 

Ada ura-ura kediaman rasmi Menteri Besar ini  dipindah bagi membolehkan bangunan baru dibuat tapi rancangan itu tidak dijayakan. Langkah membina semula kediaman Menteri Besar bersesuaian dengan langkah beberapa negeri yang sudahpun melaksanakan rancangan berkenaan.

Bagaimanapun sebuah akhbar tempatan dipetik melaporkan kenyataan  Tajol Rosli  bahawa “dia tidak akan berpindah kerana rumah itu pernah didiami oleh bapanya  sebagai MB Perak.” Mungkin beberapa tahun lagi, Perak juga akan mempunyai sebuah kediaman Menteri Besar yang lebih ada ummph.-6/9/2011- OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 280  tetamu dalam talian