Mahathir tidak pernah ziarah kubur bapa saya - Hishammuddin
- Terakhir dikemaskini: 06 Mei 2018
Ikhlaskan Tun Mahathir Mohamad ketika menziarahi kubur bekas pemimpin tertinggi PAS beberapa hari menjelang hari pengundian sedangkan pusara pemimpin awal UMNO yang banyak berjasa tidak pernah diziarahinya.
Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Dia tak pernah menziarah kubur arwah bapa saya (Tun Hussien Onn) sebagai Presiden UMNO pun," kata Hishammuddin.
"Tetapi kini dia dilihat beriya-iya pula mahu menziarah kubur Allahyarham (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat)," kata Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas itu.
Namun, Hishammuddin tidak hairan kerana segala tindak tanduk pemimpin pembangkang itu dilihat "tidak pernah ikhlas" dan hanya semata-mata sebagai taktik untuk meraih undi.
"Saya yakin keluarga arwah Tuan Guru Nik (Abdul) Aziz memahami. Kalau betul-betul ikhlas buatlah (ziarah) lepas pilihan raya," tambahnya.
Hari ini, keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz menghalang Mahathir yang dikatakan mahu menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kelantan itu di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka.
Anak Allahyarham Mursyidul Am PAS itu, Nik Adli bersama seorang lagi individu bertindak mengunci pintu pagar selain meletakkan sebuah lori tiga tan di depan pintu masuk tanah perkuburan berkenaan.-6/5/2018